Terjumpa Barang Berharga, Bolehkah Kita Simpan & Buat Macam Harta Sendiri

Share

Sedang asyik berjalan-jalan mengambil angin di tepi tasik tiba-tiba ternampak wang atau barang kemas yang telah tercicir oleh seseorang.

Jadi kebiasaannya apa yang anda lakukan? Mungkin bagi kebanyakan orang akan menyerahkan kepada pihak yang menguruskan kawasan tersebut. Ini kerana bagi memudahkan orang yang kehilangan barang tersebut datang mencarinya semula.

Tapi bagaimana jika senarionya lebih berbeza? Sebagai contoh satu persoalan yang telah diajukan kepada pendakwah terkenal Dr Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil.

Menerusi pertanyaan tersebut dia menjelaskan suaminya merupakan seorang bendahari surau yang telah menyimpan barang-barang berharga seperti jam danw ang tunai. Jadi dia bertanya jika barang-barang tersebut tidak dituntut selepas diuar-uarkan bolehkah dia menebusnya. Ini kerana dia menyukai salah satu jam yang disimpan.

Jadi bagaimana dengan pandangan dari sudut agama Islam?

Dr Ustza Syed Shahridzan Ben-Agil seterusnya berkongsi beberapa poin dan penerangan yang cukup menarik dan jelas akan pertaaan tersebut.

Ikuti penjelasan beliau di bawah:

————————————————————————

JAWAPAN:

1) Ada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Zaid bin Khalid al-Juhani Radiyallahu ‘anhu, bahawa seorang lelaki datang kepada Rasululullah ﷺ tentang barang yang dijumpai, lalu baginda bersabda:

اعرف وكاءها وعفاصها، ثم عرِّفها سنة، فإن لم تعرف فاستنفقها، ولتكن وديعة عندك، فإن جاء طالبها يوماً من الدهر فأدِّها إليه.

Maksudnya: “Kenali lah ikatannya dan bungkusannya, kemudian umumkan pada orang ramai selama setahun, jika kamu tidak mengetahui (pemiliknya) maka kamu boleh memilikinya dan ia menjadi simpanan kamu. Jika suatu hari pemiliknya datang hendak lah kamu serahkan ia padanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

2) Berdasarkan hadis di atas, jika seseorang itu menemui barang yang berharga(seperti emas, perak, pakaian, jam) maka dia boleh mengambilnya jika berniat untuk mencari si pemilik barang itu. Seterusnya dia perlu mengenali tanda-tanda barangan itu supaya dapat membezakan antara barang-barang yang lain, agar nanti mudah mengesan pemilik barang itu melalui tanda-tanda barang tersebut.

3) Permasalahan ini dibincangkan di dalam kitab² fiqh dalam bab “Luqatah”. Menurut ahli² fiqh, penemu barang itu mesti lah mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun, melalui wacana yang ada pada ketika itu. Wacana yang tercatat di dalam kitab-kitab fiqh klasik seperti memaklumkan di pintu masuk masjid dan pasar mengikut adat atau ‘uruf setempat ketika itu. Namun dalam konteks zaman sekarang ia boleh diumumkan di media sosial, suratkhabar atau wacana komunikasi yang lain seperti aplikasi Whatsapp ‘Group’ dan Telegram.

4) Disunatkan disebut hanya sebahagian sifat² barang yang ditemui ketika ia dihebahkan. Namun tidak wajib menyebut keseluruhan sifat-sifat barang yang ditemui itu, bahkan ditegah menerangkan kesemua sifat barang itu kerana dikuatiri akan diambil kesempatan oleh individu² yang cuba menipu.

5) Setelah berlalu dalam tempoh setahun maka barang itu boleh dimiliki si penemu barang itu dan dia berhak untuk menggunakkannya malah boleh menjual barang itu. Namun hak milik barang yang dijumpai itu bukan menjadi hak mutlak si penemu, jika pemilik barang itu datang menuntut barangnya maka penemu wajib memulangkan kepada tuannya.

6) Jika barang itu sudah tiada lagi samaada setelah tempoh setahun atau tidak, maka si penemu wajib menggantikan barang itu semula samaada dengan bayaran atau ganti barang yang sama sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi.

7) Jika barang luqatah yang sedikit yang mana ia biasanya lenyap dari dari hati tuannya, iaitu jika hilang dan ia tidak diambil berat atau dicari oleh tuannya seperti dinyatakan dalam kitab² fiqh, sebiji tamar, sebiji buah dan seumpamanya, maka si penemu tidak wajib mengiklankannya malah si penemu boleh memilikinya. Permasalahan ini boleh dibandingkan seperti wang syiling 1 sen atau sepuluh sen, namun lebih baik disedekahkan di tabung masjid atau kebajikan menurut sebahagian guru-guru kami.

8) Jika barang luqatah termasuk dalam kategori yang mudah dan cepat rosak seperti nasi lemak, roti dan seumpamanya maka diharuskan melakukan dengan salah satu dari dua cara. Pertama: Barang itu dijual dengan izin hakim (konsep ini tiada lagi pada zaman kini) dan dimiliki hasil jualan itu. Kedua: Makan makanan itu kerana risaukan pembaziran.

9) Berbalik soalan di atas, jika pihak surau menemui barang yang berharga maka pihak surau mesti mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun pada orang ramai. Setelah tempoh setahun dan pemilik barang itu tidak juga ditemui maka barang itu semua menjadi hak milik surau dan surau boleh menjual pada sesiapa yang dikehendaki.

10) Namun jika datang pemilik barang dan menuntut barang itu maka pihak surau wajib memulangkan kembali, jika barang itu sudah tiada maka wajib digantikan dengan wang yang mana tidak wajib digantikan dalam bentuk barang asal.

Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Semoga perkongsian daripada Dr Ustaz Syed Shahridzan di atas memberikan manfaat kepada kita semua.

Sumber:

Published by
webadmin