Sejak sehari dua ini, isu melibatkan founder produk yang sering mempamerkan bentuk tubuh badan kepada bukan anjabi bagi melariskan produknya mendapat perhatian dari masyarakat.
Dan ia telah mendapat perhatian dari beberapa pendakwah khususnya dari PU Syed yang berterus terang menyatakan pendapatnya. Semalam, pendakwah disayangi ramai Ustazah Asma’ Harun membuat teguran yang sama di mana menurutnya tiada siapa yang boleh buat kerja Tuhan tapi ramai yang berani lawan Tuhan yang sangat mendalam maknanya.
Baca perkongsian panjang lebarnya dan sebaiknya menjadi ingatan buat kita semua.
“Harus faham, kami ni bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam. Saya juga sayang dan hormat kamu, tapi lebih sayang kepada masyarakat dan generasi anak-anak kita yang telah dirosakkan minda dan akhlak oleh sebahagian selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
P.U Syed, para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, ia hanyalah alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kami akan dipertanggungjawabkan, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.”
(HR Muslim, Sahih)
- ADUAN DAH LAMA DAN BANYAK
Sebenarnya dah lama dan kerap kali saya menerima aduan khusus tentang beliau, kebimbangan ramai pihak terhadap normalisasi aksi dan percakapan luc** serta mengghairahkan secara terbuka. Begitu juga ramai lagi founder bahkan di kalangan netizen melakukan perkara yang sama.
Sungguh, saya terkesima melihat beberapa video beliau dan lagi terkilan bila turut melibatkan si anak, maaf saya tak sanggup tengok lebih banyak. Ia ditonton oleh ribuan tanpa sekatan dan tapisan, pelbagai peringkat umur dan jantina. Apa yang mereka fikir dan rasa saat melihat tak boleh dibayangkan kesan buruknya.
Ini sebuah barah yang makin kronik dalam masyarakat, terutama di kalangan “founder” produk seumpamanya. Kalian teruja apabila tontonan di media sosial meningkat, bagitu juga dengan jualan, walaupun dengan jalan maksiat yang dilakukan secara terbuka atas tujuan “marketing”, kerana ingin mengaut keuntungan dunia yang sementara, harga dan maruah diri wanita muslim sanggup digadaikan begitu saja, jika iman tidak boleh menghalang, dimana perginya rasa malu dalam diri?
Iya, saya juga kerap terima aduan tentang seorang selebriti non-Muslim Malaysia berbangsa cina yang agak keterlaluan menarik kaum lelaki muslim untuk meninggalkan komen yang jijik, sungguh para lelaki disitu sangat memalukan umat Islam. Maaf menyelit terus disini, Kepada “ET”, walaupun anda bukan beragama Islam, tapi ingatlah sebagai warganegara Malaysia anda juga terikat dengan rukun negara yang kelima iaitu MENJAGA KESOPANAN DAN KESUSILAAN. Saya merasakan dalam budaya masyarakat kamu juga tidak menerima aksi keterlaluan yang mengundang aktiviti yang tidak bermoral di media sosial kamu.
2. BUKAN ME”NERAKAKAN” ORANG
Saya pasti ada yang akan mengatakan kami ini seolah nak me”NERAKAKAN” orang, diri sendiri telah dijamin SYURGA ke, atau seperti tidak pernah berbuat dosa dan mungkin berlagak suci, juga yang berhujjah dengan ayat “kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup masing-masing, jangan disebut aib orang secara terbuka dll.”
SEMUA AYAT DIATAS ADALAH HUJJAH AKAL NAK MEMBELA PELAKU DOSA TERBUKA DAN USAHA MENDIAMKAN KERJA PENDAKWAH YANG AKHIRNYA TAKUT WALAUPUN BENAR
Tentang Neraka dan Syurga, Allah dan RasulNya sendiri yang memberitakan tentang ciri-ciri mereka, apa yang Nabi SAW sebut lebih 1500 tahun yang lepas telah terbukti satu demi satu. Rasulullah SAW bersabda:-
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا.
Maksudnya: “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi menampakkan bentuk badan), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (atau apa sahaja daya tarikan supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.” (HR Muslim, hadis sahih)
Hadis di atas jelas sekali, sekarang kita semak dengan jujur, adakah kita termasuk golongan yang disebutkan Nabi Muhammad SAW di atas dan adakah kita nak marahkan Baginda?”. Asma’ binti Abu Bakar pernah memakai pakaian yang agak nipis ketika perintah menutup aurat masih dalam proses secara beransur, Nabi Muhammad SAW terus menegur dan beliau terus ubah tanpa bantah dan beralasan, bahkan ketika turunnya ayat tentang jilbab (tudung), terus para wanita mencari dan mengambil apa sahaja kain yang ada untuk menutup tanpa menangguhkannya.
3. KITA WAJIB SAMBUNG PERJUANGAN NABI MUHAMMAD SAW UNTUK SELAMATKAN SERAMAI MUNGKIN UMMATNYA.
Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَ الْجَنَادِبُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا وَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ عَنْ النَّارِ وَأَنْتُمْ تَفَلَّتُونَ مِنْ يَدِي
Maksudnya: “Perumpamaanku dengan kamu sekalian (umatku) ialah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka serangga-serangga beterbangan datang ke arah api itu. Lelaki tersebut berusaha menghalang mereka dan mereka berusaha mengalahkannya. Dan aku, telah mencegah kamu semua agar tidak jatuh ke api, tetapi kamu tetap menjatuhkan diri dari tanganku.” (HR Muslim, Sahih)
4. BERHENTILAH SALAHKAN ALLAH SEOLAHNYA DIRI TIDAK DIBERI HIDAYAH
Antara skrip syaitan ialah menyalahkan Allah apabila dia memilih jalan sesat, sedangkan syaitan telah melihat indahnya Syurga dan azabnya neraka, kerana kesombongan syaitan telah berkata :
قَالَ فَبِمَاۤ اَغۡوَيۡتَنِىۡ لَاَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَاطَكَ الۡمُسۡتَقِيۡمَۙ
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang mereka ( iaitu manusia dari menjalani) jalanMu yang lurus;” (Surah al-A’raf: 16)
Hidayah bermaksud petunjuk, alQuran dan hadis, kuliyah agama merata semua itu juga petunjuk, dosa dan pahala kalian juga telah arif dan bijaksana, maka keengganan mengikuti hidayah itu adalah pilihan diri sendiri, kerana Allah telah berikan aqal fikiran dan ilmu pengetahuan, firmanNya :
اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوۡا مَا بِاَنۡفُسِهِمۡ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d: 11)
Hidayah itu perlu dicari dan dipertahankan, semoga kita semua dalam hidayah dan taufiqNya.
5. WAHAI SEMUA BERHENTILAH MEMPROMOSIKAN MAKSIAT SECARA TERBUKA
Beliau juga telah jelaskan bahawa memang telah banyak pihak yang menegur, mengecam, bahkan menghina, namun semua itu tidak menjadi satu masalah, kerana ia adalah cara dia berniaga, dan mereka sekeluarga bahagia dan gembira. Bahkan beliau dan ibunya juga dengan rasa “bangga” menyatakan bahawa ada juga peniaga lain nak tiru cara sebegitu tapi tak menjadi. Astaghfirullah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ في الإسلامِ سنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أجْرُهَا، وَأجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ،مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورهمْ شَيءٌ،وَمَنْ سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيهِ وِزْرُهَا ، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ ، مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهمْ شَيءٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang baik, maka baginya pahala untuk amalan itu dan pahala orang yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun. Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang buruk, maka dia menanggung dosa perbuatan itu dan dosa mereka yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan dosa mereka sedikit pun.” (HR Muslim, Sahih)
6. KENAPA TEGURAN SECARA TERBUKA?
Kesalahan nyata dan sengaja dalam perkara agama oleh seorang ternama, selebriti, pembesar dan seumpamanya yang dilakukan di khalayak, maka pandangan paling kuat ialah ditegur di khalayak ramai. Inilah pegangan Ulama’ Rabbani:
لَا يَجُوزُ تَأْخِيرُ البَيَانِ عَن وَقْتِ الْحَاجَةِ ، وَلِأَنَّ تَأْخِيرَ الرَدِّ قَدْ تَحَدَّثَ مَعَهُ مَفَاسِدُ وَأَضْرَارُ أَكْثَرَ مَنْ تَرَكَهُ
Maksudnya: “Tidak harus melewatkan penerangan setelah waktu sepatutnya, malahan melewatkannya teguran akan mendatangkan kerosakan yang lebih besar. Ini kerana ia mengelirukan masyarakat awam dan merupakan pengkhianatan kepada agama. Sekiranya menjaga air mukanya lebih diutamakan, maka orang yang mengetahuinya menyembunyikan kebenarannya.”
7. LARIS BUKAN UKURAN PERNIAGAAN ITU DIBERKATI ALLAH. ISTIDRAJ ITU BENAR.
Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.” (HR Ahmad, hadis Hasan)
Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya.
Allah SWT berfirman:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”(Surah al-Qalam: 44)
Syeikh Ibnu ‘Athoillah al-Askandari pernah menyatakan di dalam kitab Hikam:
خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj.”
Allah ya Ghaniy yang Maha Kaya, Allah ya Malik Yang Maha Memiliki semuanya termasuklah diri kita, bahkan daripada alam rahim hingga kini, Dialah yang mencukupkan segala keperluan kita tanpa henti. Allah berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkanNya dan bermaksiat kepadaNya. Namun perbezaan besar adalah ada yang diberikan dengan kasih sayangNya atau dengan kemurkaanNya.
Hakikatnya ramai usahawan berjaya, kaya raya dan jutawan yang menjaga batasan syariat ketika mempromosikan perniagaan walaupun dalam kategori perniagaan yang sama dengan kalian duhai founder produk. Bahkan, ia tidak menjadi batu penghalang buat mereka mengembangkan perniagaan dengan lebih luas dan barakah.
Di dalam Islam, kaedah fiqh ada mengatakan bahawa:
“الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة”
Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”
Walaupun tujuan berniaga itu baik dan barang juga baik, ia perlu dijual dengan cara yang baik. Untuk menjadikan kerja sebagai ibadah dan hasil yang diperolehi barakah maka tidak boleh bercampur maksiat. Sama sahaja dengan mereka yang kerja bergaji tapi curi tulang, goyang kaki lebih banyak daripada kerja, maka juga tak barakah.
8. REDHA IBU DAN SUAMI BUKAN JAMINAN KE SYURGA, PERLU DIIKAT DENGAN REDHA ALLAH.
Tulisan ini lahir daripada jiwa yang kasih akan kamu dan rasa hormat pada keluarga terutama suami dan ibu kamu yang dilihat sangat sayangkan anak-anaknya, namun ingatlah, anak yang baik itu bukan hanya yang mendengar kata seorang ibu, tetapi paling utama mendengar kata Allah dan Rasul-Nya. Bukankah seorang ibu dan suami itu akan berjuang untuk sekeluarga masuk ke Syurga, itulah tanda cinta sejati, seluruh nikmat di dunia jika dikumpulkan tak akan sama walau setitis nikmat di Syurga.
Ingatlah setiap rupa, kekayaan, kemasyhuran, pengaruh, keuntungan, pujian manusia dan bakat yang ada pada diri kita tidak akan menjadi anugerah dan ibadah jika dimanfaatkan dengan cara yang baik, namun apabila digunakan ke jalan bercampur maksiat, ia adalah satu musibah!
9. WALAU MATI, BIMBANG DOSA TIDAK BERHENTI
Pernahkah terfikir bagaimanakah jika suatu hari nanti dipanggil bertemu-Nya, dalam keadaan sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana video-video dengan aksi sebegitu masih kekal berada di media sosial. Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati.
Kita tidak pernah tahu bilakah detik kematian akan kunjung tiba, namun yakinlah setiap hela nafas yang Allah masih pinjamkan buat kita saban hari, itulah peluang berharga untuk kembali kepada-Nya. Balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati setiap perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
10. KAMI BUKAN NAK MENYIBUK HAL KAMU, TAPI PERBUATAN KAMU AKAN MEMBERI TEMPIAS KEPADA KAMI SEMUA JUGA
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. meriwayatkan hadis daripada Ummu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا فِيهِمْ يَوْمَئِذٍ أُنَاسٌ صَاللِحُونَ قَالَ بَلَى قَالَتْ فَكَيْفَ يَصْنَعُ أُولَئِكَ قَالَ يُصِيبُهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسَ ثُمَّ يَصِيرُونَ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ
Maksudnya: “Jika timbul secara terangan maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (siksa) kepada mereka. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?” Baginda menjawab: “Ada”. Aku bertanya lagi: “Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka?” Jawab Baginda: “Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keredhaan daripada Tuhannya.”(HR Imam Ahmad, hadis sahih)
Inilah AMARAN daripada Allah SWT buat kita, tiada siapa yang akan terkecuali daripada terkena azab seksa-Nya jika tidak dibendung maksiat yang nyata dilakukan. Usahlah kita pula yang memberi galakan walaupun dengan memberi emoji terhadap video yang bermaksiat, ingatlah kita akan dibangkitkan di Mahsyar kelak dengan siapa yang kita cintai.
11. BUAT AGENSI AGAMA DAN PIHAK BERWAJIB
Kalian adalah institusi terpenting dan ada kuasa dalam MENCEGAH KEMUNGKARAN, lakukan tindakan segera untuk menangani isu sebegini. Tidakkah ada ruang untuk kalian mengambil tindakan, contohnya memanggil individu seperti ini untuk diberi nasihat dan peringatan.
Jika minum arak, judi, berduaan dll secara tertutup boleh disabit kesalahan jenayah Syariah, ajaran sesat juga boleh disabit dan diberi kaunseling, kenapa tidak untuk mereka yang sangat keterlaluan melakukan keluc***n secara terbuka ini. Sedangkan keburukannya sangat teruk, sehingga boleh mengheret kepada dosa lain yang lebih besar.
Daripada Abdullah bin Umar r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” (HR Muslim, hadis sahih)
Tuan Puan, jika dihitung dosa dan aib sendiri yang begitu banyak, memang tak mampu dan tak sanggup nak menegur dosa orang lain, namun kerana syurga itu perlu diperjuangkan untuk semua, yang benar-benar mahu atau hanya di mulut. Juga kata-kata dari tokoh terkenal di Mesir, Allahyarham Sheikh Mustafa Masyhur ada menyebutkan:
أَصْلِحْ نَفْسَكَ وَادْعُ غَيْرِكَ
Maksudnya: “Perbaikilah diri kamu serta serulah orang lain.”
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, dan amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.”(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga dengan kita menjaga aurat dan maruah diri, Allah SWT akan berikan ketenangan dan memelihara aib yang ada pada diri kita. Aamiin. Semoga Allah redha dengan usaha kecil ini dan kita dan zuriat keturunan sentiasa dalam hidayah Allah SWT.
Terima kasih dan mohon maaf kepada semua. Aamiin
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI PAHALA AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR.
ASMA’ BINTI HARUN
#UAHSahabatDuniaAkhir
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI