Tatacara Tuntut Nafkah Di Mahkamah Syariah, Ketahui Prosesnya

Share

Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Jika boleh, rumah tangga yang dibina biarlah berkekalan hingga ke syurga. Namun siapalah kita untuk menidakkan ketentuan Ilahi. Andai perpisahan jadi jalan terbaik maka tamatlah riwayat sebuah perkahwinan.

Namun proses penceraian perlu melalui beberapa proses antaranya proses tuntutan nafkah. Di mahkamah syariah ada empat jenis tuntutan yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah tertunggak (4) Nafkah anak.

Memandangkan nafkah tertanggung atas kaum lelaki, semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah difailkan oleh kaum wanita sama ada isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan nafkah yang difailkan suami atau bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah dan cara menuntut nafkah di mahkamah syariah.

PROSESNYA
1) Kenal pasti dulu nafkah apa yang hendak dituntut di mahkamah. Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan bingung semasa hendak mengisi borang mahkamah.
Anda kena tahu sama ada hendak tuntut nafkah anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.

2) Jika anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pergi ke mahkamah syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal di Petaling jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Begitulah bagi mahkamah di tempat lain.

3) Minta borang tuntutan nafkah di kaunter. Jika anda hendak tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti apa tuntutan yang hendak dituntut.

4) Isi borang dalam tiga salinan (boleh juga isi satu kemudian buat lagi dua salinan). Semua dokumen perlu ada tiga salinan. Dokumen asas yang perlu dibawa adalah kad pengenalan, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada anak). Ingat bawa tiga salinan setiap satu.

5) Anda isi sahaja tempat kosong dalam borang itu. Borang mahkamah mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami sebab dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.

6) Sudah siap isi hantar sahaja semula di kaunter untuk difailkan. Bayar wang untuk pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk hadir ke mahkamah (tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).

Sumber: Info syariah

Published by
wan erni