Zikir merupakan satu kaedah yang memfokuskan kepada penyucian hati dengan memikirkan keagungan dan mengingati nikmat-nikmat Allah. Dengan memikirkan keagungan kuasa Allah ini, diri akan rasa selamat selagi mana kita masih dalam zon beramal mencari redaNya.
Begitu juga dengan getaran dan alunan zikir yang difokuskan untuk mengingati nikmat-nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya, menyebabkan hati sentiasa melahirkan rasa syukur dan tenang.
Firman Allah mafhumnya:
Tidakkah dengan zikir (memperingati) Allah itu akan menenangkan hati-hati (yang resah)?- (Ar Ra’du: 18)
Ayat di atas menyampaikan pesan tentang betapa besarnya peranan zikir yang mampu memberi ketenangan kepada jiwa yang membacanya. Untuk merawat penyakit-penyakit hati, terapinya adalah zikir. Rasulullah s.a.w sendiri ada menyebut dalam sebuah hadis, mafhumnya:
Apabila hatiku resah, aku akan tenang bila melihat dedaunan yang menghijau, atau mendengar bunyi deruan air mengalir, atau melihat wajah-wajah (manusia) yang manis. Dan aku paling tenang apabila dapat bermunajat dengan Tuhanku.
(Mafhum Hadis)
Meskipun perawatan hati yang resah itu boleh dilakukan dengan melihat dedaunan menghijau, atau mendengar deruan air mengalir ataupun menatap wajah-wajah yang manis, namun dengan berzikir dan bermunajat kepada Allah itu akan lebih menenangkan.
Fitrah ciptaan manusia diciptakan dengan diisi dalam dirinya sekeping hati. Selain akal, hati juga memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu keputusan dan tindakan dalam hidup seharian kita. Dengan hati, kita diberi naluri yang bersifat fitrah seperti suka hati, sakit hati, sedih hati, besar hati, kecil hati dan sebagainya. Jika diamati, setiap tindakan itu akan merujuk kepada keadaan hati kita. Seperti kata pujangga,
‘Hidup Seindah Hati’. Kerana itu, perlu dipastikan agar hati kita sentiasa dirawat dan terelak daripada penyakit-penyakit negatif seperti mana yang sering disebut oleh Imam Al Ghazali, takabur (sombong), riya’ (menunjuk-nunjuk) dan ‘ujub (hairan dengan kehebatan diri).
Dalam konteks lain, penyakit hati ini boleh dikenal pasti apabila seseorang itu malas beribadah, meringankan hal-hal berbuat maksiat, cintakan dunia keterlaluan dan sering lalai daripada mengingati Allah. Maka, oleh disebabkan itulah, Rasulullah menegaskan pentingnya hati yang sihat daripada segala macam penyakit, agar tindakan amalan kita menjurus kepada amalan-amalan yang soleh.
Sabda Rasulullah s.a.w, mafhumnya:
Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Merawat Hati
Bagi merawat penyakit-penyakit hati ini, amalan zikir merupakan alternatif yang sangat efektif, selain mendirikan solat dan membaca Al Quran. Ia bukan sahaja dapat membentuk hati menjadi lembut dan seterusnya mengagumi keagungan Allah, bahkan dengan sendirinya dapat menghapuskan penyakit takabbur, riya’ dan ujub.
Hanya orang yang dicelikkan mata hatinya sahaja yang dapat berasakan betapa besarnya manfaat dan ganjaran pahala bagi yang mengamalkannya. Berzikir itu adalah amalan yang ringan dan mudah. Malah, bagi mereka yang banyak berzikir akan dapat menyuburkan rasa syukur kepada nikmat-nikmat yang Allah kurniakan serta mengelakkan bibir dari menyebut perkataan-perkataan yang sia-sia.
Zikir yang dilafazkan di bibir serta dapat difahami dengan hati, akan menyebabkan diri kita sentiasa dekat dengan Yang Maha Pencipta, seumpama seorang pencinta yang merindui kekasihnya. Dengan mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah itu, rasa takwa dan penyerahan diri kepada Allah akan kian bertambah. Bertepatan dengan firman Allah, mafhumnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Al anfal: 2)
Sebenarnya bukan sahaja penyakit nurani mahupun hati, tetapi jika dilihat dari sudut perawatan penyakit-penyakit lainnya juga, ahli psikologi telah lama membuat penyelidikan tentang terapi psikologi untuk pesakit-pesakit.
Meskipun penyakit yang dihidapi adalah berbentuk penyakit fizikal, namun perawatan psikologi sangat diperlukan. Kerana itu, banyak pusat-pusat rawatan atau hospital yang terkenal di seluruh dunia akan disertai dengan pusat ibadat yang mampu memberi sokongan spiritual untuk pesakit.
Kalimah ‘Allah’.
Menurut kajian ilmu perubatan hari ini, 70 peratus punca penyakit disebabkan bermula dengan masalah psikologi. Oleh sebab itu para doktor atau perawat tradisional akan memulihkan kekuatan jiwa pesakit dengan pelbagai kaedah. Antaranya, kaedah psikologi bagi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri pesakit. Dengan pemulihan kekuatan jiwa pesakit, rawatan akan cepat memberi kesan untuk proses penyembuhan seterusnya.
Kajian seorang ahli psikologi menunjukkan bahawa menyebut kalimah “Allah” di dalam hati dapat menyembuhkan penyakit stres. Ini kerana pada setiap huruf kalimah itu mengandungi getaran tenaga di mana frekuensinya mampu melegakan sistem pernafasan dan menstabilkan nadi. Untuk menghancurkan tenaga yang frekuensi lemah atau gelombang getaran jin dan syaitan, perawat biasanya memasukkan doa dan zikir tertentu pada pesakit yang disalurkan secara langsung atau dipindahkan melalui air yang diberi minum kepada pesakit.
Imam Ibnu Qayyim berkata: ‘Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur maka dia akan memperoleh pelbagai hikmah.’
Sama-samalah kita memastikan hati kita sentiasa sihat. Kalaupun sekali sekala terganggu, cepat-cepatlah dirawat dengan berzikir kepada Allah. Menurut kata pujangga bernama Al Hakim, beliau mengatakan:
Sekiranya kamu rindu berbicara dengan Allah, maka bersolatlah… dan sekiranya kamu rindu mendengar Allah berbicara, maka bacalah Al-Quran (kalam Allah).
Bersolat dan membaca Al-Quran adalah antara aktiviti yang termasuk dalam kelompok zikir. Untuk memperkukuhkan lagi kesihatan hati kita, sentiasalah basahkan bibirmu dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir. Sentiasalah alunkan zikir mengingati dan menyebut nama Allah, kebesaran Allah, kekuasaan Allah serta nikmat-nikmat yang disediakan olehNya agar hati kita sentiasa cair dan lembut dalam dakapan kasih sayangNya.