Hanya wanita yang pernah bersalin dan berpantang waktu bulan puasa memang faham sangat situasi ini. Jika bersalin awal bulan Ramadan biasanya ibu takkan dapat berpuasa kerana nifas.
Ada yang langsung tak dapat berpuasa hingga sebulan. Malah ada juga yang tak sempat menggantikan puasa kerana menyusu anak. Jika dah langkau tahun masih tak dapat menggantikan puasa apa nak buat?
Boleh baca penjelasan yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tatkala membalas persoalan dari seorang ibu tentang masalah ini.
Tak sempat ganti puasa sebulan
Saya ingin menanyakan satu soalan. Bulan puasa tahun lepas saya dalam pantang bersalin. Jadinya sebulan puasa saya tidak berpuasa. Sekarang pun masih menyusukan anak. Usia anak 11 bulan. Saya ingin bertanya, perlukah saya:
1) Qada’ puasa sahaja atau
2) Qada’ puasa dan bayar fidyah atau
3) Tidak perlu puasa tetapi bayar fidyah sahaja
Saya masih menyusukan anak sekarang. Yang mana satu yang perlu saya ikut nya sebab banyak sangat mazhab yang saya dengar. Saya tidak tahu mana yang patut ikut.
Terima kasih ustaz
Jawapan
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertama sekali kita perlu jelas tentang maksud ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin memiliki beberapa tempoh yang masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari.
Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas. Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushab al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjima’, bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut. Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya pula adalah 60 hari.
Menurut Imam al-Syarbini al-Khatib (w.977H) di dalam al-Iqna’ (ms.143-144), orang perempuan yang bernifas haram menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Jika dia berpuasa juga maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha.
Ini berbeza dengan solat fardu yang tidak perlu diganti. Perkara ini berdasarkan hadis Muslim riwayat Aisyah R.Anha bahawa kaum wanita diperintahkan untuk mengqadhakan puasa Ramadhan yang ditinggal akibat haid – dan juga nifas – tetapi tidak bagi solat fardu.
Pada asalnya hukum wanita yang menangguh qadha puasanya sehingga masuk ke Ramadhan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qadha puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadhan bagi tahun yang baru. Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna` (ms. 352).
Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Muʿtamad (2/200) : “Jika seseorang wanita itu melewatkan qadha’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir, sehingga masuk ke Ramdhan yang baru, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qadha’ sahaja.”
Justeru, dalam kes puan yang bertanya:
- Puan hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.
- Jika puan melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadhan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
- Jika puan meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadhan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.
Semoga Allah Taala mengurniakan kekuatan dan ilmu dalam beramal. Wallahua’lam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI