
Tanda-tanda Lailatul Qadar…
Malam-malam terakhir Ramadan, Allah SWT menganugerahkan kita hamba-Nya Lailatul Qadar yakni satu malam yang lebih baik daripada kebaikan seribu bulan. Malam yang penuh dengan ganjaran dan doa dimakbulkan. Namun apakah tanda-tanda Lailatul Qadar?
Menurut sebahagian para ulama tanda Lailatul qadar yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah SWT pada setiap tahun dalam bulan Ramadan. Ini kerana banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan tanda-tanda tersebut, antaranya:
Tanda-tanda lailatul qadar
1.Berlaku pada malam sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan
Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الَعَشْرِ الأوَاخِرِ مِنْ رَمَضانَ
Bermaksud: Berusahalah mencari Lailatulqadar pada malam terakhir yang ganjil di bulan Ramadan. Riwayat al-Bukhari (2017)
2. Malam yang ganjil dalam bulan Ramadan
Hal ini berdasarkan riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
التَمِسوها في العَشرِ الأواخِرِ وِترًا
Bermaksud: Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir yang ganjil. Al-Sunan al-Kubra (8559)
3. Malam tersebut tenang dan terang serta tidak panas pada keesokkan paginya.
Menurut riwayat daripada Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’:
“أَنَّهَا صَافِيَة بلجة كَأَن فِيهَا قمرا ساطعا، سَاكِنة ضاحية لَا حر فِيهَا وَلَا برد، وَلَا يحل لكوكب يَرْمِي بِهِ فِيهَا، وَأَن من أمارتها أَن الشَّمْس فِي صبيحتها تخرج مستوية لَيْسَ لَهَا شُعَاع، مثل الْقَمَر لَيْلَة الْبَدْر، لَا يحل للشَّيْطَان أَن يخرج مَعهَا يَوْمئِذٍ”.
Bermaksud: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiada tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi.
Antara tanda-tandanya adalah matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. (Rujuk: Umdah al-Qari, 11/134)
4. Matahari terbit tidak terang dan tidak panas
Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya:
أَن الشَّمْس تطلع فِي صبيحتها لَا شُعَاع لَهَا
Bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
Sementara itu, menurut riwayat daripada Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” (Rujuk: Umdah al-Qari, 11/134)
5. Air masin (laut) bertukar menjadi tawar
Imam Ibnu Hajar menukilkan riwayat al-Baihaqi daripada Abdah bin Abi Lubabah:
إِن الْمِيَاه المالحة تعذب تِلْكَ اللَّيْلَة

Bermaksud: Sesungguhnya air masin (laut) menjadi tawar pada malam itu.
(Rujuk: Fathu al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 260/4)
Doa ketika berjumpa Lailatulqadar
Terdapat hadis yang menceritakan tentang doa yang dianjurkan untuk dibaca pada Lailatulqadar seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو؟ قَالَ: تَقُولِينَ: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan, beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku. ”Riwayat Ibn Majah (3850)
Imam al-Nawawi menukilkan pendapat para ulama kami(mazhab Syafi’i) mengatakan bahawa sunat memperbanyakkan membaca doa ini pada Lailatul qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca lagi: Malam Lailatul Qadar, Apa Yang Berlaku Pada Malam Ini?
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI