Viral mengenai tindakan model wanita berpakaian pengantin mengambil gambar di sebuah perkuburan bukan Islam di Batu Pahat Johor.

Malah kisah ini turut mengundang kemarahan netizen kerana dianggap tiada menjaga sensitiviti umat Islam dan seolah-olah mempersenda penganut agama lain.

Perkara ini turut mendapat perhatian Mufti Pahang, Datuk Dr Abdul Rahman Osman yang memberi pandangan mengenai perkara ini.

Menurut beliau, tiada larangan mengambil gambar di mana saja selagi  tidak mendedahkan aurat dan melanggar syariat Islam.

Namun tambanya lagi, biarlah suasana gambar itu diambil tidak menjadi penyebab fitnah.

Malah sebagai Muslim penting untuk menjaga tingkah laku dan adab terutama ketika berada di tanah perkuburan Islam atau penganut lain.

“Di mana-mana saja boleh bergambar kerana tiada larangan dalam soal itu dengan syarat tidak nampak seperti memburukkan Islam atau merestui kepercayaan agama lain.

“Bagaimanapun, jika aktiviti itu cenderung membawa fitnah, lebih baik dielakkan.

“Ini kerana kita dituntut menjaga adab dan perbuatan termasuk ketika berada di kawasan perkuburan bukan Islam kerana Rasulullah sendiri menghormati penganut agama lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Portal Harian Metro turut melaporkan mengenai permohonan maaf pemilik butik, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, yang mengakui kesilapannya memuat naik gambar dan mengadakan sesi fotografi di kawasan perkuburan bukan Islam.