
Isi Kandungan
ToggleTawaf sambil sentuh kaabah atau kiswah, jangan sampai terbatal tawaf? Tidak dinafikan tatkala dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci, perasaan teruja dan kagum bercampur-baur bila melihat Kaabah di depan mata.
Namun begitu, bab hukum jangan diambil ringan kerana dilihat ramai jemaah teruja menyentuh kaabah setiap kali melakukan tawaf jika berpeluang.
Ikuti perkongsian Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil berkaitan persoalan ini.
Artikel Berkaitan:
Buat Sai’e & Tawaf Naik Skuter, Lelaki Ini Kongsi Tip Untuk Panduan Jemaah Haji/Umrah
Tawaf Sambil Sentuh Kaabah
Soalan:
Apa hukum pegang kaabah atau kiswah ketika tawaf? Saya dengar hukumnya batal tawaf. Mohon penjelasan alfadhil ustaz.
Jawapan:
Menurut mazhab Syafi’i antara syarat sah tawaf samaada haji mahupun umrah ialah seluruh badan orang yang bertawaf berada di luar binaan asal Kaabah. Perkara ini dijelaskan di dalam kitab Busyra al-Karim:
التاسع: كونه خارج البيت والشاذروان والجحر بجميع بدنه
Maksudnya: Syarat kesembilan (sah tawaf): hendaklah seluruh tubuh badan orang yang bertawaf di luar binaan Kaabah, Syazarwan dan Hijr (Ismail).
Sebagai maklumat tambahan, bentuk binaan Kaabah yang wujud sekarang ini bukan saiz Kaabah yang sebenar sepertimana yang dibina pada zaman Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, iaitu saiz yang ada sekarang lebih kecil daripada saiz Kaabah pada zaman dahulu.

Atau Kiswah
Kisah pembinaan dan penstrukturan semula Kaabah telah melalui sejarah yang panjang.
Syazarwan lebih dikenali sebagai bingkai Kaabah yang menggambarkan Saiz panjang dan lebar Kaabah yang sebenar.
Manakala Hijir Ismail juga termasuk dalam binaan Kaabah yang asal. Oleh itu, sesiapa yang bersolat di dalam Hijir Ismail bermakna dia mendirikan solat di dalam Kaabah.
Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang bertawaf sambil menyentuh Kaabah, Rukun Yamani atau masuk ke dalam Hijr Ismail bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk ke dalam bangunan Kaabah.

Jangan Sampai
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Busyra al-Karim:
من قبل الحجر الأسود أو استلم اليماني فإنه يدخل في جزء من البيت
Maksudnya: “Sesiapa yang mencium Hajar Aswad atau menyentuh Rukun Yamani, sesungguhnya tubuhnya telah masuk dalam bahagian Kaabah”.
Untuk menjawab persoalan di atas, sesiapa yang sedang bertawaf sambil menyentuh Kaabah atau Rukun Yamani bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk dalam Kaabah, maka perbuataan ini boleh menjejaskan keabsahan tawaf yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah.
Walaubagaimana pun perbuatan ini tidaklah membatalkan keseluruhan tawaf atau sesuatu pusingan itu, iaitu tidak perlu mengulangi tawaf semula dari awal.
Baca Di Sini:
‘Pergi Mekah Macam Bercuti, Nak Buat Content Semata.’ Sedih Sungguh Ragam Jemaah Umrah Akhir Zaman
Terbatal Tawaf?
Apa yang perlu dilakukan menurut ulama Syafi’iyyah ialah kembali semula pada tempat dia mula menyentuh Kaabah, Hajar Aswad atau Hijir Ismail, kemudian berdiri tetap pada tempat itu, berdiri tegak, menjadi bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah dan menyambung kembali tawaf. Ini telah dinyatakan juga dalam rujukan yang sama:
فليقر قدميه حتى يفرغ منهما ويعتدل قائما ثم يجعل البيت عن يساره ويسير
Maksudnya: “…maka hendaklah dia menetapkan kedua-dua kakinya sehingga selesai kedua-duanya(cium Hajar Aswad dan sentuh Rukun Yamani), dan berdiri tegak, kemudian mengarahkan bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah, lalu berjalan (sambung tawaf)”.
Berdasarkan kenyataan di atas, menyentuh Kaabah ketika tawaf tidak membatalkan tawaf secara mutlak, iaitu orang yang bertawaf tidak perlu mengulangi pusingan itu atau mengulangi pusingan-pusingan sebelum ini.
Dia hanya perlu kembali berdiri tetap pada posisi dia menyentuh Kaabah atau berundur sedikit dan bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah, kemudian menyambung semula pusingan tawaf itu.
Jika dia menerus tawaf setelah menyentuh Kaabah atau seumpamanya tanpa kembali di posisi asal ketika sentuhan berlaku, maka pusingan tawaf itu sahaja yang tidak sah dan perlu diulangi.
Wallahu A’lam
Kashoorga: Teruja biarlah berpada-pada, jangan sampai ibadah terbatal.
Sumber: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
4 Adab Dalam Bergurau, Mufti WP Jelaskan #1 Tidak Melampaui Batas

Hari ini tular di media sosial berkaitan personaliti YouTube, Ryzal Ibrahim yang popular menerusi saluran YouTube Durian Kimchi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kaum Iban Sarawak.
Ia ekoran, Ryzal didakwa menghina pakaian tradisi masyarakat itu dalam Instagram Story semalam dengan menyamakan pakaian itu sebagai alas meja, alas TV, langsir dan selebihnya ketika isterinya mengenakan busana tradisi tersebut.
Berang dengan tindakan tidak sensitifnya, masyarakat Iban mula menyuarakan bantahan mereka dan menyifatkan pakaian itu jauh lebih mahal harganya (anggaran RM10,000 sepersalinan) dan bukan semua mampu memilikinya.
Ekoran hebat menerima kecaman kerana tidak sensitif dengan budaya pakaian tradisi, Ryzal membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak dan kaum Iban ekoran keterlanjuran kata-kata gurauannya itu dengan disangka menghina pakaian tradisional mereka.
Walau ia belum meredakan hati masyarakat Iban yang terguris, sebenarnya di dalam agama Islam, kita diajar untuk tidak bergurau secara sensitif hingga menguris hati pihak lain.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada empat adab bergurau dalam Islam yang perlu dijaga oleh semua orang. Berikut adalah perkongsian adab bergurau. Apakah hukum berlawak jenaka di dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mukadimah
Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Kami nukilkan hakikat ini lewat kenyataan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) yang telah kami terjemahkan:
“Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan berman-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum…”
Kemudia beliau menyebutkan tentang sikap sebahagian para sahabat Nabi SAW yang terlalu takut untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga kerana berhati-hati terhadap sifat munafik. Suatu hari, Hanzalah RA datang berjumpa Nabi SAW bersama Abu Bakar RA lalu berkata: “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda SAW menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”
Maka jawab Rasulullah SAW:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً – ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Demi (Zat) yang jiwaku di Tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali” Riwayat Muslim (2750)
Ertinya, hanya para Malaikat yang memiliki tahap keimanan sedemikian rupanya yang dibayangkan Hanzalah. Mereka sentiasa bertasbih memuji Allah dalam setiap keadaan dan waktu. Sedangkan manusia ada masanya untuk belajar, beribadah dan mendengar peringatan. Ada juga masa untuk rehat dan tidur, dan masa untuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, sedangkan malaikat tidak dijadikan sebegitu.
Rasulullah SAW berjenaka
Kenyataan sebelum ini disokong dengan perbuatan dan perkataan Rasulullah SAW sendiri. Ini boleh dilihat dalam kitab al-Syama`il al-Muhammadiyyah yang dihimpunkan oleh Imam al-Tirmidhi (w.297) Rahimahullah, antaranya kisah Rasulullah SAW dilaporkan pernah berjenaka dengan seorang wanita tua.
Daripada al-Hasan RA berkata: “Seorang wanita tuan bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata:” Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka jawab Rasulullah: “Wahai Umm Fulan, Sesungguhnya syurga itu tidak masuk ke dalamnya orang tua.” Perawi menyatakan: Wanita itu lantas berpaling dan menangis lalu Baginda SAW meminta kepada para sahabat: “
أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا}
Maksudnya: “Kalian beritahulah wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam dalam keadaan tua kerana Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waqi`ah: 35-37)” Riwayat al-Tirmidhi (241) dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah.
Ertinya, Allah SWT akan menjadikan orang tua pun muda kembali apabila di dalam syurga.
Rasulullah SAW juga bergurau dengan kanak-kanak untuk menggembirakan mereka. Daripada Mahmud bin al-Rabi` RAnhuma:
عَقَلْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ
Maksudnya: “Aku ingat lagi sewaktu umurku lima tahun Nabi SAW pernah menghirup air daripada gayung menggunakan mulutnya lalu menghembuskannya ke mukaku.”
Riwayat al-Bukhari (77)
Berkata Imam Syihabuddin al-Qastalani (w.923) dalam Irsyad al-Sari Li Syarh Sahih al-Bukhari (1/177): “Perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau tabrik (mendatangkan keberkatan) kepadanya (Mahmud) sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak sahabat.”
Begitu juga hadis daripada Anas bin Malik RA tentang Rasulullah SAW memujuk anak saudaranya Anas yang kematian burung peliharaan:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.”Hadis riwayat al-Bukhari (6203)
Namun begitu, sekalipun Rasulullah SAW selalu bergurau dan berjenaka dengan para sahabatnya, beliau tidak menipu dalam bergurau. Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Kamu sering bergurau (atau mengusik kami).” Jawab Baginda:
إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَا حَقًّا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak berkata (dalam gurau) melainkan hanya perkara yang benar.” Riwayat al-Tirmidhi (1990) dalam Sunannya, dan beliau mengatakan hadisnya hasan.
Begitu juga kita lihat bahawa lawak dan jenaka Rasulullah SAW itu tidak bersifat sia-sia sebaliknya memiliki nilai dan pengajaran supaya lebih terkesan kepada hati dan kefahaman, sesuai dengan keperibadian Nabi SAW yang terpelihara daripada keburukan dan kebodohan. Itulah keperibadiaan yang paling layak dicontohi!
Etika Dalam Melawak
Justeru, terdapat beberapa kriteria yang perlu dijadikan pedoman ketika berlawak:
- Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan
Al-Qaradhawi menyebut: “Maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan. Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan:
اعطِ الكَلَامَ مِنَ المَزْحِ بِقَدْرِ مَا يُعْطَي الطَّعَامُ مِنَ المِلْحِ
Maksudnya: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”
- Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.
Ini berdasarkan firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Hujurat: 11)
- Tidak Menipu Dalam Lawak
Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!”
Riwayat al-Tirmidhi (2315)
Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri (w.1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/497-498) mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya…. Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan tidak juga melampaui batas.”
- Tidak mempermainkan syiar agama
Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia. (Surah Al-An’am: 70)
Firman-Nya lagi:
الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْياَ
Maksudnya: (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang Yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). (Surah Al-A’raf : 51)
Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut :
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maknanya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.(Surah al-Hajj : 32)
Rujuk Al-Kafi #620 : Berlawak Menggunakan Syiar-Syiar Agama
Kesimpulan
Sikap berlawak jenaka adalah fitrah kehidupan manusia yang diciptakan sebagai masyarakat sosial. Islam tidak melarang aktiviti ini selama mana tujuannya adalah kebaikan yang diiktiraf Syarak dan tidak melanggar etika-etika yang telah ditetapkan. Masalah yang berlaku pada hari ini adalah apabila wujudnya lawak jenaka yang tidak berkualiti, yakni yang memiliki pengajaran dan nilai-nilai baik. Begitu juga lawak yang mengenakan orang lain sehingga mengaibkannya, menfitnah, menipu, dilakukan tanpa keizinan dan mencemarkan maruah dirinya dan kenalannya, sehingga menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan, sekalipun pelakunya menyebutnya sebagai gurauan. Inilah yang ditegah oleh Islam kerana Islam meletakkan maqasid syariah itu untuk menjaga diri dan kehormatan seseorang manusia. Kesannya, membiaklah fenomena seni yang tidak berkualiti dan memalukan, budaya buli sama ada secara fizikal ataupun siber, dan lain-lain lagi.
Sebaliknya, daripada lawak jenaka yang bermanfaat, selain menghiburkan, audien akan dirangsang untuk berfikir dan mengambil pengajaran di sebalik lawak jenaka yang dibuat menyentuh dan mengkritik sikap dalam pelbagai lapangan hidup dan dengan pengajaran itu menerbitkan motivasi untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Ini jenis lawak yang berlaku dipromosikan mengganti lawak-lawak yang rendah kualiti. Justeru, kami mengatakan bahawa hukum berlawak jenaka adalah diharuskan dalam syarak selagi mana menepati kriteria-kriteria yang kami sebutkan di atas.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Muslimah Memakai Jeans dan Sneakers, Ini Penjelasannya Elak Keliru Dikatakan Menyerupai Lelaki

Isi Kandungan
ToggleAdakah perempuan yang memakai jeans dan sneakers dikira menyerupai lelaki?
Jawapan:
Bismillahirrahmanirrahim.
Allah S.W.T telah menciptakan manusia dari jenis lelaki dan perempuan dan masing-masing dilengkapkan dengan ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 37 hingga 39:
“Bukankah dia (manusia) berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.”
Menyerupai jantina yang berlainan merupakan satu perbuatan yang menyalahi fitrah insan dan ketetapan Allah. Rasulullah telah bersabda:
“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).
Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546).
Berdasarkan hadith yang telah disebutkan diatas, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya al-Fiqhul Islami wa Adilatuhu adalah haram bagi lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki [1].
Allah S.W.T telah menjadikan pakaian juga sebagai perhiasan bagi si pemakai. Maka perhiasan itu suatu yang tidak menyalahi hukum malah ianya merupakan fitrah seorang insan. Sebagai seorang Muslim, kita harus memastikan pakaian yang dikenakan pada tubuh badan hendak sesuai dan bertepatan dengan syariat Islam.

Pemakaian Jeans dan Sneakers bagi Perempuan
Berbalik kepada soalan, jeans merupakan seluar yang diperbuat dari kain yang lasak. Kebiasaanya, seluar adalah pakaian bagi lelaki tetapi telah mula dipakai oleh golongan wanita. Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkan secara terus pemakaian segala jenis seluar oleh wanita. Namun begitu, ramai juga dikalangan ulama yang membenarkan pemakaian seluar kepada wanita berdasarkan jenis seluar yang dipakai.
Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.” (Sahih Bukhari, no: 5804). Hukum ini umum, bagi membolehkan perempuan dan lelaki memakai seluar. Asalkan seluar perempuan hendaklah berbeza dengan seluar lelaki kerana mereka tidak boleh sama dalam bentuk penampilan diri.
Syeikh Atiyyah Saqqar, Mantan Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif di dalam kitabnya Mausucah al-Usrah turut mengharuskan pemakaian seluar bagi perempuan. Namun begitu, pemakaian seluar tersebut haruslah terhindar dari sebarang fitnah dan tidak menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang mengiurkan dan berwarna warni yang mengundang perhatian [2].
Menurut Profesor Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam bukunya Fatawa Muacsirah muka surat 191 ketika ditanya tentang hukum gadis atau perempuan memakai seluar panjang. Ia memjawab hukumnya haram kerana ia sempit (ketat) yang boleh menampakkan bentuk badan yang boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga kerana ia menyerupai lelaki dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai lelaki. Akan tetapi jika ia memakai pakaian-pakaian luar (baju atau jubah) dengan syarat pakaian luar itu longgar serta menutupi seluar serta labuh sehingga ke paras bawah lutut maka hukumnya harus.
Oleh itu, adalah harus bagi perempuan untuk memakai jeans selagi mana jeans yang dipakai berbeza dengan lelaki dan longgar (tidak menampakkan bentuk punggung dan kaki).
Bagi sneakers pula, di pasaran terdapat perbezaan antara sneakers lelaki dan perempuan. Bagi mengelakkan isu menyerupai lelaki, seorang perempuan haruslah memilih sneakers yang direka untuk perempuan sahaja.

Tatacara Pemilihan Pakaian bagi Muslimah
Secara umumnya, seorang Muslimah seharusnya memilih pakaian yang sesuai dan menutup aurat. Pemilihan pakaian juga seharusnya bersesuaian dengan tujuan dan tempat si pemakai. Sebagai contoh, jika seorang muslimah ingin bersukan, pakaian yang sesuai semestinya berseluar, berbaju sukan dan berkasut sukan. Berbeza pula jika seorang muslimah ingin menghadiri majlis keramaian. Pakaian yang lebih sesuai hendaklah lebih sopan seperti berbaju kurung.
Kesimpulan, adalah disarankan agar para Muslimah sekalian lebih berhati-hati dalam memilih sebarang pakaian agar bertepatan dengan syara’ dan kelihatan lebih sopan bertepatan dengan Surah al-A’raaf ayat 26 yang bermaksud :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (libaasa) pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk (wariisya) perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”.
Wallahucalam.
RUJUKAN
[1] Az-Zuhaili, Wahbah bin Mustofa. Al-fiqhul Islami wa adillatuhu. Dar al-Fikr: Dimasyq. 4/2683.
[2] Atiyyah Saqqar. 2006. Mausucah al-Usrah Tahta Ricayah al-Islam.
SUMBER: MUIS
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sabda Rasulullah SAW, Perkara Paling Aku Takuti Ialah Syirik Kecil Iaitu Riak

SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang paling mulia diciptakan dalam diri manusia ialah hati (kalbu). Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah AnNahl, ayat 78). Malahan Allah SWT menyebut tiga perkataan ini dalam Al-Quran sebanyak 132 kali yang menggambarkan kepentingannya kepada manusia.
Dalam kesemua anggota tubuh, hati ibarat raja dan amat penting dalam kehidupan manusia. Jika hati baik, suci murni maka baiklah kehidupan mukmin. Tapi kalau rosak, maka rosaklah seluruh kehidupannya. Memelihara hati bukan seperti merawat tulang yang patah sebaliknya hanya ketakwaan dan sentiasa perlu memohon keampunan dari Allah agar sentiasa terpelihara dengan rahmat Allah SWT.
Tapi hati juga kalanya diuji dengan sikap riak dan takbur. Ramai manusia asalnya mahu bergurau, itu mungkin pada lidah menyebutnya namun hati terdetik tiada siapa yang tahu. Riak itu syirik kecil dan sebagai manusia, kita harus berasa takut jika terjerumus ke lembah kesyirikan.
Ini kerana syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa’: 48)
Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129). Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103). Ini bermaksud, jika dia meninggal dunia dalam keadaan sempat bertaubat, maka dia akan selamat daripada azab neraka.
Rasulullah SAW bersabda,
أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ
“Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”(Riwayat al-Bukhari, no. 6919)
Jika syirik itu dosa besar, riak itu pula adalah syirik kecil dan pastinya kita tidak mahu kalau-kalau ada perbuatan kita jatuh kepada riak.
Apa dimaksudkan dengan riak?
Perlu kita fahami apa yang dimaksudkan dengan riya’. Ini supaya tidak tersalah faham tentang makna riya’ yang sebenar.
Jika kita amati, Allah ada menjelaskan berkaitan sifat riya dalam beberapa ayat di dalam al-Quran :
ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ﴿٥﴾ ٱلَّذِينَ هُمْ يُرَآءُونَ
Maksudnya :” (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).” (Surah al-Ma’un :5-6)
Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya’ ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. Rujuk Mafatih al-Ghaib ( 32/301)
Firman Allah di dalam ayat yang lain :
فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَـٰلِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا
Maksudnya :” Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi : 110)
Dalam sebuah hadis Qudsi. Allah berfirman :
أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِى غَيْرِى تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ
Maksudnya :” Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu.” Riwayat Muslim (7666)
Al-Qadhi Iyadh menyebut :
“ Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riya’ itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan.” Rujuk Faid al-Qadir (4/483)
Dalam hadis yang lain, Nabi saw pernah menjelaskan tentang makna riya’. Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Mahmud Bin Labid ;
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya :” Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kcil wahai Rasulullah. Nabi saw berabda : Itulah Riya’. Allah swt akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” Riwayat Ahmad ( 23630) di dalam Musnadnya.
Kesemua ayat al-Quran dan hadis yang telah kami sebutkan merupakan penjelasam berkenaan apa itu riya. Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riya’ kepada beberapa bahagian. Iaitu riya’ pada agama,tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain.
- Contoh Riya’ pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat
- Riya’ pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
- Riya’ pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku’ yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.
Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata :” Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”
Kami tegaskan disini seperti berikut :
- Jika ibadat suruhan yang mesti dilakukan maka hendaklah dilakukan juga sekalipun datang riya’ tetapi hendaklah mujahadah untuk hilangkan riya’ seperti pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jemaah.
- Jika sekiranya ibadat tersebut ada pilihan maka lebih baik dilakukan secara sembunyi kalau riya’ boleh datang dalam dirinya seperti sedekah. Maka aula baginya sedekah secara sembunyi tanpa terang-terangan.
- Jika sekiranya menunjuk itu dengan niat sebagai menggalakkan seseorang untuk mengikuti sebagai satu sunnah yang baik maka dibolehkan. Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW daripada Jarir :
مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةَ شَرٍّ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ وَمِثْلُ أَوْزَارِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا
Maksudnya :” Sesiapa yang buat satu ikutan yang baik lalu diikuti maka baginya pahala dan pahala yang serupa bagi sesiapa yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sikit pun pahala mereka. Dan barangsiapa yang buat satu ikutan yang jahat lalu diikuti, maka baginya dosa dan dosa yang serupa bagi yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sedikit pun.” Riwayat al-Tirmizi (2890). Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih.
Semoga Allah menjauhkan kita dari sifat riya’ dan berdoa agar amalan kita terpelihara dari sebarang kekotoran. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
WEBINAR JODOH 💖: SUAMI KIRIMAN ILAHI
✨Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh💘
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
✅ Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku❓❓” 🤷🏽♀
✅ Jelas ✨ dan yakin 💪🏻 dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh 💘 (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
✅ Akan dijauhi heartbreak 💔 dan lelaki yang tak serius 👻
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis 💞
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-jodoh-suami-kiriman-ilahi/
Untuk bimbingan awal secara PERCUMA dari Coach Zuhri pula, jom sertai sesi Live CurHat Jodoh bersama Coach jam 9.00 malam – 10.00 malam di:
https://www.instagram.com/kashoorga/ dan
https://www.facebook.com/Kashoorga
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI