‘Terlalu berat tapi saya reda.’ Hilang tiga anak serentak, ini ujian Allah buat kami. Berat mata memandang, lagi berat bahu memikul. Semoga Allah mengurniakan kesabaran buat pasangan ini menerima dugaan hebat ini.
Hilang seorang anak pun mak, ayah hilang arah. Inikan pula tiga anak serentak. Benarlah ini ujian Allah buat hamba-Nya.
Artikel Berkaitan:
Pilunya Hati, ‘Hilang’ Anak & Menantu, Saat Akhir Berangkat Ke Makkah
“Anak saya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin daripada isteri saya untuk keluar bersama abang, Nik Ikram Idwan, 15. Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak,” kata Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41.
Menurut Nik Mohd Khairul Hisyam, arwah Nik Nur Faqihah juga teringin makan ayam goreng dan ketika tiga beradik itu keluar membeli aiskrim, isterinya, Nur Baizura Mustaffa, 34, sedang menyediakan lauk ayam goreng.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya, Nik Ikram Nuqman pada pagi semalam sebelum ke tempat kerja di Kuantan selepas arwah terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi.
“Saya seolah tidak percaya apabila isteri menghubungi memberitahu tiga anak kami maut dalam kemalangan, namun apabila melihat gambar mereka, hati saya begitu sayu.
“Terlalu berat untuk menerima takdir ini namun saya reda. Ini ujian berat perlu saya dan isteri terima.
Dalam sekelip mata tiga daripada lima anak saya meninggalkan kami tanpa disangka, terlalu berat ujian yang terpaksa saya dan isteri terima,” katanya lagi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar, Pekan, Pahang.
Nik Ikram Idwan, Nik Nur Faqihah dan Nik Ikram Nuqman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelas Nik Mohd Khairul Hisyam, dia agak terkilan apabila tidak sempat membantu Nik Ikram Idwan meneruskan persekolahan selepas berpindah ke Kampung Langgar, Disember lalu kerana sebelum ini arwah belajar di Kemaman.
Katanya, arwah begitu teringin meneruskan persekolahan ke tingkatan tiga apabila membeli motosikal hasil wang simpanan, sebahagian pakaian dan peralatan sekolah juga sudah dibeli.
“Kejadian ini adalah sejarah hitam dalam hidup saya sekeluarga, terlalu sukar untuk diterima,” katanya.
Baca Di Sini:
‘Anak Meninggal Kemalangan.’ Hukum Ibu Bapa Menunaikan Haji Dengan Wang Pampasan Takaful
Kashoorga: Salam takziah buat keluarga ini dan semoga mereka terus kuat menghadapi ujian mendatang.
Sumber: myMetro