‘Terima kasih Allah kurniakan bidadari yang baik.’ Manis ucapan Adam Corrie sempena ulang tahun perkahwinan ke-14. Pelakon Adam Corrie sememangnya seorang suami yang amat menghargai isterinya.
Seperti mana orang lain, Adam Corrie tidak ketinggalan menuturkan kata-kata indah sempena ulangtahun perkahwinan seperti tahun-tahun sebelumnya sebagai tanda menghargai segala pengorbanan isterinya selama membina hidup bersama.
Coretnya,
Terima Kasih Allah
Alhamdulillah sudah 14 tahun usia perkahwinan kami.
Terima kasih Allah kerana kurniakan bidadari yang baik. Dan terima kasih bidadari saya kerana menerima lamaran saya 14 tahun yang lepas dalam keadaan saya yang baru kenal Islam, seorang selebriti, berlainan bangsa dan budaya.
Tapi alhamdulillah bidadari terima saya seadaanya. Malah membantu saya mendalami dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan baik selepas SAH menjadi suami isteri.
Manis Ucapan Adam Corrie
Alhamdulillah… atas berkat sabar dan saling ingat-mengingati diri saya dalam semua perkara. Jatuh bangun sentiasa bersama memberi sokongan.
Sempena Ulangtahun Perkahwinan ke-14
Semoga Allah SWT memberkati rumah tangga kami sehingga ke Jannah. Aamin allahumma aamin.
Dalam masa yang sama, ramai yang mendoakan pasangan ini, antaranya :
Ustaz Hanafi
Barakallahu lakuma wa baa raka ‘alaika wa jama’a bainakumaa fii khoiir. “Semoga Allah memberikan rahmat kepada kamu, dan semoga Dia mengurniakan rahmat kepadamu, dan semoga Dia mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan. ”
Norlida Omar
Mudanya, Alhamdulillah, Semoga berkekalan hingga ke Jannah Dan doakan sekeluarga dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah, keselamatan, kesejahteran, keselamatan ,keberakahan, dikurniakan anak yang soleh dan dipermudahkan segala urusan ADAM CORRIE sekeluarga. Amin Ya Rabbal Alamin. Happy Anniversary to both of you.
Mohamad Quzari An-Nuur
Assalamualaikum ADAM CORRIE. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepada Adam dan wife. Dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki, dan semoga hubungan suami isteri berkekalan hingga akhir hayat. Amin, insyallah. Teringin jumpa Adam Corrie. Minat dengan semua lakonan Adam Corrie.. Good Luck BOSS!
Syukur kasih sayang berbalas. ‘lelaki ini sanggup berhenti kerja jaga mak, ayah angkat.’ Begitulah kasih sayang seorang anak angkat kepada kedua ibu bapa angkat menjaganya sejak kecil.
Biarpun bukan darah daging, namun keikhlasan anak ini harus dipuji kerana mengorbankan masa mudanya untuk menjaga orang tua yang sedang diuji kesihatannya.
Sepasang suami isteri bersyukur apabila kasih sayang yang dicurahkan selama ini ‘berbalas’ apabila anak angkatnya sanggup menjaga mereka yang menghidapi pelbagai penyakit sejak 2020.
Menurut Kamri Doryat, 64, kesihatannya terjejas selepas disahkan mengalami masalah paru-paru tersumbat kronik (COPD) dan tulang belakang sejak tiga tahun lalu.
Katanya, isterinya, Faridah Jamal, 65, pula menghidap penyakit kencing manis dan kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga paras lutut.
“Sebelum ini, kami mempunyai seorang cahaya mata, namun telah meninggal dunia pada usia empat tahun.
“Tidak lama selepas pemergiannya, kami telah menjadikan Nur Ikmal sebagai anak angkat,” katanya.
Lelaki Ini Sanggup Berhenti Kerja
Katanya, kini hidup mereka bergantung kepada Nur Ikmal, 24, dan pemuda itulah yang akan menyediakan segala kelengkapan mereka suami isteri sebelum keluar bekerja.
“Alhamdulillah, dia sentiasa ada di sisi memberi perhatian terhadap kami dan banyak membantu ketika proses penyembuhan secara berperingkat sehinggalah kami mampu mengurus diri sendiri termasuk membersihkan diri.
“Sebelum keluar bekerja dia akan pastikan segala-galanya sudah siap tersedia seperti ubat, lampin pakai buang dan keperluan lain. Ketika dia sedang bekerja, anak saudara kami yang tinggal berhampiran akan menghantar makanan,” ujarnya.
Jaga Mak, Ayah Angkat.’
Sementara itu, jelas Nur Ikmal, keadaan kesihatan bapa dan ibu angkatnya yang merosot menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, dia baru kembali bekerja minggu lalu sebagai penjaga parkir dengan gaji RM1,500 sebulan.
“Pasangan suami isteri membesarkan saya sejak kecil dan kasih sayang yang dicurahkan tak berbelah bahagi, saya tak akan lupakan jasa mereka berdua.
“Bapa pernah mengalami lumpuh, manakala ibu pula terlantar sakit, saya tak mampu membiarkan mereka dalam keadaan seperti itu lalu mengambil keputusan untuk berhenti kerja selama setahun untuk menjaga mereka di rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi di talian 011-2755 7646 atau menghulurkan bantuan ke akaun Kamri Doryat, 0110029853370199 (Bank Simpanan Nasional).
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Urusan rezeki dan ajal maut itu terletak di tangan Allah. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Jika hari ini kita ditakdirkan mengikat janji sehidup semati dengan insan bergelar suami isteri, siapa sangka esok lusa hanya jasad kaku jadi peneman.
Begitu juga dengan pasangan pengantin baru ini yang baru tiga hari diijab kabulkan, namun Allah lebih menyayangi apabila salah seorang daripadanya telah dijemput Illahi.
Kisah tragis awal pagi semalam apabila Salwati Yaakob yang baru berkahwin dengan suaminya Azman Syah Gusti telah meninggal dunia setelah kereta dinaiki dilanggar dari belakang oleh treler.
Baru 3 hari bergelar Raja Sehari.
Pasangan ini dikatakan baru sahaja 3 hari diiijab kabulkan sebagai suami isteri dan ketika kejadikan mereka dalam perjalanan menuju ke Sungai Buloh untuk majlis resepsi sebelah suaminya.
Dalam satu posting salah seorang teman mereka Azam Abdullah muat naik memberitahu dia tidak berkesempatan berjumpa arwah Salwani walaupun dia yang bertanggung jawab menghantar bunga telur di majlis pernikahannya.
Sebaik muat naik posting ini, rakan kepada arwah turut menitipkan salam takziah padanya dan keluarga serta mendoakan dirinya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Ena Sofienaal fatihah utk arwah..salam takziah buat sekeluarga.moga ditempatkan bersama golongan yg beriman aamiin.
Fazilah Sa’aidInnalilahhh alfatihah untuk arwah . Smoga roh di tmpatkn dklngan org2 trpilih.. berat dugaan suami dia.. miga d prmudahkan sgla urusan
Kemalangan ngeri ini membabitkan dua buah treler, sebuah lori penghantar barang pos, tiga buah kereta dan satu pacuan empat roda hingga mengakibatkan lebuhraya sesak teruk.
Kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan.
Dalam pada itu, suami mangsa, Azman Syah berkata sebelum kejadian arwah isterinya itu sering tersenyum dan memberitahu suka melihatnya ketika memandu.
“Isteri saya suka tersenyum dan suka melihat saya (semasa saya memandu) sepanjang perjalanan.
“Sudah tentu saya sedih kerana kami baru melangsungkan pernikahan Sabtu lalu, namun saya reda walaupun sedih dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah, di sini hari ini.
Azman yang bekerja sebagai juruteknik di Setapak, Kuala Lumpur turut cedera jari kanan dalam kemalangan kira-kira 11 malam itu dan rakan mereka, Radhiah patah kaki kiri.
KASHOORGA: Takziah diucapkan kepada keluarga dan semoga tabah menghadapi dugaan dari Allah ini. Sesungguhnya yang hidup itu pasti akan mati, cuma kita tidak tahu bilakah masanya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?