Tiga Punca Doa Tidak Dimakbulkan Oleh Allah

Share

“Sedihnya…dah lama aku berdoa tapi permintaan aku tak pernah dimakbulkan. Apalah dosa aku sampai doa-doa aku ditolak.” Seringkali keluhan ini bermain-main di benak andai hajat tidak kesampaian. Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60).

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)

Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT.

Antara beberapa sebab mengapa doa ditolak dan tidak dimakbulkan:

1. BUKAN DENGAN SEPENUH HATI DAN TIDAK YAKIN

Apabila berdoa, kita hendaklah bersangka baik bahawa permintaan akan diterima. Ketahuilah bahawa apabila adanya perasaan was-was atau terbitnya perasaan tidak yakin yang Allah akan memakbulkan doa maka menyebabkan doa ditolak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Hendaklah kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan yakin akan perkenan doanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t tidak memperkenankan doa orang-orang yang berhati lalai dan alpa.”

Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT.

Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.”

Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”

2. TIDAK MENUNAIKAN HAK DAN TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH

Bagaimanalah Allah nak makbulkan doa kalau solat pun masih tunggang-langgang. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu pastikan kita sebagai hambaNYA menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada Allah. Jaga ‘perilaku’ kita dengan Allah.

3. INGIN SEGERA DIMAKBULKAN DOA

Ibarat meminta sesuatu daripada orang lain, janganlah sampai memaksa. Ketahuilah bahawa seseorang yang memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT tidak boleh meminta atau berharap doanya dikabulkan dengan segera. Ia seolah-olah memaksa Allah mengikut kehendaknya. Cara yang demikian akan menjadikan seseorang itu cepat putus asa apabila doanya atau permintaannya tidak dikabulkan oleh Allah. Sesungguhnya mereka yang berputus asa akan terputus daripada rahmat Allah. Apabila tiada rahmat Allah maka ia akan menyebabkan doanya tiada dimakbulkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan janganlah kau berputus asa daripada mengharap rahmat Allah s.w.t kerana sesungguhnya tiadalah yang putus asa dari rahmat Allah s.w.t kecuali orang-orang kafir”. (Surah Yusuf, 87)

Published by
wan erni