
Kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Mendidik anak-anak lebih afdhal dilakukan ketika mereka masih kecil lagi. Dalam Islam, pendidikan agama merupakan tanggung jawab utama ibu bapa yang sepatutnya telah dibiasakan sejak kecil lagi.
Kagum dengan cara seorang bapa yang tinggal di pinggir Perancis mendidik anak-anaknya yang masih kecil. Tinggal jauh nun di perantauan tidak menghalang buat lelaki ini menerapkan pendidikan agama kepada anak-anaknya meskipun anak-anaknya masih kecil.
https://www.instagram.com/p/BpEvxclD3jK/?utm_source=ig_web_copy_link
Bila Diajak ke Masjid Waktu Subuh
Bila bersama anak2, suka pulak aku merakam dan merekod segala aktiviti kami !
Dan kami kongsikan bersama semua, terutama keluarga di Malaysia, khusus atok dan nenek anak2 aku ni haha
Parents aku memang yakin cara aku jaga anak2 ni, matang seperti seakan2 mempunyai 30 tahun pengalaman alam berumah tangga
kikiki *ni aku melebih.
Syukur anak2 suka bila diajak untuk ke masjid, kadang bukan sebab mereka ini islamik atau keluarga kami islamik, tapi kerana mereka suka aktiviti luar ! ajak ke masjid seakan2 mengajar keluar berjalan ke playground, tentu sekali mereka seronok hehe
Ape yang best nye,lebih mencabarnya dan uniknya adalah, waktu ni ke masjid untuk solat subuh, muawwidz masih tido, waled ajak, “nak ikot waled pergi mosquée tak ?”, dalam keadaan mata maish tertutup, muawwidz jawab “Nak!” hahaha, terus bangun siap2 nak ikot adududu, adik2 yang lain begitu jugak hehe
Sampai ke masjid, sorang ikut waled solat, sorang naik mimbar masjid jadi khatib, sorang jalan2 macam tengok site construction, hai anak waled oi ! hahaha
Yang bagus, dengar cakap waled, waled kata jangan bising2, semua dengar dan taat ! hehe
Moga nanti, kalian membesar dengan suasana yang hebat untuk menjadi orang hebat ! *seperti waled :p haha, dan menerajui Elfaransee dengan lebih hebat haha
Aku doakan kita semua , aku dan sahabat2 semua dikurniakan anak yang baik2, penyejuk di mata, penenang di hati Ameennn
insyaAllah 🙂
Kita lah yang mencorak kan mereka mengikut acuan masing2 hehe 🙂
Doakan aku dan isteri Aishah Ismail dipermudahkan segalanya di bandar Besançon, Perancis ini 🙂
Moga kita ibu bapa dapat mendidik dan menerapkan ilmu agama kepada anak-anak sejak mereka masih ‘hijau’ lagi. Kita doakan anak-anak kita menjadi insan yang soleh dan solehah. Aamiin.
Sumber kredit: @Abuzar_Elfaransee
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mengemas Rumah Tugas Suami Atau Isteri?

Adakah tugas mengemas rumah dan memasak itu menjadi tanggungjawab suami atau isteri? Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak. yakni suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan.
Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.
Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri. Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.
Walaupun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu. Lihat al-Syarh al-Kabir dan Hasyiah al-Dusuki (2/510).
Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah. Lihat Fath al-Bari (9/507).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah (terj.) 3/144 menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”
Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup rumah tangga sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.
Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”
Walaupun begitu, suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.
Walau bagaimanapun dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh, mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Suami Kalau Ikhlas Sayang, Tak Ada Anak Pun Dia Akan Sayang Sampai Mati

Pasangan yang sudah berkahwin pastinya menginginkan cahayamata sebagai pengikat kasih. Namun tidak semua pasangan yang mendirikan rumah tangga berpeluang memilikan cahaya mata sendiri. Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyambung zuriat namun tidak kurang juga yang masih terus menunggu zuriat diimpikan, malangnya masih belum kunjung tiba.
Dalam situasi ini kaum wanitalah yang paling tertekan dan sering dipersalahkan. Ikuti catatan Suffiyah Ramadhani II tentang wanita-wanita yang berkahwin namun masih belum mempunyai zuriat.
Aku nak beri sedikit motivasi buat isteri-isteri di luar sana yg masih belum mengandung setelah bernikah buat berberapa ketika.
Memang awal pernikahan, kita mengharapkan sgt² kehadiran zuriat. Kita akan lalui fasa menunggu agar tak datang period pada setiap bulan yg berlalu.
Tapi setelah 6 bulan kawen, tak ada lagi tanda² akan mengandung, malah period datang macam biasa je, macam tak bersalah pulak ye?
Lepas tu kita pun start rasa tertekan, eh bila la nak mengandung ni. Org lain elok je bunting pelamin segala, ada yg lps pantang terus hamil lagi.
Mudahnya, MashaaAllah. Kengkawan pulak jenis yg tahu je mengandung, terus update pregnancy test kit tunjuk pada semua, lepas tu tak habis cerita pasal muntah, mual, muak loya setiap pagi.
Penuh newsfeed dgn cerita mereka.
Buat wanita/ isteri yg mengharapkan kehamilan, bersabarlah. Aku nak kamu semua buka mata, lapangkan perasaan dan fikir kenapa belum lagi buat masa ini direzekikan anak² buat kita.
ANAK RAMAI TAPI SUAMI TAK SAYANG
Aku lihat ramai sebenarnya, yg boleh mudah mengandung, anak sampai 2 atau 3, tapi suami tak sayang.
Kena cerai, kena tipu, malah diabaikan oleh pasangan. Mereka mudah ada anak, malah bukan seorang, tapi suami tak sayang. Kena tinggal pulak tu pun ada.
Sekarang fikir, kita yg lambat mengandung ni ada je suami siang malam dengan kita. Sayangkan kita walau takde zuriat bersama, masih bersungguh² ambil berat, dan tak curang pun dibelakang kita.
Jadi, suami ini adalah suatu nikmat. Maka nikmat Tuhan yg manakah hendak kamu dustakan?
Kita suka sgt letak anak sebagai titik fokus kebahagiaan. Memang tak dinafikan, anak ini buat ibu ayah gembira bahagia sbb mereka adalah cahaya mata.
Tapi kita cepat sgt lupa, Allah blh beri bahagia dengan pelbagai lagi cara sbnrnya. Allah Maha Bijaksana dan Maha Pemurah buat kita
JANGAN STRES BILA TAK ADA ANAK
Jangan tertekan sgt bila tak ada anak lagi. Kita kira anak² ni akan sentiasa buat kita gembira. Tapi kita tak tahu betapa besar amanah yg kita kena pikul.
Lepas ada anak, bukan sahaja nak kena jaga kebajikannya dan membesarkan dia, kita kena didik dia dgn agama. Mampukah kita sbnrnya?
Kita rasa kita dah sediakan kewangan yg mencukupi jadi sepatutnya kita layak ada anak sendiri. Tapi Allah lebih tahu akan apa yg kita perlukan dalam hidup ini.
Allah nak kita guna rezeki utk bahagian yg lain dulu sblm diberi kepada anak. Sebab tu, ramai pasangan yg hidup gembira dpt pergi bercuti ke sana sini.
Sekarang fikir, kita rasa seronok dapat duduk rumah jaga anak, tapi ada sahaja yg akhirnya bosan sebab asyik kena duduk rumah jaga anak.
NIKMATI REZEKI DAN PELUANG YANG ALLAH BAGI
Sementara Allah beri rezeki dan peluang nak travel saja sini, nikmati dan syukurilah. Sebab bila dah ada anak nnt takut kita sibuk di rumah terus tak dapat pegi mana² lagi. Itu barangkali.
Terlalu memikirkan nak ada anak, smp kita lupa ada pasangan yg mudah sgt nak dpt zuriat sampai akhirnya mereka “tak mahu” ada tambahan zuriat.
Mula la keluar alasan, belum ready, takde keperluan nak anak ramai dan ekonomi gawat. Mereka pula tak percaya pada ketentuan rezeki.
Lepas tu sibuk pasang implan, ikat rahim, makan pil perancang dan bersusah payah la sedaya upaya agar takde janin dalam rahim mereka.
Hidup asyik memikirkan eh tak suka la nak mengandung, alah lecehlah mengandung,ala “eksiden” pula, ala kenapa cepat sgt mengandung, penat la tak larat la..
Merungut sahaja!
JANGAN PERSOALKAN APA YANG ALLAH NAK BAGI
Allah mahu beri atau belum memberi, itu atas kehendak dan kekuasaanNya. Kita tak perlu banyak mempersoalkan apa yg Allah swt dah rancangkan buat kita.
Kadang kita lihat, dah kawen bertahun² takde anak, rupanya ada takdir lain yg mendatang, suami pula bermasalah. Itu tandanya Allah swt tak mahu membebankan kita.
Kita kira anak itu satu²nya pengikat kasih sayang suami. Ada terlalu ramai jangan sampai kita jadi tak terurus diri.
Suami kalau ikhlas syg, takde anak pun dia akan sayang sampai mati. Aku pernah dengar, anak dah 7 org tapi masih curang pada isteri!
Hidup ini perlu banyak belajar utk mensyukuri segala nikmat yang diberi. Setiap hari ucap Alhamdulillah, terima kasih Allah sebab bagi pelbagai nikmat tak terhitung banyaknya.
Terlalu runsing nak ada anak, jangan buat diri alpa bahawa Allah itu merancang dgn cintaNya. Apa yang kita tak dapat di dunia, bakal disediakan nikmat yg lebih besar di akhirat sana.
Kata kuncinya, sabar. Janji Allah s.w.t itu pasti…
Sumber kredit: FB: Suffiyah Ramadhani II
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Pasangan Yang Ingin berkahwin, Sudah Berkahwin Mahupun Yang Sedang Di Ambang Konflik, Cerai Walaupun Halal Kalau Boleh Elaklah

Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi yang amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat. Bahkan jika kita melihat kepada fiqh Islami, kita akan dapati bahawa para fuqaha’ amat mementingkannya sehinggakan dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadith pasti akan adanya satu kitab yang dinamakan al-Nikah yang mana membicarakan segala perkara yang berkaitan dengan nikah dan perceraian. Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah dan cerai ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah bagi umat Islam.
Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, awal-awal lagi Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayarkan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut betul pada laluannya kembali.
Namun, jika segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu namun hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya.
Allah SWT berfirman:
ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ
Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Al-Baqarah: 229)
Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk perceraian. Mereka sesuka hati boleh menceraikan isteri mereka dan sesuka hati rujuk kepada mereka meskipun sudah seratus kali bercerai. Ianya seolah-olah tiada berkesudahan. Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.
Ayat di atas merupakan antara dalil pensyariatan talak bagi pasangan yang berkahwin namun tidak dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Sepertinya hati telah bercerai namun mulut belum melafaakannya lagi, maka cara terakhirnya adalah dengan bercerai.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Dalam melayari bahtera kehidupan, ianya amat memerlukan kepada ilmu, akhlak, sifat toleransi, memahami tanggungjawab antara suami isteri, menunaikan hak masing-masing dan yang paling penting dalam semua itu adalah sifat toleransi sesama pasangan.
Ingatlah firman Allah SWT dalam menceritakan tentang tujuan dijadikan manusia itu berpasangan:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Al-Ruum: 21)
Saya sarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, sudah berkahwin mahupun yang sedang berada di ambang konflik untuk menginsafi diri dan juga melihat hakikat kehidupan berkeluarga itu yang mana amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi.
Antara perkara yang boleh dilakukan:
1.Pasangan perlulah bermuhasabah diri dengan merenung kembali kesilapan diri dan berusaha untuk memperbaikinya.
2.Selesaikanlah isu-isu kecil dengan beralah.
3.Jangan diungkit dan memperbesarkan isu-isu yang remeh.
4.Selesaikan isu-isu yang besar dengan duduk berbincang untuk mencari titik persefahaman.
5.Mewujudkan masa bersama untuk merapatkan lagi hubungan.
6.Teruskan belajar dan bawa bersama pasangan untuk menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah bersifat mingguan.
7.Bawa anak dan isteri ke masjid untuk sama-sama bertawajuh.
8.Elakkan menggunakan bahasa yang keras.
9.Elakkan dari mempamerkan kemarahan di kawasan terbuka.
10.Ringankan mulut untuk mengucapkan maaf dan sentiasalah menerima kemaafan dari pasangan dalam perkara-perkara yang kecil.
11.Bangunlah pada waktu malam bersama pasangan untuk qiyammullail.
Semoga dengan saranan-saranan berikut dapat memberikan faedah dan manfaat buat kita bersama dan saya akhiri perbincangan kita pada kali ini dengan sebuah doa yang cukup indah yang mana Al-Quran telah mengajarkannya kepada kita dan sepatutnya selalu diamalkan ketika berdoa:
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.(Al-Furqaan: 74)
Sumber kredit: Mufti Wilayah S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI