‘Tidak diberi nafkah sebab ada duit sendiri.’ Isteri bekerja untuk ringankan beban suami, bukan tanggung segalanya hingga suami ambil ringan bab nafkah.
Padahal tujuan utama isteri bekerja adalah untuk mambantu suami memandangkan keadaan ekonomi sekarang.
Oleh itu, suami yang baik sebenarnya harus ambil tahu akan tanggunjawab sebenar seorang suami terutamanya melibatkan soal nafkah ini.
Artikel Berkaitan: ‘Duda, Dahulukan Nafkah Anak Sebelum Kahwin Lain.’ Lepas Bercerai, Ramai Lelaki Tak Kisah Pasal Anak
Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Fahmi Ramli dan hadam baik-baik penjelasannya:
Nafkah isteri bekerja
Beberapa hari yang lalu, ada orang bertanyakan kepada saya, adakah dia boleh mohon fasakh disebabkan suami tak beri nafkah? Alasan suami tak beri nafkah disebabkan isteri tersebut berkerja dan mempunyai pendapatan yang baik.
Ini bukan perkara baru. Memang isu ini paling banyak dihadapi oleh isteri masa kini. Sebabnya, wanita masa kini ramai yang mempunyai kerjaya berbanding zaman dahulu.
Ada yang kerja tetap, berjawatan dan berpendapatan tinggi di sektor awam mahupun swasta. Ada juga yang bergelar usahawan walaupun berkerja dari rumah.
Walau bagaimana sekalipun, seorang isteri yang sah, selagimana dia tidak disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah Syariah, maka dia masih layak untuk menerima nafkah.
Tak kira sama ada isteri tersebut berkerja, pendapatan tinggi atau surirumah sepenuh masa, suami WAJIB menyediakan nafkah yang sewajarnya kepada isteri tersebut.
Cuma, isteri kena tahu, nafkah itu pada asalnya bukan Wang Ringgit, tapi perlu ada wang ringgit bagi menyediakan nafkah.
Nafkah adalah pembiayaan wajib suami meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.
Suami wajib sediakan keempat-empat perkara ini selepas sahaja berkahwin dan menerima amanah menjadi seorang suami. Tak wajib untuk sediakan nafkah ini dalam bentuk wang ringgit, tetapi, semua perkara melibatkan kepada keperluan perlukan wang ringgit.
Ya, meskipun isteri berkerja, wajib bagi suami sediakan nafkah. Ada juga yang PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) duduk berasingan kerana faktor kerja. Dalam keadaan itu pun suami wajib sediakan nafkah.
Cuma, nafkah itu pada asalnya bukan wang ringgit.
Suami wajib sediakan rumah sama ada menyewa atau membeli rumah. Tidaklah disyaratkan rumah itu mestilah besar atau mahal. Ikut kemampuan suami. Dan yang penting kawasan yang selamat dan selesa.
Wajib bagi semua sediakan makan minum kepada isteri. Memasak bukan pada asasnya tanggungjawab isteri, tetapi isteri boleh membantu suami dalam penyediaan makan minum di rumah. Yang penting, bahan memasak tersebut mestilah datang daripada suami itu sendiri.
Wajib dalam Islam seorang suami menyediakan pakaian kepada isteri. Pakaian bukan semata-mata baju sahaja, tetapi meliputi barang-barang kebersihan diri seperti sabun mandi, ubat gigi, tuala wanita dan macam-macam lagi.
Jika tiada sebarang kesakitan tak jadi apa lah. Tapi, mana ada manusia tak diuji dengan sakit kan? Kos rawatan kesihatan seperti ubat-ubatan, melahirkan anak dan apa-apa yang melibatkan kepada kesihatan tubuh badan isteri adalah nafkah wajib seorang suami.
Jika suami ada mengambil insurans kesihatan itu adalah yang terbaik. Tetapi jika tidak ada, suami wajib menanggung kos pembedahan dan sebagainya.
Baca Di Sini:
7 Nafkah Isteri Yang Suami Wajib Tunaikan, Jika Tidak Suami Menanggung Dosa
Sebenarnya di zaman ekonomi meleset serta kos harga barang meningkat, adalah baik jika suami isteri berkerjasama dalam pengurusan ekonomi rumahtangga.
Lebih baik kos ditanggung bersama, namun syaratnya, suami tidaklah melupakan yang ini adalah tanggungjawab asas kepada dirinya.
Yang paling penting, jika pendapatan bersama itu terhad, tetapi nak dibazirkan dengan pembelian yang tak patut seperti ‘upgrade’ kereta diluar kemampuan, ‘upgrade’ telefon bimbit, tambah hutang sana sini, ini punca kepada nafkah tak cukup dan sebagainya.
Bolehkah isteri mohon fasakh jika kebanyakannya ditanggung oleh isteri yang berkerja?
Seorang isteri berhak menuntut fasakh bukan sahaja disebabkan suami gagal sediakan nafkah, bahkan, jika cuai selama lebih 3 bulan juga isteri berhak.
Beza gagal dan cuai adalah, gagal itu tak dapat langsung. Isteri yang tanggung bayaran rumah, belanja rumah, segala bil, pakaian dan apa sahaja keperluan diri.
Manakalah, cuai pula, sebahagian besar ditanggung oleh isteri. Sedikit sahaja sumbangan nafkah suami dalam rumahtangga.
Atau juga, jika suami tidak konsisten menanggung keperluan nafkah selama lebih 3 bulan menurut undang-undang, isteri masih juga berhak menuntut fasakh.
Pada saya, yang terbaik adalah seorang suami memasukkan wang ringgit ke dalam akaun isteri mengikut kiraan perbelanjaan isi rumah dan dengan duit tersebut, isteri bantu suami jelaskan segala perbelanjaan.
Selalu yang jadi isu bagi isteri berkerja ini adalah suami tersebut kebanyakan terlupa dengan tanggungjawab memberi nafkah ini pada isteri.
Pada mulanya isteri hanya niat untuk bantu seketika sahaja bagi meringankan beban suami, tetapi lama-kelamaan ia menjadi seperti tanggungjawab isteri pula untuk beli keperluan diri.
Zaman ini, tidak ada masalah jika isteri nak bantu suami mencari pendapatan. Isteri juga mempunyai hutang tersendiri sebelum pernikahan atau mungkin dirinya tak sanggup melihat beban ditanggung suaminya bersendirian.
Jika suami meninggal secara mengejut, tanpa sebarang harta, isteri tersebut akan lebih terbeban untuk membesarkan anak kecil berseorangan tanpa pekerjaan.
Atau mungkin, isteri tersebut terpaksa mencari kerja bagi menjaga suami yang sebelum ini sihat mencari nafkah, tetapi tiba-tiba diuji dengan kesakitan berat.
Isteri bekerja hanya untuk bantu ringankan suami. Tetapi jika tanggungjawab suami itu sedikit demi sedikit ditanggung oleh isteri, hinggakan isteri yang menanggung keseluruhan besar perbelanjaan isi rumah, maka isteri tersebut berhak untuk mengeluarkan dirinya daripada menanggung mudharat terhadap perkahwinan tersebut.
Wallahualam. Semoga perkongsian ini memberikan pengajaran agar suami kekal bertanggungjawab dan isteri pula jangan putus asa untuk bantu ringankan suami agar rumahtangga kekal bahagia.
Amin Ya Rabb.
Kashoorga : Sama ada suami gagal atau cuai sediakan nafkah dalam tempoh lebih tiga bulan, seseorang isteri berhak tuntut fasakh.
Sumber: Fahmi Ramli, Peguam Syarie & AIA Wealth Planner
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.