Diam tak diam kita sudahpun masuk pertengahan bulan Syaaban dan lebih kurang lagi dua minggu akan munculnya Ramadan nan mulia.
Walaupun kita sedang diduga oleh Tuhan dengan wabak pandemik ini, namun tidak membataskan kta untuk membuat persediaan menyambut bulan paling istimewa dalam banyak-banyak bulan Islam ini.
Dan salah satu persediaan adalah dengan berpuasa sunat sepanjang bulan Syaaban ini.
Selain puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, Islam juga amat menggalakkan umatnya untuk berpuasa pada Hari Putih ini hingga ke Nifsu Syaaban nanti sebelum kita wajib berpuasa di bulan Ramadan.
Sepanjang tempoh itu, kita juga diingatkan untuk memperbanyakan amal ibadah dengan membaca al-Quran, Yasin, Tahlil serta melakukan Qiamullail dengan Solat tahajjud, Taubat dan sebagainya.
Apa itu Hari Putih dan apakah kelebihannya yang kita tidak tahu. Perkongsian di laman sosial Instagram ini menjelaskan maksud berkenaan.
Kelebihan Puasa Hari Putih
Selain puasa sunat Isnin dan Khamis, Islam juga menganjurkan puasa Hari Putih. Apa itu puasa Hari Putih serta kelebihannya?
Puasa Hari Putih merupakan puasa selama tiga hari di pertengahan bulan yang telah dianjurkan oleh sunnah sebagai suatu bentuk puasa sunat tambahan. Ia ada disebut melalui sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Dzar, iaitu:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ
“Wahai Abu Dzar, jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijrah).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Ia digelar sebagai hari putih kerana pada tarikh ini (tarikh hijrah) bulan sedang mengambang dan cahayanya sangat cerah.
Niat puasa Hari Putih adalah seperti beriku:
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلهِ تَعَالَى
Maksud: “Aku berniat berpuasa Hari Putih, sunat kerana Allah Ta’ala.”