Kerohanian

Tapau Lauk Kenduri, Boleh Jatuh Haram Hukumnya!

Share

Bila menghadiri kenduri, baik majlis kahwin, doa selamat dan sebagainya jadi perkara biasa untuk kita tapau lauk atau bungkus untuk dibawa balik. Tapi awas ya, jangan suka hati tapau makanan ini walaupun majlis saudara mara. Boleh jadi haram hukumnya walaupun yang diambil itu sikit saja.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum tapau makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis.

Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan menapau makanan.

Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.

Perbuatan mengambil sesuatu barangan tanpa keizinan atau keredhaan seseorang merupakan suatu perbuatan mencuri dan ia amatlah dilarang di dalam Islam.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” Surah Al-Baqarah, 2:188

Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga