
Lelaki itu imam kepada isteri dan bakal anak-anaknya. Bahkan tanggungjawab lelaki juga sangat besar. Selain mencari nafkah untuk keluarga, tugas terberat mereka juga adalah memastikan anak dan isterinya tidak terseret ke neraka Allah.
Tidak hairanlah suami perlu mendidik anak isterinya mengikut jalan kebenaran dan bukannya hanya memikirkan keseronokan dunia semata-mata. Ramai bergelar lelaki namun belum ramai mampu memikul amanah sebagai seorang suami iaitu membawa isterinya bersama ke syurga Allah.
Berbicara mengenai anak muda, satu social experiment dari akaun Tik Tok @Vilda_E dari negara seberang membuktikan anak muda ditemuramahnya lebih kenal artis berbanding siapa nama isteri Rasulullah dan lebih malang, tidak mampu menghafal niat solat Asar. Seolah membuktikan bahawa hidup ketika usia muda adalah untuk keseronokan semata-mata.
Dengan penampilan berjilbab sepenuhnya, @vilda_emon telah membuat temuramah secara rawak kepada generasi muda yang bercouple.
Awalnya dirinya menunjukkan gambar seorang artis dan kemudian pasangan remaja ini mengatakan itu adalah Fuji bahkan tahu siapa pasangan kekasih kepada artis tersebut.
Kemudian dirinya menyoal, siapakah isteri pertama Rasulullah dan pasangan ini kelihatan keliru sebelum remaja perempuan menjawab Aisyah (sedangkan nama isteri pertama Nabi ialah Siti Khadijah) manakala remaja lelaki hanya mampu berdiam diri.
Ia kemudian dilanjutkan dengan pertanyaan adakah mereka masih solat dan dijawap ia. Dan menyuruh mereka membaca lafaz niat solat Asar dan ternyata mereka gagal menjawapnya terutama lelaki.
Dari social experiment ini, rata-rata netizen menyuarakan rasa sedih mereka. Kata mereka, niat solat Asar pun tak tahu, apa nak jadi dunia pacaran sekarang.
Kata mereka lagi, bagaimana nak bimbing anak orang kalau solat pun tak reti.
Wahai, anak muda ada masa untuk berubah. Begitu juga buat ibu bapa, sentiasalah ingatkan anak-anak tentang solat kerana kita akan ditanya di akhirat kenapa terus give up menegur anak bab solat.
Bahagikan masa ikut keperluan, tidak salah meminati hiburan namun jangan mengagungkan makhluk. Agungkan Allah di hati dan hidup kita. Dunia artis tidak akan membawa ke mana-mana. Jagalah solat kerana ia tiang agama. Jangan abaikan lima waktu ini kerana hidup kita tidak akan ke mana-mana.
https://www.tiktok.com/@vildaemon/video/7100795330542849306?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=6973624686812366338
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Ustaz Segera” Pertikai Imam Al Bukhari Di Twitter! Ini Kelayakan Bergelar Pakar Hadis, Perlu Hafal Lebih 300,000 Hadis Serta Sanad Lengkap

Media sosial menjadi medan mudah menyebarkan pelbagai ilmu. Ada menyampaikan ilmu dakwah, hiburan, kewangan dan lain-lain mengikut apa yang mereka fikirkan. Namun sejak semalam, kecoh ada invidivu yang telah menulis info mempertikaikan mengenai Imam Al Bukhari sekaligus mendatangkan kekeliruan bagi yang mula mendalami agama.
Hal ini ternyata telah membuatkan ramai Ustaz-ustaz berkelayakan “membalas” kenyataan tersebut. Isu ini turut diulas oleh pengguna fb Syapik Hassan yang menulis panjang lebar di fbnya.
Ini sebahagian dari kenyataan dari Syapik Hassan.
“Orang belajar ilmu hadis bertahun-tahun, Maulana Hussein tu, Maulana Ihsan tu, Ustaz Khafidz Soroni tu, Syeikh Nuruddin tu, belajar ilmu hadis dan alat hadis bertahun-tahun. Kau baru tengok 10 video ceramah kat Youtube, baca belas-belas artikel kat Facebook, baca beberapa bebenang lahanat kat Twitter, SESUKA HATI JE PERLEKEH DAN KONDEM IMAM BUKHARI?
Cermin dulu ilmu kau tu taraf mana dibandingkan dengan imam masjid kampung / taman perumahan kau dulu. Kalau sunat ab’adh sunat hai’at dalam solat pun ko tak tau, makna doa iftitah dalam bahasa melayu pun ko tak tau, baik kau bertaubat je la dari jadi perosak agama.
Dalam pada itu, Ust Hafiz Al Za’farani (HAZA) menulis panjang lebar mengenai Imam Al Bukhari dan kelayakan indovidu perlu capia sebelum bergelar pakar hadis. Mudah untuk kita fahami kerana bahaya jika kita ikut-ikutan.
**media[371522]**
SIAPA IMAM AL BUKHARI?
Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.
Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah SAW
Pengajian Hadis
Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah SAW, dan selepas itu buku sejarah bertajuk “Al-Tarikh-al-Kabir”.
Imam Bukhari amat meminati sejarah dan hadis-hadis Rasulullah SAW dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadis Rasulullah. Imam Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan tempat-tempat lain untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmed Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.
Semasa pengembaraannya, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat – mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar sunah hadis Rasulullah SAW. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika berkata “Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah SAW, dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan.”
Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadis Rasulullah SAW dalam buku “Al-Jami-al-Sahih”. Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.
PERINGKAT GELARAN PAKAR HADIS
Menjadi ahli/pakar hadis menjadi rebutan ramai pada akhir zaman ini. Sedangkan para alim ulama begitu tawadhuk tidak mahu menyandang gelaran ini. Terdapat beberapa peringkat gelaran bagi ahli hadis, saya akan senaraikan dari peringkat tertinggi :-
1) Amirul Mukminin Fil Hadis
* gelaran yang diberikan kepada tokoh paling menonjol pada zamannya dalam bidang hafalan dan dirayah hadis serta segala cabang-cabangnya.
* gelaran ini diberikan oleh ulama sezaman dan terkemudian daripadanya sebagai penyaksian terhadap kedalaman ilmu hadisnya
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Syu’bah ibn Al-Hajjaj
• Imam Bukhari
• Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani
2) Al-Hakim
* ulama yang menguasai seluruh ilmu hadis sehingga tidak ada yang tertinggal baginya serta mengetahui setiap ta’dil dan tajrih bagi perawi hadis yang dihafalnya.
* menghafaz melebihi 300,000 hadis termasuk sanad yang lengkap
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Malik bin Dinar
• Imam Laith bin Saad
• Imam Al-Hakim An-Naisaburi
3) Al-Hujjah
* ulama yang memiliki pengetahuan sempurna mengenai hadith dari aspek matan dan sanad hadith, perihal perawi dari sudut al-jarh wa al-ta’dil serta tarikh kelahiran dan kewafatan mereka.
* menghafaz tidak kurang daripada 300,000 hadis berserta perawi yang lengkap
* ulama yang tergolong dalam gelaran al-Hujjah ini antaranya:
• Imam Sufian bin Uyainah
• Imam Al-Darimi
• Imam Al-Tabrani
4) Al-Hafiz
* Seseorang yang masyhur menuntut ilmu hadis di kalangan ulama dan mengetahui tabaqat perawi-perawi dan martabat mereka.
* Mengetahui al-tajrih dan al-ta’dil, membezakan antara sahih dan sebaliknya, sehingga hadith-hadith yang dihafal melebihi 100,000 hadis.
* antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini ialah :
• Imam Al-Mizzi
• Imam Al-Baihaqi
• Imam Al-Suyuthi
5) Al-Muhadith
* Al-Muhadith merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadith riwayat, dirayah serta mempunyai pengetahuan mengenai sebahagian besar hadith-hadith dan para perawi pada zamannya.
* Gelaran ini adalah lebih tinggi daripada gelaran al-musnid
* Antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini :
• Maulana Zakaria Al-Kandahlawi
• Syeikh Mahmud Said Mamduh
• Syeikh Taqi Uthmani
6) Al-Mufid
Al-Mufid :
* Seseorang yang terhimpun pada dirinya syarat-syarat al-muhaddith, serta memenuhi keahlian untuk memberi manfaat kepada para pelajar yang menghadiri majlis mendengar dan menyalin hadith.
* Ia adalah suatu mertabat yang digunakan pada kurun ketiga hijrah.
7) Al-Musnid
* Seorang perawi yang meriwayatkan hadith dengan sanadnya sendiri, sama ada dia mengetahui maknanya atau tidak, melainkan sekadar meriwayatkannya semata-mata.
* Ulama yang menghimpunkan sanad yang banyak dari kebanyakan Al-Muhadith di zamannya.
* Antara ulama yang digelar dengan Al-Musnid :
• Syeikh Alawi Al-Maliki
• Maulana Syah Waliyullah Al-Dahlawi
• Syeikh Yasin Al-Fadani
Inilah darjat-darjat bagi pakar hadis berserta syarat-syarat yang mesti dipenuhi.
Disediakan oleh: Ust Hafiz Al Za’farani (HAZA)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Bolehkah Bayar Fidyah Pada Ahli Keluarga, Bagaimana Kalau Tak Mampu?” – Ini Penjelasan Ustazah Asma’ Harun

Kurang dua minggu lagi, insya Allah kita akan menyambut bulan Ramadan al Mubarak. Bulan penuh rahmat, bulan keampunan dan penuh keberkatan yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam.
Namun dalam menantikan kehadiran bulan Ramadan, terlebih dahulu kita diwajibkan mengqadakan puasa yang tertinggal tahun lalu (jika berkemampuan dan upaya melakukannya). Bahkan bagi yang mengandung dan menyusukan bayi, dibolehkan membayar fidyah. Tapi bagaimana kalau kita diuji dengan ketidakmampuan kewangan atau bolehkah fidyah dibayar kepada ahli keluarga kita yang susah?. Dari page Ustazah Asma’ Harun, penceramah terkenal ini berkongsi kemusykilan berkaitan perkara ini.
"Ustazah, saya dikehendaki membayar fidyah kerana hamil dan risaukan kandungan.
Di manakah saya perlu berurusan untuk menjelaskan fidyah tersebut? Bolehkah saya membayar kepada keluarga terdekat memandangkan mereka susah?
Bagaimana pula jika saya tidak mampu untuk melunaskan fidyah?"
JAWAPAN:-
Fidyah hanya boleh dilunaskan kepada golongan fakir miskin sahaja. Firman Allah SWT:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” (Surah al-Baqarah: 184)
Abdullah bin Abbas menyebutkan dalam satu riwayat:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ. قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ،هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لَا يَسْتَطِعَانِ أَنْ يَصُومَا فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Maksudnya: “Dan wajib ke atas orang yang tidak terdaya untuk berpuasa memberi makan kepada orang miskin”. Kata Ibnu Abbas, "Ayat ini tidak dimansuhkan. Mereka (yang tidak terdaya) adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah mereka memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan."
Dijelaskan dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj:
(وَمَصْرَفُ الْفِدْيَةِ الْفُقَرَاءُ وَالْمَسَاكِينُ) دُونَ بَقِيّةَ الأَصْنَافِ لِقَوْلِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى : طَعَامُ مِسْكِينٍ [البقرة: 184] وَهُوَ شَامِلٌ لِلْفَقِيرُ أَسْوَأُ حَالًا مِنْهُ فَيَكٌونُ أَوْلَى.
