Ramai yang rindu untuk melakukan ibadah umrah selepas dua tahun tidak berkesempatan melakukannya kerana sekatan perjalanan selain wabak Covid-19 yang masih ada.
Bahkan selepas kebenaran itu dibuka, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara berangkat ke bumi baraqah itu. Dan lebih mengujakan, pelakon Ashraf Muslim berkongsi dirinya dijemput sebagai tetamu Allah sebagai Dhuyuf Al Rahman bagi rombongan pertama dan kini sudah pun ada di Makkah Al Mukaromah ini.
Dalam catatan di instagramnya sebelum berangkat, Ashraf berkongsi catatan betapa dirinya cukup bersyukur dengan peluang diberi ini.
“Alhamdulillah, hari ini saya telah dijemput menjadi Dhuyuf Al Rahman untuk ke tanah suci Allah SWT. Di mana menjadi team pertama dari Malaysia yg membawa jemaah umrah dengan mengikuti SOP yang baru. Allahuakbar, besar betul kuasa Allah. Tiada kata yang boleh terucap dengan Allah selain TERIMA KASIH ALLAH and I LOVE YOU ALLAH! Banyak nak dibetulkan dalam diri yang hina ini. Semoga Allah ampunkan kita semua dan dengar segala rintihan dan kabulkan segala permintaan kita.
Dan lebih menarik selepas beberapa hari di sana, Ashraf turut berkongsi lagi berita gembira bahawa Kerajaan Arab Saudi sudah memansuhkan SOP ketat ketika mengerjakan umrah khususnya melibatkan tawaf dan saie yang sebelum ini hanya dibenarkan sekali saja dibuat sepanjang 14 hari umrah tetapi sudah boleh dilakukan setiap hari.
Assalamualaikum guys!
Info terkini. Berita gembira untuk seluruh umat islam.
Apa yang difahamkan hanya sekali umrah sahaja dilakukan sebelum ini tapi mulai hari ini selepas Kerajaan Saudi putuskan kapasiti penuh untuk jemaah dalam Masjidilharam dan Masjid Nabawi, UMRAH juga boleh dilakukan seperti sebelum ini. Berapa kali nak buat dalam satu hari pun tak kisah tapi yang penting bila habis satu slot umrah boleh book lagi di @eatmarna_app . Alhamdulillah syukur pada Allah. Terima kasih Allah tulisnya.
Apa yang kita kena tahu sebelum buat umrah?
1. Visa Umrah telah termasuk perlindungan insurans perubatan di Arab Saudi.
2. Umur mesti 18 tahun dan ke atas.
3. Setiap jemaah perlu mengambil vaksin lengkap yang diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi iaitu Pfizer dan AstraZeneca (yang ada di Malaysia). Penerima dua dos Sinovac perlu mendapat dos “booster” dari Pfizer atau AstraZeneca.
4. Sebelum ke Arab Saudi, jemaah perlu memuat turun aplikasi seperti berikut:
a) Tawakkalna – Aplikasi untuk memantau kesihatan dan pergerakan jemaah (seperti my sejahtera).
b) Eatmarna – Permohonan permit bagi Tawaf/Saie Umrah, ziarah Raudah dan Makam Rasulullah dan solat di Masjidlharam.
5. Muatan bilik maksimum dibenarkan adalah 2 orang sahaja.
6. Muatan penumpang bas, maksimum 25 orang.
7. Perlu melakukan pemeriksaan Polymerase Chain Reaction (PCR) dibuat dalam tempoh tidak lebih dari 72 jam dari waktu penerbangan pergi dan perlu membawa salinan cetakan.
8. Aktiviti ziarah dibenarkan. Walau bagaimanapun, kebenaran untuk turun/keluar dari bas/kenderaan adalah tertakluk kepada kebenaran dan keadaan semasa.
9 . Solat 5 waktu di masjid Nabawi tidak memerlukan permit. Tetapi solat di Masjidilharam perlu mendapatkan permit. Jemaah perlu memohon sendiri selewat-lewatnya sehari sebelum solat di dalam aplikasi Eatmarna.
10. Sebelum pulang ke Malaysia, jemaah wajib membuat ujian PCR dalam masa 3 hari (72 jam) sebelum tarikh/waktu penerbangan dan keputusan mesti negatif.
11. Tiba di Malaysia perlu jalani kuarantin selama 7 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
12. Untuk kuarantin dirumah setibanya di Malaysia, jemaah perlu membuat permohonan melalui laman sesawang moh.gov.my selewat-lewatnya 10 – 7 hari sebelum penerbangan pulang ke Malaysia.
13. Semua peraturan di atas adalah tertakluk kepada perubahan dari kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.