Tiada hukum karma dalam islam. ‘Setiap perbuatan baik atau buruk hanya dibalas Allah.’ Jadi jangan sedap-sedap mulut cakap karma, kerana dalam Islam tiada hukum karma.
Selama ini, kita anggap dalam Islam juga terdapat hukum karma. Sebaliknya kifarah yang terdapat dalam Islam. Ikuti kupasan isu karma ini daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel Berkaitan: Dahsyatnya Tiupan Sangkakala Di Hari Kiamat, Keadaan Manusia Ketika Itu Wanita Hamil Gugur Kandungan Sebelum Melahirkan!
Soalan:
Saya selalu terbaca di media sosial orang mengatakan bahawa jika seseorang berbuat jahat maka dia akan dibalas dengan hukum karma. Benarkah wujud hukum karma dalam Islam?
Ringkasan Jawapan:
Konsep karma merupakan kepercayaan dalam agama hindu dan berbeza dengan kepercayaan agama Islam. Setiap muslim perlu meyakini bahawa apa-apa yang berlaku di dunia merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah SWT.
Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran, maka umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT.
Walau bagaimanapun Islam mengiktiraf konsep “setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan dibalas oleh Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat berdasarkan apa yang dia lakukan”.
Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan kepada orang lain.
Huraian Jawapan:
Karma merupakan suatu konsep yang berasal daripada bahasa sanskrit dan mempunyai asas kepercayaannya dalam Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme.
Konsep Karma ini mula dijumpai di dalam teks lama Hindu iaitu Rigveda, dan kemudiannya dikembangkan perbincangannya di dalam Upanishad.
Secara terminologi, karma bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’, dan seterusnya difahami sebagai konsep ‘timbal-balik’ atau ‘sebab-akibat’ daripada perbuatan seseorang manusia di atas dunia.
Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan perbuatan-perbuatan yang murni seperti menolong orang lain, berlaku adil sesama manusia atau menjaga ibu bapa dengan baik, maka ia akan menghasilkan balasan yang baik di kemudian hari.
Konsep ini kemudiannya ia berkembang menjadi falsafah moral dan etika sehingga dianggap sebagai undang-undang universal.
Menurut kajian, konsep karma yang berasal daripada falsafah Hinduisme ini menerangkan bahawa wujudnya prinsip kausaliti universal iaitu hukum asas dunia berkaitan sebab dan akibat daripada perbuatan seseorang manusia.
Seseorang manusia itu tidak boleh lari daripada melakukan sebarang perbuatan dan tindakan sama ada baik atau buruk dan ia akan menjadi satu kitaran yang berulang.
Baca Di Sini:
Sebelum Berlibur, Allah Didahulukan. Sekumpulan Gadis Solat Di Pusat Karaoke, Circle Positif
Tak Salah Berbeza Agama. ‘Berpeluk Cium, Tak Tutup Aurat Secara Terbuka Itu Membimbangkan’
Konsep karma ini memberi kesan kepada beberapa peringkat hidup iaitu Samsara – kitaran kelahiran semula, di mana jika seseorang itu berlaku zalim di atas dunia maka dia akan dilahirkan semula sebagai makhluk yang hina, dan sebaliknya jika seseorang itu berlaku adil dan mulia, maka dia akan dilahirkan semula sebagai ciptaan yang terpuji.
Karma juga mempunyai tiga peringkat pembalasan iaitu sachinta karma (masa yang telah berlalu/karma yang telah berlaku), prarabdha karma (karma yang sedang berlaku/kesan daripada karma yang dahulu) dan agami karma (karma pada masa hadapan yang ditentukan melalui karma yang sedang berlaku).
Justeru, karma dilihat sebagai undang-undang pembalasan moral atau undang-undang kosmos yang membalas perbuatan baik dan perbuatan buruk.
Kepercayaan dan kesinambungan karma yang merentasi kelahiran dan masa juga boleh bertindak sebagai kawalan terhadap etika kelakuan manusia, serta menawarkan peluang yang tidak berkesudahan untuk penambahbaikan dan harapan kepada manusia untuk berbakti.
Meyakini bahawa ada kuasa lain yang memberi kesan selain dari Allah boleh membawa kepada kekufuran. Akidah Islam menyatakan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dengan kuasa dan kehendak Allah SWT.
Setiap yang terjadi di alam ini kesemuanya adalah ketentuan dan kuasa dari Allah SWT. Peredaran bulan dan bintang di atas paksinya adalah dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT. Tidak ada di alam ini yang terjadi dengan sendirinya secara semula jadi.
Konsep Karma yang ada dalam agama hindu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Islam meyakini bahawa segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia akan dibalas sama ada di dunia mahupun akhirat. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
البِرُّ لا يَبْلَى ، وَالِإثْمُ لَا يُنْسَى ، وَالدَّيَّانُ لَا يَمُوتُ ، فَكُن كَمَا شِئتَ ، كَمَا تَدِينُ تُدَانُ
Maksudnya: “Kebaikan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah seperti mana yang kamu ingin, seperti mana yang kamu lakukan kamu akan dibalas.”
Sekalipun status hadis ini adalah daif namun ia boleh diamalkan dalam bab fadhail amal di samping maknanya adalah benar.
Ungkapan yang masyhur di sisi ulama الجزاء من جنس العمل bermaksud: ‘Balasan itu sesuai dengan apa yang dilakukan’. Perkataan ini diucapkan oleh ramai ulama antaranya Imam Ibn Kathir, Imam Ibn Qayim al-Jauziyah dan Ibn Rajab al-Hambali.
Terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang perkara ini antaranya:
المُسلِمُ أَخُو المُسلِمِ لا يَظلِمُهُ وَلا يُسْلِمُه ، مَن كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ ، وَمَن فَرَّجَ عَن مُسلِمٍ كُربَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنهُ بِهَا كُربَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ ، وَمَن سَتَرَ مُسلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain.
Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.
Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”- (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Rajab al-Hanbali ketika menerangkan makna hadis ini berkata:
هذا يرجع إلى أن الجزاء من جنس العمل ، وقد تكاثرت النصوص بهذا المعنى
Maksudnya: “Perkara ini merujuk kepada balasan mengikut kepada jenis amal. Terdapat banyak nas-nas yang menunjukkan kepada makna ini.”
Berdasar kepada penjelasan tersebut maka dapat disimpulkan bahawa tidak wujud konsep karma dalam Islam. Setiap orang perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah.
Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran. Umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT.
Kashoorga : Setiap orang perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.