Apakah benar pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT? Di dalam Al-Quran diceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal.
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
Justeru, kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah perlu memanfaatkan masa yang ada dengan memperbanyakkan amal soleh supaya ia tidak dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” [Riwayat Muslim (671)]
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadis ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT adalah disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketaqwaan.
Adapun berkaitan tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya disebabkan ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya.
MASJID TEMPAT TURUNNYA RAHMAT
Makna suka dan benci Allah adalah Allah menghendaki akan kebaikan dan juga keburukan. Selain itu, dengan perbuatan-Nya itu akan menyebabkan seseorang itu gembira atau berduka. Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/171] Hal ini juga disebutkan di dalam kitab Fath al-Mun’im. [3/397]
Ads
Imam al-Qurtubhi di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa hadis ini di antara dalil menunjukkan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi di zaman kita yang padanya terdapat percampuran di antara lelaki dan wanita.
Kata para ulama, apabila banyaknya kebathilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan serta mengikut jejak langkah mereka pada urusan agama bagi bagi menyucikan daripada berada pada tempat yang banyak berlakunya maksiat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 13/16]
Tambahan pula, Imam Ibn Batthal ada berkata, masjid merupakan tempat yang disebutkan nama Allah. Manakala, pasar pula adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit. Di samping itu, sekiranya seseorang itu mengingati Allah di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik. [Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari, 6/249]
HUKUMNYA MAKRUH
Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT. Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT. [Lihat: al-Majmu’, 9/154]
Ads
KESIMPULANNYA
Hadis yang membicarakan berkaitan pasar merupakan tempat yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah hadis yang sahih.Selain itu, hukum asal memasuki pasar adalah makruh di sisi para ulama melainkan bagi orang yang berhajat padanya.
Akan tetapi, perlu diingat agar menjaga adab-adab serta tidak menghabiskan banyak masa pada perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga terabainya kewajipan atau tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita serta menerima segala amalan kita yang kita lakukan. Amin.
Kebanyakan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.
Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada:
Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga : Anjing
Keempat : Orang yang junub.
GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA
Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.
Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut.
Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling mendapat seksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)
Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud: Dari ‘Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata ‘Aisyah: “Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?”
Jawab ‘Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.”
PELUKIS GAMBAR AKAN DISEKSA DI HARI KHIAMAT
Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, ‘Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)
Sumber kredit: Ustaz Abu Basyer
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Antara kewajipan seorang muslim adalah mengetahui perihal berkaitan Nabi Muhammad SAW. Daripada setiap pergerakan, percakapan, akhlak ketika Baginda hidup sehinggalah kewafatan Baginda SAW.
Berikut dibentangkan kisah akhir detik kehidupan Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Anas Bin Malik.
Maksudnya: ”Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf. Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi: Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.” Riwayat Muslim (874)
WAFAT HARI ISNIN
Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari Isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat Islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat Islam.
Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW.
Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya:
Maksudnya: ”Kata Ibnu Ishak: ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali: Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar. Kata Ali: masuklah. Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata: Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.”
TUJUH ORANG YANG TERLIBAT
Kesimpulannya, berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah:
Ali Bin Abi Talib
Abbas Bin Abdul Muttalib
Al-Fadhl Bin Abbas
Qutham Bin Abbas
Usamah Bin Zaid
Syuqran Maula kepada Rasulullah
Aus Bin Khauli
Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. Wallahu’alam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia digambarkan sebagai tiang agama. Ini bermaksud, jika seseorang itu tidak menunaikan solat maka akan runtuhlah agamanya. Namun persoalannya adakah benar hadis solat dua rakaat orang berkahwin lebih baik berbanding solat orang yang bujang?
Sabda Nabi SAW: رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Tunjang segala urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat.” [Riwayat al-Tirmizi” [Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]
Selain itu juga, Allah SWT mencipta lelaki dan wanita serta Allah SWT mensyariatkan perkahwinan di antara mereka. Ini kerana, hukum asal atau secara umumnya bagi perkahwinan ini adalah sunat kerana ia berkait dengan fitrah dan keinginan yang ada pada manusia. [Lihat: al-Muktamad, 16/4]
Didapati bahawa hadis ini cukup ‘popular’ dalam masyarakat pada hari ini dan hadis atau riwayat ini sering diucapkan oleh jurunikah di dalam khutbah nikah iaitu:
Dikatakan bahawa Nabi SAW: رَكْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ
Maksudnya: “Dua rakaat orang yang berkahwin lebih afdhal berbanding 70 rakaat orang yang bujang.”
Berikut beberapa pandangan ulama dalam menilai hadis ini, antaranya:
*Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 257/2]
*Imam al-Suyuthi (911 H) menilai hadith ini tidak sahih di dalam kitabnya. [Lihat: al-La’aali al-Masnu’ah, 135/2]
*Imam Ibn Iraq al-Kinani (963 H) menukilkan pandangan Ibn Hajar bahawa hadith ini adalah munkar. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 205/2]
*Imam al-Fattani (986 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih.
*Imam al-Syaukani (1250 H) menilai hadith ini sebagai tidak sahih.
*Imam al-Qawqaji (1305 H) menghukum menghukum hadith ini sebagai palsu.
*Syiekh al-Albani (1420 H) juga menilai hadith ini sebagai tidak sahih.
Setelah melihat dan menekuni beberapa pendapat para ulama seperti di atas, maka dapat dinyatakan bahawa hadis ini adalah tidak sahih. Ini kerana, tidak terdapat perbezaan pada sudut kelebihan bagi orang yang berkahwin atau bujang dalam menunaikan solat.
Adapun antara yang disebutkan atau terdapat di dalam hadis berkaitan perbezaan dari sudut kelebihan dalam ibadah solat ini ialah solat orang yang berjemaah lebih afdhal daripada solat secara sendirian.
Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Solat orang yang berjemaah lebih afdhal berbanding orang yang solat secara bersendirian dengan 25 darjat.” [Riwayat al-Bukhari (646)]
Solat di awal waktu lebih afdhal berbanding orang yang solat di akhir waktu.
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa beliau bertanya Nabi SAW tentang amalan yang paling disukai Allah SWT. Maka Nabi SAW bersabda:
الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا
Maksudnya: “Solat di awal waktu.” [Riwayat al-Bukhari (527)]
KESIMPULAN
Ditegaskan sekali lagi bahawa hadis di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka yang akan menjadi tempatnya di akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadis-hadis yang tidak sahih. Amin.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai dalam kalangan lelaki yang memilih untuk berambut panjang. Tiada masalah tentang hal ini namun perlu diingat ketika solat rambut tersebut sebaiknya dilepaskan dan...