‘Tasmik 5 juzuk al-quran sehari itu biasa.’ Baru 12 tahun, Khaulah berjaya lepasi ujian syadadah sughra dan kubra. Masyallah hebat sungguh kecil ini, baru berusia 12 tahun tetapi hafalannya sangat mantap.
Sejuk perut ibu mengandung, malah sudah tentu satu pencapaian yang cukup membanggakan kedua ibu, bapanya. Teryata kejayaan anak gadis ini bukanlah mudah, malah memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
Perkongsian Azhana Nordin ini cukup menginspirasikan buat anak-anak sebaya Khaulah. Kongsinya,
Artikel Berkaitan:
Ketika anak gadis lain seusianya sibuk berbual tentang fesyen, sibuk memuatnaik video TikTok, riuh bercerita tentang teman baru di WeChat.
Ada segelintir mungkin sudah pandai berdebar kerana terserempak dengan ‘crush’,gadis berumur 12 tahun ini pula terlalu sibuk dengan hafalan Al-Quran.
Namanya Khaulah..ya, Khaulah Almujahidah. Sehebat namanya, begitu juga orangnya. Bijak percaturan si ibu ayah memilih nama puteri srikandi Islam terberani pada zaman Rasulullah iaitu Khaulah Al-Azwar.
Wanita yang mengangkat rasa kagum Khalid al-Walid akan kehebatan dan ketangkasannya di medan perang. Khaulah Almujahidah ialah rakan anak sulung saya, Hanna di sekolahnya.
Semalam dan hari ini adalah majlis syahadah kubra Khaulah. Syahadah ada dua jenis, pertama ujian tebuk beberapa ratus soalan daripada ayat-ayat Al-Quran, kedua ialah syahadah kubra. Huffaz boleh memilih salah satu metod ujian syahadah.
Apapun metod yang dipilih, hafalan mesti mantap. Bagi seorang huffaz, syahadah kubra adalah saat ujian membaca keseluruhan hafalan 30 juzuk Al-Quran di hadapan pentashih bertauliah tanpa sebarang kesalahan.
Persiapan yang perlu dibuat bukan calang-calang, ini bukan ujian menjawab soalan MCQ yang boleh ditembak-tembak kalau tiada idea, bukan soalan esei yang boleh difikir-fikir apa isinya dalam tempoh 1 jam.
Bukan juga ujian soalan-soalan pendek yang boleh dijawab verbal dalam tempoh 10 minit. Ini ujian dua hari berturut-turut yang menyaksikan si huffaz melantun lisan hafalan 6666 ayat Al-Quran dalam dadanya.
Disemak pula oleh pegawai bertauliah, dengan disaksikan berpuluh-puluh pasang mata. Bayangkan debarnya yang diuji, beratnya beban emosi itu, fizikal pula berteleku berjam-jam membaca Al-Quran sepanjang hari, hanya berhenti rehat dan solat.
Selebihnya menghabiskan baki bacaan daripada hafalan. Khaulah? Memilih kedua-duanya. Minggu lepas dia melalui ujian tebuk, semalam dan hari ini dia mengambil ujian syahadah kubra. Anak didik Ustazah Putri Nurain ini serius hebat!
Apa istimewanya anak ini? Ohhh…banyak. Dia mengulang 5 kali keseluruhan 30 juzuk Al-Quran semata-mata daripada ingatannya ketika berlangsung program Marathon Huffaz pada bulan Ramadhan yang lepas, merupakan antara pencapaian terbaik di kalangan para pelajar Akademi AKMAL (Akademi Al-Quran Amalillah).
Berusia 12 tahun kini, ketika anak gadis lain seusianya sibuk berbual tentang fesyen, sibuk memuatnaik video TikTok, riuh bercerita tentang teman baru di WeChat, ada segelintir mungkin sudah pandai berdebar kerana terserempak dengan ‘crush’.
Khaulah pula terlalu sibuk dengan hafalan Al-Quran. Dia buatkan saya rasa amat teruk, kerana saya sendiri amat naif dan kebudak-budakan pada usia 12.
Tasmik 5 juzuk sehari itu biasa, 6 ke 7 juzuk itu selalu sangat, pernah juga hingga 10 juzuk sehari..begitu Hanna bercerita tentang sahabat seperjuangannya ini. Dialah yang akan selalu mengejutkan Hanna sebelum pukul 5 pagi semasa di asrama, agar sama-sama berpagi-pagian seperti dirinya.
Atas asakan Khaulah jugalah Hanna kerap cuba menambah jumlah hafalannya, biar sabaq (hafalan baru) yang dihantar kepada ustazah Nour Ain Halim esok hari lebih banyak daripada hari ini.
Saya amat mengagumi gadis kecil ini, cukup tabah hatinya, kadangkala tetap sahaja di asrama mengulang hafalannya ketika rakan-rakan lain seronok pulang bermalam ke rumah masing-masing pada hari minggu pulang bermalam.
Ayahnya, Ustaz Taufik mengusahakan sebuah pusat tahfiz di utara tanahair, dan kerap sibuk dengan jadual yang ketat. Bukan setiap minggu dapat melawat Khaulah di Shah Alam seperti yang saya dan suami Muhammad Hamka lakukan.
Pemilik wajah bersih bercahaya ini pasti akan tersenyum kepada saya apabila kami terserempak ketika saya menghantar Hanna pulang ke asrama. Tetap tenang walaupun ibu ayah yang berada jauh di Gurun, Kedah tidak kerap datang.
Baca Di Sini:
Dia tidak mengambil aliran akademik buat masa ini, memilih untuk menumpukan seluruh usahanya menguasai hafalan Al-Quran, tapi dia bukan tidak bijak. Sebenarnya Khaulah adalah seorang ‘fast reader’.. seluruh novel tebal akan dihabiskan dalam kurang sehari.
Saya kira kalau buku-buku medik (perubatan) saya yang jumlah ketebalannya melebihi tinggi lutut saya itu, Khaulah mungkin boleh habiskan dalam masa kurang sebulan barangkali.
Saya amat percaya, Khaulah bakal menjadi profesional di bidangnya, murabbi di zamannya seperti laungan motto AKMAL (Akademi Al-Quran Amalillah), melihatkan kesungguhannya berusaha, keperibadian pejuangnya, kekuatan ingatan serta akalnya yang tajam.
Detik paling bersejarah dalam hidupnya. Pada 9 Disember 2022 Khaulah akhirnya berjaya dalam ujian Syahadah Sughra iaitu ditebuk hafazannya 120 soalan dalam 30 juzuk dengan markah Mumtaz manakala lulus ujian syahadah Kubra dengan markah Jayyid Jiddan.
Tahniah diucapkan buat Khaulah!
#AkademiAlquranAKMAL
#korbandemiAlQuran
Kashoorga: Semoga kisah Adik Khaulah ini memberi inspirasi buat semua dan mengingatkan kita untuk sentiasa mencintai Al-Quran.
Sumber/ Foto : Azhana Nordin via AKMAL (Akademi Al-Quran Amalillah)
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!