Permainan video PUBG dan Mobile Legends: Bang Bang amat popular di kalangan remaja. Malah ramai menghabiskan masa berjam-jam mengadap telefon bimbit masing-masing sehingga ada yang terlupa mengerjakan solat yang menjadi kewajiban bagi umat Islam. Lebih malang, adakalanya pemain bertaruh wang sesama sendiri sekaligus wujudnya unsur perjudian di situ.
Terkini, streamer menjadikan itim-item untuk ditikam dengan menggunakan Unknown Cash (UC) dalam permainan ini. Apakah hukumnya. Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai hukum UC ini.
Assalamualaikum. Tujuan saya mesej SS Mufti adalah untuk memberitahu tentang amalan streamer FB (livestream) di Malaysia yang beragama Islam yang gemar menikam item-item yang luar biasa dalam permainan video seperti Player Unknown’s Battle Ground (PUBG), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan sebagainya. Cara mereka menikam item-item tersebut adalah dengan menggunakan Unknown Cash (UC) bagi permainan PUBG dan Diamond bagi permainan MLBB. Bagi mendapatkan UC dan Diamond tersebut, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar (RM). Apakah hukum melakukan transaksi sedemikian? Diharapkan pihak SS Mufti dapat meneliti terhadap isu ini yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Terima kasih banyak.
Jawapan Ringkas
Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Huraian Jawapan
Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.
Konsep Unknown Cash (UC)
Dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak sesama pemain, pemain juga disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter setiap pemain seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya. Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi yang diberikan dan lain-lain.
Dalam masa yang sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman. Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti Unknown Cash (UC), Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver. Pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.
UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga yang berbeza-beza mengikut penyedia (provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90. Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya. Kos yang dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.
Ads
Kebiasaan tikaman dibuat bagi mendapatkan item-item yang istimewa dan langka yang tidak boleh didapati melalui pembelian secara terus. Jadi, perbahasan di bawah akan membincangkan status hukum bagi transaksi tersebut.
Analisis hukum
Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.
Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat. Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:
Disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah (zero-sum game).
(Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)
Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas. Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki.
Pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat. Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja. Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan.
Ads
Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. Surah al-Ma’idah (90)
Tambahan pula, kaedah tikaman sebegini bergantung kepada nasib semata-mata. Sedangkan permainan yang bersandarkan kepada unsur nasib semata-mata turut dilarang oleh Syarak, apatah lagi disertakan bersama wang taruhan. Ini disebutkan dalam kitab fiqh bahawa:
“Setiap permainan yang berdasarkan nasib seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan sebegini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.”[1](Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/166)
Seterusnya, menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya. Kami merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) yang menyebut seperti berikut: “Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.”[2]
Hal ini jelas kelihatan tatkala pemain ingin menikam barang-barang yang ada dalam peti, contohnya Premium Crate. Pemain perlu membayar sebanyak 120 UC terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang untuk menikam barang. Kemudian, berlaku proses pemilihan barang akan berlaku secara rawak. Terdapat kemungkinan pemain ‘dapat dan tidak dapat’ apa yang dimahukan. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).” Riwayat al-Bukhari (5482)
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) ada dinyatakan:-
“Dalam menafsirkan kedua-dua istilah ini, periwayat hadis ini berkata: Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya. Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.”[3]
Alternatif dan Saranan
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Kami sedia maklum bahawa pembelian sebegini tidak membuatkan para pemain mendapat barang-barang yang istimewa dan langka. Namun, prinsip agama menyebut secara jelas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, bahkan item tersebut bukanlah kategori barang keperluan apatah lagi mendesak.
Dalam artikel kami sebelum ini, kami ada menyebut bahawa permainan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak. Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.
Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada. Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama. Wallahu a’lam.
Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.”
Masa yang sama, kita disarankan sentiasa berwuduk kerana orang yang sentiasa berwuduk akan didoakan oleh para malaikat supaya dirahmati dan diampuni Allah. Malah orang yang sentiasa dalam keadaan berwuduk dapat menghindari dari terkena panahan Ain yang jahat.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, timbul satu pertanyaan manakah lebih afdal, menjaga wuduk atau mengambil wuduk baru untuk solat seterusnya?
Menjaga wuduk dan sentiasa dalam keadaan berwuduk ialah satu perbuatan yang terpuji kerana kita dapat bersedia dan lebih mudah untuk menunaikan ibadah sama ada ibadah fardhu atau sunat.
Jika kita menjaga wuduk sehingga ke solat fardhu seterusnya, memadai untuk kita menggunakan wuduk yang sama untuk solat tersebut. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk kita memperbaharui wuduk walaupun kita masih lagi dalam keadaan berwuduk kerana ia merupakan sunnah dan kebiasaan yang diamalkan Rasulullah SAW.
Oleh itu, mengambil wuduk baharu bagi solat fardhu adalah lebih afdhal dan lebih baik kerana perbuatan tersebut termasuk dalam kelebihan orang yang banyak berwuduk di dalam hadith. Selain itu, kaedah fiqh menyebutkan bahawa sesiapa yang lebih banyak perbuatan ibadahnya, maka lebih kelebihan dan pahalanya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas Syawal ramai yang berkira-kira untuk melakukan ibadah korban Setiap kali tibanya musim ibadah korban untuk Aidiladha nanti.
Boleh jadi terdetik juga keinginan untuk melakukan korban uat ibu baa tau ahli keluarga tercinta yang sudah meninggal dunia.
Namun begitu apa hukum melakukan ibadah korban bagi mereka yang telah meninggal dunia? Sah atau tidak?
Menurut penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus, adalah tidak sah korban yang dibuat orang yang sudah meninggal dunia kecuali jika orang tersebut sudah berwasiat.
Tidak sah buat korban untuk orang sudah meninggal dunia
“Tidak sah korban untuk orang yang sudah meninggal unia kecuali orang tersebut ada membuat wasiat melakukan korban.
“Contoh kalau arwah ayah ada berkata, kalau ayah mati dulu sebelum musim korban, buatkan lah korban satu bahagian untuk dirinya.
“Kalau dia ada kata begitu maka sah korban. Kalau tidak ada wasiat dari si mati maka tak sah korban.
Namun begitu ujarnya jika tetap juga mahu melakukan korban untuk insan yang telah meninggal dunia ada caranya.
“Caranya begini, kita buat korban untuk bahagian kita yang masih hidup. Selepas sembelih, maka kita katakan bahawa ‘jadikanlah pahala korban ini untuk bapa yang telah mati’.
“Kalau begitu hukumnya harus dan ini adalah hukum mengikut mazhab Syafie. Bagaimanapun dalam mazhab lain dibolehkan untuk korban untuk yang sudah mati,”jelasnya lagi.
INFO: Berapa bahagian dalam korban?
Dalam ibadah korban, jumlah bahagian bergantung kepada jenis haiwan yang disembelih:
-Kambing atau biri-biri – hanya satu bahagian, dan hanya untuk seorang sahaja.
-Lembu atau kerbau – boleh dikongsi sehingga tujuh bahagian (7 orang).
-Unta – juga boleh dikongsi sehingga tujuh bahagian.
Setiap satu bahagian mewakili satu individu yang ingin melakukan ibadah korban.
Saya ingin bertanya, adakah baki rambut wanita yang sudah dipotong itu dikira sebagai aurat ?
Jawapan:
Dalam isu ini, tidak dinafikan bahawa para fuqaha terdahulu tidak mempunyai kesepakatan pendapat padanya. Bahkan mereka berbeza pendapat kepada dua pandangan yang utama.
Pendapat Pertama: Rambut Perempuan Yang Telah Dipotong Adalah Aurat
Di dalam mazhab Imam Al-Syafie, para pembesar mazhab ini kebanyakannya berpendapat bahawa rambut wanita yang terpisah daripada badannya itu tetap dianggap sebagai aurat yang haram dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini dapat dilihat daripada beberapa kenyataan tokoh-tokoh mazhab tersebut.
Kata Imam Abu Bakr Al-Dimyathi Rahimahullah: Setiap apa yang haram untuk dilihat daripada orang lelaki atau orang perempuan semasa berada pada tubuh badannya, ia juga haram untuk dilihat apabila sudah terpisah daripada badannya. Ia seperti rambut perempuan dan juga bulu kemaluan lelaki. Maka wajib untuk disembunyikan. Lihat I’anah Al-Thalibin, Al-Dimyathi (3/303).
Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah mengatakan: Setiap yang haram untuk dilihat ketika ia bersambung dengan anggota badan, haram juga untuk dilihat apabila ia terpisah dari badan. Sekalipun setelah kematian. Ia seperti bulu kemaluan (aurat) sekalipun milik seorang lelaki, juga rambut orang perempuan, serta kuku kakinya dan tidak termasuk kuku tangannya menurut ulama bermazhab Hanafi, sedangkan di sisi Al-Syafieyyah kuku jari di tangan juga turut termasuk, maka disunatkan untuk menyembunyikannya supaya tidak ada seorang pun yang dapat melihatnya. Dan terdapat pengecualian terhadap rambut-rambut yang terjatuh di dalam bilik air kesan daripada sikatan rambut orang perempuan atau cukuran bulu kemaluan lelaki. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah Al-Zuhaili (3/568).
Pendapat Kedua: Rambut Wanita Yang Sudah Terpisah Dari Badan Bukan Aurat
Ini adalah pendapat yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanbali. Kata Al-Syeikh Abdul Qadir Bin Umar Al-Syaibani Rahimahullah: Maka tidak boleh untuk seorang lelaki itu memandang sedikitpun daripadanya (orang perempuan) sekalipun rambutnya yang bersambung. Adapun rambut yang terpisah daripada wanita ajnabi maka dibolehkan untuk seorang lelaki itu menyentuhnya serta memandang ke arahnya. Sekalipun ia merupakan bahagian aurat, ini kerana telah hilangnya keharamannya disebabkan terpisahnya ia dari jasad. Rujuk Nail Al-Maarib, Abdul Qadir Al-Syaibani (2/138).
Ini juga merupakan salah satu pendapat yang dhaif dalam mazhab Al-Syafie. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi.
Sumber Perbincangan Isu
Para ulama tidak berbeza pendapat bahawasanya jika seorang lelaki itu melihat ke arah mana sahaja anggota yang terpisah (terputus) daripada badan seorang wanita dengan perasaan syahwat maka hukumnya adalah haram. Sama ada anggota itu terpisah semasa dia masih hidup ataupun setelah dia meninggal dunia.
Demikian juga mereka bersepakat bahawa halal bagi lelaki untuk melihat tanpa sebarang syahwat ke arah anggota yang terpisah/terputus dari badan seorang perempuan sekiranya anggota tersebut halal untuk dilihat oleh lelaki sebelum ia terpisah dari badan.
Manakala para ulama berbeza pendapat terhadap hukum seorang lelaki itu memandang ke arah anggota yang terpisah dari badan perempuan tanpa sebarang syahwat, yang mana anggota itu adalah tidak dibolehkan untuk melihatnya sebelum ia terputus kepada beberapa pendapat seperti berikut:
Pertama: Tidak halal bagi seorang lelaki untuk melihat ke arah anggota yang terpisah dari badan orang perempuan sekiranya anggota itu di antara bahagian yang tidak halal untuk dilihat sebelum ia terpisah dari jasad. Tidak ada beza sama ada ia terpisah semasa hayatnya ataupun sesudah kematiannya.
Kaedah yang digunakan oleh para ulama yang berpegang dengan pandangan ini adalah : Setiap anggota yang tidak boleh untuk dilihat sebelum terputus adalah tidak boleh juga untuk dilihat setelah ia terpisah. Maka tidak boleh bagi seorang lelaki untuk melihat tangan wanita ajnabi, atau lengan, rambut, serta betis, sekiranya ia terpisah dari jasad wanita itu sama ada semasa hidup mahupun sesudah meninggal dunia.
Pendapat ini dipegang oleh ulama bermazhab Hanafi dan disifatkan sebagai pendapat paling asah (sahih) di sisi mereka. Inilah juga pendapat paling sahih dalam mazhab Imam Al-Syafie. Rujuk Al-Radd Al Mukhtar ‘Ala Al-Durr Al-Muhtar, Ibn Abidin (9/534), Mughni Al-Muhtaj, Al-Syarbini (3/130). Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (7/26).
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Apa-apa yang tidak boleh untuk dilihat semasa ia berada di anggota badan seperti zakar, lengan orang perempuan, rambutnya, bulu kemaluan lelaki, dan yang seumpamanya, haram juga untuk dilihat setelah terpisahnya ia dari anggota badan. Begitu juga pendapat yang paling sahih, haram melihat kepada kuku kaki wanita setelah ia terpisah dari jasad, tetapi tidak pada kuku tangan (tidak haram dilihat setelah terpisah).
Maka hendaklah bagi sesiapa yang memotong bulu kemaluannya untuk menyembunyikan bulu tersebut, supaya tidak seorang pun dapat melihatnya. Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (7/26-27).
Kedua: Dibolehkan untuk seorang lelaki itu melihat ke arah anggota badan wanita yang sudah terpisah darinya sekiranya anggota itu terputus semasa hayatnya. Ini kerana, anggota itu telah menjadi ajnabi daripada jisim. Manakala tidak halal untuk ia dilihat sekiranya ia terpisah setelah kematiannya. Inilah pendapat ulama Malikiyyah. Rujuk Bulghah Al-Saalik Li Aqrab Al-Masaalik, Ahmad Al-Sowi (1/194).
Ketiga: Dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk melihat ke arah anggota badan yang terpisah dari seorang perempuan, ini kerana telah hilang keharamannya oleh sebab terputus dari badan. Inilah pendapat al-Syafieyyah berlawanan dengan pendapat asah dan juga golongan al-Hanabilah.
Manakala Imam al Juwaini dari Al-Syafieyyah mengatakan: Sekiranya tidak dapat dibezakan anggota yang terputus dari seorang perempuan itu gambaran dan bentuknya dengan anggota orang lelaki, seperti kuku, rambut, dan juga kulit, maka tidak haram untuk melihatnya. Sekiranya dapat dibezakan maka hukumnya haram. Al-Nawawi mendhaifkan pendapat ini kerana tidak ada kesan pada membezakan sedangkan kita telah tahu ia merupakan bahagian yang haram untuk dilihat ke arahnya. Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (7/26).
Cara-Cara Menguruskan Anggota Yang Terpisah Dari Badan Manusia
Berikut kami kongsikan beberapa cara yang ditunjukkan oleh para fuqaha baerkaitan cara pengurusan anggota badan yang telah terpisah dari tubuh manusia.
Kata para fuqaha bahawasanya anggota yang telah terpisah dari badan manusia yang hidup itu perlu ditanam tanpa perlu membasuhnya serta tidak perlu disolatkan, sekalipun ia adalah kuku dan juga rambut. Rujuk Hasyiah Ibn Aabidin (5/260), Hasyiah Al-Qalyubi (1/338), Nihaayah Al-Muhtaj (1/341).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada satu pendapat dalam mazhab Hanbali bahawa telah hilangnya pengharaman melihat kepada aurat yang terpisah dari wanita. Ini kerana, telah terpisahnya ia dari tubuh badan.
Di samping itu, kerana terdapat kesukaran untuk membezakan di antara rambut lelaki dan juga perempuan kerana terdapat kemungkinan rambut itu bukan sahaja dari orang lelaki dan perempuan dewasa. Barangkali ia datang dari kanak-kanak perempuan yang belum baligh. Ini juga sepertimana yang difatwakan oleh Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah tentang rambut-rambut yang dikecualikan daripada pengharaman sepertimana yang kami nukilkan sebelum ini.
Kami juga menyatakan, perbuatan memotong rambut sendiri dan ditunjukkan dengan sengaja kepada lelaki ajnabi adalah tidak dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam mazhab Al-Imam Al-Syafie.
Keluar pejabat pada waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi ibarat satu kebiasaan. Ada yang memberitahu majikan tapi ramai juga yang keluar senyap-senyap hingga berjam-jam...