Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin. Firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…”
(Surah al-Baqarah: 187)
Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.”
Berhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. Terdapat dua pendapat.
Pertama, jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.
Kedua, hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.
Hujah dan Dalil
Dikemukakan di sini dalil serta hujah dari kedua-dua belah pihak.
Hujah Jumhur Yang Mengatakan Batal Puasa
Pandangan 4 mazhab di kalangan jumhur.
Mazhab Hanafi
Imam Al Kasani dari kalangan Hanafiah menyebutkan di dalam kitabnya Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’, 2/100berkata:
ولو تسحر على ظن أن الفجر لم يطلع فإذا هو طالع أو أفطر على ظن أن الشمس قد غربت فإذا هي لم تغرب فعليه القضاء ولا كفارة لأنه لم يفطر متعمدا بل خاطئا
Maksudnya: “Jika seseorang bersahur dengan menyangka bahawa fajar belum terbit, sedangkan sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan menyangka bahawa matahari telah tenggelam, padahal sebenarnya ia belum tenggelam, maka wajib baginya mengqadha puasa nya tersebut tanpa perlu membayar kaffarah. Ini kerana dia tidak membatalkan puasanya tersebut secara sengaja tetapi tersilap.”
Mazhab Maliki
Ibn Abdi al-Barr dari kalangan Malikiyah menyebutkan dalam kitabnya Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah, 1/350:
ومن السنة تعجيل الفطر وتأخير السحور والنهار الواجب صومه هو من طلوع الفجر إلى مغيب الشمس فإذا استيقن الصائم مغيبها حل له الفطر فإن ظن ان الشمس قد غربت بغيم أو بغيره فأفطر ثم ظهرت الشمس فعليه القضاء
Maksudnya: “Daripada sunnah ialah menyegerakan berbuka dan menta’khirkan sahur. Pada siang hari maka wajib baginya berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Apabila ia yakin telah tenggelamnya matahari, maka halallah baginya berbuka. Sebaliknya diwajibkan baginya mengqadha puasa sesiapa yang berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam dengan sebab lindungan awan atau lainnya padahal belum tenggelam.”
Mazhab Syafie
Berhubung mazhab kita iaitu mazhab al-Syafie, Imam al-Nawawi menjelaskan:
وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.
Maksudnya: “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363)
Begitu juga hukum yang sama iaitu batal puasa bagi yang menyangka tenggelam matahari, sedangkan hakikatnya belum tenggelam, boleh ditemui dalam Nihayat al-Muhtaj, 3/174; Fath al-Mu’in, hlm. 269; Mughni al-Muhtaj, 2/161.
Mazhab Hanbali
Ibnu Qudamah dari kalangan Hanabilah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni, 3/145
وكل من أفطر والصوم لازم له، كالمفطر بغير عذر، والمفطر يظن أن الفجر لم يطلع وقد كان طلع، أو يظن أن الشمس قد غابت ولم تغب، أو الناسي لنية الصوم، ونحوهم، يلزمهم الإمساك. لا نعلم بينهم فيه اختلافا
Maksudnya: “Dan setiap yang berbuka sedangkan puasa wajib baginya seperti orang yang berbuka tanpa uzur, dan yang berbuka dalam sangkaan bahawa fajar belum terbit, sedangkan sudah terbit atau sangkaan matahari telah tenggelam padahal belum, atau orang yang lupa niat puasa dan seumpamanya maka dia wajib untuk melanjutkan puasanya tersebut, tanpa ada khilaf sepengetahuan kami berkaitan hal ini.”
Hujah dan Dalil Yang Menyatakan Tidak Batal
Dikemukakan di sini sebahagian daripada hujah mereka.
Mazhab Hanbali
Al-Mardawi dari kalangan Hanabilah mengatakan dalam kitabnya Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf, 3/310
وإن أكل يظن الغروب، ثم شك ودام شكه: لم يقض وجزم به، وقال في القاعدة التاسعة والخمسين بعد المائة: يجوز الفطر من الصيام بغلبة ظن غروب الشمس في ظاهر المذهب،
Maksudnya: “Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qadha’ puasa tersebut. Dan inilah yang dijazamkannya. Dia berkata pada kaedah 159: Harus berbuka puasa dengan sebab sangkaan berat matahari telah tenggelam pada zahir mazhab.”
Mazhab Zahiri
Ibnu Hazm Al-Andalusi menyebutkan dalam kitabnya Al-Muhalla Bi Al-Athar, 4/356:
ومن ظن أنه ليل ففعل شيئا من ذلك فإذا به قد أصبح؛ أو ظن أنه غابت الشمس ففعل شيئا من ذلك فإذا بها لم تغرب -: فإن صوم كل من ذكرنا تام لقول الله تعالى: { وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ }
Maksudnya: “Siapa yang menyangka bahawa masih malam lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), sedangkan sebenarnya sudah waktu Subuh atau pagi, atau dia menyangka matahari telah tenggelam, lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), tetapi sebenarnya belum tenggelam lagi, maka puasanya setiap mereka yang kami nyatakan adalah sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”
Jawapan Kepada Hadith al-Bukhari
Lafaznya seperti berikut:
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَتْ: «أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ
Maksudnya: “Daripada Asma’ binti Abi Bakr R.Anhuma berkata: ‘Kami telah berbuka puasa pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih lagi muncul.”
Hadith ini adalah hadith sahih riwayat al-Bukhari, no. 1959.
Untuk menjawab isu ini, alangkah baiknya kita melihat perawi yang menyebut selepas lafaz hadith ini. Antara lain berkata:
قِيلَ لِهِشَامٍ: فَأُمِرُوا بِالقَضَاءِ؟ قَالَ: «لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ»
Maksudnya: “Ditanya kepada Hisham: ‘Maka apakah mereka diperintahkan untuk qadha’? Jawabnya ‘Mesti qadha’.”
Tarjih
Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:
عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ
Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”
Bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)
Usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan