Semua orang yang berkahwin memang mengharapkan pasangan hidup yang terbaik. Perkahwinan bakal melalui fasa perubahan dalam hidup sama ada bertambah baik atau sebaliknya. Kata kunci untuk hal ini adanya keberkatan dalam perkahwinan tersebut.
Dalam tazkirah ringkas oleh Imam Muda Hassan berkenaan tanda pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita, dia menyatakan bahawa kalau perkahwinan yang dibangunkan itu dan adanya keberkatan dalam perkahwinan tersebut, maka itu tandanya pasangan kita adalah yang terbaik untuk kita.
Apa yang dimaksudkan dengan berkat? Menjelas lanjut, Imam Muda Hassan
menegaskan bahawa maksud berkat ialah apabila kita lihat bertambahnya atau berlakukan banyak perkara-perkara baik setelah kita berkahwin. Hidup kita semakin baik dalam banyak perkara.Kebaikan yang dimaksudkan ialah perubahan-perubahan positif yang menjadikan rumahtangga itu aman, gembira dan dipermudahkan Allah dalam banyak hal.
Sebagai contoh, jika sebelum berkahwin suami adalah seorang yang malas untuk solat. Tetapi setelah berkahwin, suami berubah menjadi orang yang rajin bersolat.
Ini tandanya adanya keberkatan dalam rumahtangga; berkat yang diperoleh dari pasangan kita.
Bagaimana berkat itu datangnya dari pasangan kita, apakah contoh yang mudah difahami?
“Mungkin ada sesuatu yang isteri telah lakukan sehingga suaminya berubah kepada seorang yang rajin solat. Itu tanda berkat pasangan kita.
“Mungkin ada sesuatu yang isteri sudah lakukan sehingga suaminya itu rajin beribadah, bangun sepertiga malam untuk bertahajud.
Isteri mungkin banyak berdoa agar Allah bukakan pintu hati suami untuk segera berubah ke arah kebaikan. Dan Allah terima doa isteri kita,” tegasnya.
Contoh lain ialah, jika sebelum berkahwin, hubungan pasangan tidak berapa baik dengan ibu ayah.
Tetapi setelah berkahwin, pasangan kita berubah menjadi baik; hubungan dengan ibu ayah pulih. Di sini berlakunya perubahan ke arah kebaikan.
Selain itu, jika sebelum berkahwin, pasangan kita kelihatan tidak terurus, berserabut dan tidak pentingkan kebersihan diri, namun apabila sudah berkahwin, semua itu sedikit demi sedikit berubah menjadi sebaliknya. Ia merupakan perubahan baik dek kerana keberkatan hidup berpasangan.
Sementara itu, sebagai insan biasa, pasti ada kelemahan pada pasangan. Dalam keadaan seperti ini, pasangan tidak harus fokus kepada kelemahan pasangan masing-masing.
Fokus kepada kelebihan pasangan. Kelebihan yang ada akan menutupi kelemahan yang ada dan sudah tentu masing-masing akan saling melengkapi.
Kesimpulannya, jika setelah berkahwin dan kehidupan kita banyak melalui perubahan ke arah kebaikan, maka ini bermakna pasangan kita adalah yang terbaik buat kita.
Kehadiran pasangan kita dalam hidup telah mampu membuat perubahan kea rah kebaikan. Jika ini terjadi, maka sayangilah dia sepenuh hati.