Maksudnya: “Saluran fidyah adalah kepada fakir miskin, bukan untuk asnaf yang lain, sebagaimana firman-Nya, 'Sebagai makanan orang miskin'. Perkataan miskin ini turut merangkumi golongan fakir, atau orang fakir yang lebih teruk keadaannya berbanding orang miskin, maka orang fakir lebih utama lagi (untuk diberikan fidyah)."
Fidyah adalah hak golongan fakir miskin sahaja. Ia tidak boleh disalurkan kepada orang lain walaupun mereka termasuk dalam kalangan asnaf zakat.
Hukum pengagihan fidyah, adalah berdasarkan hukum pengagihan zakat, kaffarah dan nazar umum. Maka, seseorang itu tidak boleh membayar fidyah kepada orang yang di bawah tanggungannya.
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan:-
“Sesungguhnya sesiapa yang diwajibkan ke atasnya membayar zakat, tidak sah sekiranya ia menunaikan zakat dengan memberikan zakat kepada sesiapa yang di bawah tanggungan nafkahnya. Sama ada ia daripada isteri, usul (ibu, ayah dan ke atas) dan furu’nya (anak-anak dan ke bawah) walaupun keadaan mereka itu fakir atau miskin.”
Di dalam Kitab al-Muhazzab li al-Syirazi karangan Imam al-Syirazi, beliau menyatakan:
"Tidak diharuskan seseorang itu untuk membayar kepada kaum kerabat dan isterinya yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Ini kerana mereka tidak memerlukan kepadanya (zakat) dan mereka mendapatkan keperluan itu daripada nafkah yang wajib diberikan kepada mereka."
Manakala bagi persolan fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan, maka ulama telah
membahaskan kepada dua pendapat. Pendapat adalah seperti berikut:-
1. Pendapat Pertama : Sebahagian mazhab Syafieah dan Hanabilah.
Pendapat ini mengatakan tidak gugur kewajipan fidyah.
2. Pendapat Kedua : Mazhab Hanafiah, sebahagian Syafieah, dan Hanabilah
Pendapat ini mengatakan gugur fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan.
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar fidyah pada awalnya, kemudian setelah itu berkemampuan, adakah menggugurkan kewajipan tersebut?
Maka, Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab
“Jika kita mengatakan wajib fidyah ke atas orang tua, pesakit yang putus asa daripada sembuh, tetapi jika dia itu mu`sir (orang susah); adakah dia masih wajib membayar fidyah apabila dia kembali senang, atau sudah gugur apa-apa kewajiban daripadanya?
Dalam isu ini ada dua qoul (pendapat Imam al-Syafie) seperti hukum kaffarah. Pendapat yang asoh (lebih sahih) dalam isu kaffarah ialah kekal liabiliti untuk membayarnya apabila sudah senang kerana fidyah itu wajib sebagai timbal balas akibat jenayah yang dia lakukan (seperti zihar atau jimak waktu siang Ramadhan) seperti hukum balasan bagi orang yang melanggar larangan buruan.
Tetapi sewajarnya di sini hukum yang asohnya ialah bahawa liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu`sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang, sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa timbal balas kerana suatu perbuatan jenayah, atau seumpamanya.”
RUMUSAN:
1. Berbalik kepada soalan Puan, fidyah boleh dibayar menggunakan duit dan boleh dilunaskan melalui pihak berkuasa zakat negeri sebagai wakil pemudah cara pengurusan fidyah.
2. Puan juga boleh melayari portal rasmi Pusat Pungutan Zakat negeri sebagai medium pengiraan fidyah.
3. Namun sekiranya Puan ingin melunaskan fidyah secara terus kepada ahli keluarga, maka tidak dibolehkan sekiranya mereka tergolong di bawah tanggungan Puan.
4. Walau bagaimanapun, sekiranya bukan di bawah tanggungan, maka dibolehkan membayar fidyah kepada mereka dan ini adalah lebih afdhal dan diutamakan dengan syarat mestilah daripada golongan miskin.
5. Golongan yang berada di bawah tanggungan adalah seperti :-
– Ibu ayah dan ke atas seperti datuk dan nenek.
– Anak-anak dan ke bawah seperti cucu.
– Isteri.
6. Golongan yang tidak berada di bawah tanggungan adalah seperti :-
– Adik beradik.
– Saudara mara seperti sepupu, makcik dan pak cik.
7. Bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar fidyah, maka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa sekalipun jika akan datang dia ditaqdirkan sembuh.
8. Hal ini kerana, kewajiban fidyah yang dikenakan bukan kerana kaffarah dosa. Ia adalah kerana keadaan dia yang tidak mampu pada saat wujud sebab taklif.
Wallahua’lam.
Rujukan:
1) Manhaj Fiqh al-Syafi'i oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji.
2) Soal Jawab Fiqh Ibadah: Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah Jilid 3 oleh Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Hussin.
3) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
https://muftiwp.gov.my/…/3828-al-kafi-1444-bolehkah…
https://muftiwp.gov.my/…/4495-irsyad-fatwa-khas…
4. Fidyah bagi orang yang berbuka puasa disebabkan sakit yang tiada harapan sembuh
https://www.alukah.net/spotlight/0/88594/
Semoga bermanfaat buat semua.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
ASMA' BINTI HARUN
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bacalah Ayat 36, Surah Yasin, Secara Istiqamah, Mustajabnya Buat Suami Makin Sayang

Dalam membina kasih sayang yang kukuh bersama pasangan, jangan mengharapkan seorang saja untuk berusaha melakukannnya.
Kedua-dua belah pihak perlu saling bantu-membantu dalam usaha mengukuhkan hubungan sedia ada.
Dan sebagai umat Islam, kita perlu mempraktikkan amalan yang dituntut melalui beberapa doa yang bagus untuk dilakukan sama ada suami atau isteri.
Artikel Berkaitan: Isteri Tengah Mengandung, Selain Puasa Sunat Suami Elok Amalkanlah Surah Al-Fatihah, Luqman, Yasin, Yusuf & An Nahl
Terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan seperti yang dituntut dalam masyarakat kita. Semoga hubungan terjalin kekal bahagia till jannah.
UNTUK SUAMI SAYANG, CUKUP AMALKAN
7 DOA INI.!!
Perkonsian tujuh ayat atau doa yang boleh diamalkan isteri agar semakin hari semakin menggunung kasih sayang suami terhadap kita.
1 ] Zikir Ya Latif
Latif bermaksud lembut. Apabila anda mengamalkan zikir Ya Latif, maksudnya anda mendoakan agar suami menjadi lembut hatinya dan menyayangi anda tanpa berbelah bahagi, tidak mudah marah dan mengurangkan perselisihan dalam rumah tangga. Anda boleh amalkan membaca zikir Ya Latif sekerap yang mungkin setiap hari.
Panduan istimewa untuk anda, baca zikir ini ketika membasuh beras yang dimasak untuk ahli keluarga tersayang. Sebut Ya Latif sambil berniat dalam hati mohon Allah lembutkan hati suami. Sekiranya anak-anak anda selalu bergaduh atau tidak mendengar cakap, boleh juga niat sekali untuk anak.
Rumi: Ya Latiffu Ya Kahfi Ya hafizu Ya Syafi Allah Ya Latifu Ya Kahfi Ya Hafizu Ya Syafi Allah Ya Latifu Ya Wafi Ya Karimu Anta Allah
Maksudnya:
Wahai Yang Maha Lemah Lembut
Wahai Yang Maha Mencukupi
Tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang wujud, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang disembah, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang ditujui, tiada Tuhan melainkan ALLAH
Yang maha besar, tiada Tuhan melainkan ALLAH
2 ] Surah Yasin ayat 36
Surah Yasin dikatakan jantung al-Quran, justeru umat Islam disarankan membaca surah berkenaan setiap hari. Begitu pun, memandangkan gaya hidup masyarakat yang sangat sibuk pada hari ini, mungkin agak sukar untuk meluangkan masa membaca keseluruhan Surah Yasin setiap hari.
Apa yang boleh anda lakukan adalah membaca ayat ke-36 dalam surah terbabit dan niatkan untuk mengikat kasih sayang antara anda dengan suami. Baca sekali sehari sudah memadai, jadikan sebagai amalan harian.
Rumi: Subhaanalladzii khalaqa lazwaaja kullahaa mimmaa tunbitul ardhu wamin anfusihim wamimmaa laa ya’lamuun
Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, atau daripada diri mereka, ataupun daripada apa yang mereka tidak mengetahuinya”.
Artikel Berkaitan: Ini Kelebihan Baca Surah Al-Kahfi Di Awal & Akhir Ayat Pada Hari Jumaat. Boleh Jadi Benteng Fitnah Dajjal!
3 ] Surah Al-Hujurat ayat 13
Doa pengasih untuk suami yang seterusnya ialah ayat ke-13 dalam surah al-Hujurat. Amalkan membaca ayat ini setiap hari dengan berniat supaya ikatan kasih sayang antara anda dengan suami berkekalan sampai bila-bila.
Rumi: Yaa ayyuhaa alnnaasu innaa khalaqnaakum min dzakarin wauntsaa waja’alnaakum syu’uuban waqabaa-ila lita’aarafuu inna akramakum ‘inda allaahi atqaakum inna allaaha ‘aliimun khabiirun
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
4 ] Doa agar suami tidak berlaku curang
Ketika suami sedang tidur atau suami sedang beristirehat, pujilah suami anda. Usap dan belailah rambut atau wajahnya sambil membaca Surah Yusuf Ayat ke-4. Ambil ayat yang pengakhiran sahaja.
Kalau boleh hembus terus pada muka suami.
Rumi : Inni ro aitu ahada ‘asharo kaukaban wash-shamsa walqomaro ro-aituhum lisajidin
Maksudnya : “Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.
5 ] Doa agar suami sentiasa jujur dan tidak berahsia
Sama juga seperti nombor 4, anda disarankan mengusap atau membelai suami sambil membacakan Surah Taha Ayat ke-39, tetapi ambil ayat yang hujung sahaja.
Rumi : Wa alqaitu ‘alaika mahabbatammini walitusna’a a’laa ‘ain
Maksudnya : Dan Aku telah tanamkan daripada kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu, dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
Boleh juga cuba baca dan dihembuskan kepada suami atau minuman suami. Juga boleh diamalkan ketika memasak atau menyediakan pakaian suami.
6 ] Doa agar suami tidak ada niat untuk berkahwin lagi satu
Antara panduan lain untuk melembutkan hati suami adalah dengan menawarkan diri untuk mengurut mereka. Jika anda menawarkan untuk memberikan urutan pada tengkuk, leher, belakang badan atau lain-lain, pasti suami tidak akan menolak. Ketika itu, bacalah Surah Ali Imran ayat ke-31 ini.
Rumi : Qul inkuntum tuhibbu nallaha fattabi’u ni yuhbib kumullahu wa yaghfir lakum zunubikum wallahu ghafururrahim
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Baca ayat ini sambil mengurut suami. Insya-Allah hati suami akan lembut dan bertambah kasih sayangnya kepada anda. Bagaimanapun, penulis yakin jika anda tidak membacakan ayat ini kepada suami, dia pasti menyayangi anda jika setiap hari anda menawarkan untuk mengurutnya.
7 ] Doa agar suami setia
Amalkan Surah Ali Imran Ayat ke-200 ini selepas solat fardu harian. Ayat ini bukan untuk suami, tetapi untuk diri sendiri. Amalkannya setiap hari Insya-Allah menemui kejayaan.
Rumi : Ya aiyuhallazi na amanusbiru wa sobiru wa robithu wattaqullaha la’allakum tuflihun
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Mudah-mudahan dengan amalan doa ini, Allah SWT memelihara perkahwinan kita semua. Amin.
SUMBER: FACEBOOK MAJLIS ILMU
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI