Banyak Bersedekah Tapi Kurang Bayar Zakat, Sayangnya… Bila Yang Wajib Diabaikan

Share

Ramai suka bersedekah tapi kurang prihatin untuk bayar zakat. Hukum agama terbahagi kepada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Bagaimanapun ada sebahagiannya ditentukan mengikut keadaan semasa.

Namun yang paling utama harus kita ingat ialah, didahulukan perkara yang wajib hukumnya kemudian baru dituruti amalan lain mengikut hierarki hukum.

Salah satu amalan wajib yang mesti kita laksanakan dan patuhi tanpa ada kompromi ialah berzakat. Ia adalah antara rukun Islam yang paling penting.

Hukum berzakat mempunyai dalil-dalil mu’tamad

(القطع) dari sudut petunjuk (الدلالة) dan sabitnya. Ia menjadikan hukumnya itu jelas dan mudah diketahui dari sudut agama.

Foto: Infografik Baitulmal

Oleh itu, hukum orang yang menafikan wajib berzakat adalah kafir.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.
(Surah al-Baqarah: 43)

Oleh kerana perintah mendirikan solat adalah wajib, begitu juga menunaikan zakat adalah wajib. Ini kerana perintah dan arahan menunaikan zakad dengan sighah fi’il amar atau suruhan. Perintah mengeluarkannya disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran pada 23 tempat.

Dalam satu ciapan di akaun twitter Faisal Rahim seorang Amil zakat, beliau ada mengulas tentang kesilapan ketara umat Islam hari ini apabila bersangkutan dengan berzakat. 

Menurutnya, antara kesilapan ramai muslim sekarang, mereka BANYAK BERSEDEKAH tetapi rupanya ZAKAT dia masih BELUM SELESAI.

Mengulas lanjut tentang ini, Faisal berkata, kita selalu bersedekah dan tolong orang, tapi TIDAK PERNAH KIRA jumlah sebenar yang patut dikeluarkan. Kebanyakannya suka utamakan perkara SUNAT melebihi yang WAJIB.

“Lagi sayang kalau beliau seorang pemurah, selalu sedekah kat masjid, belanja kawan-kawan makan, rajin bagi duit kalau ada iklan orang susah dan lain-lain, tapi bayar zakat tak cukup. Sepatutnya kena bayar zakat RM1,000, tapi cuma bayar RM500. Sedekah beliau setiap bulan? RM1,500,” ulasnya dalam ciapan.

Kenapa jadi begitu? Sebab lumrah manusia tidak suka dipaksa dan disuruh. Walaupun ia arahan dari Allah. Ego kita terlalu tinggi.

Tapi kena selalu ingat, walau berapa banyak sedekah dikeluarkan & solat sunat kita buat, ia TAKKAN SAMA dengan ibadah wajib solat dan berzakat. Betapa Allah tekankan kepentingannya sehingga ia adalah rukun yang wajib kepada semua umat Islam yang cukup syarat untuk menunaikannya.

 

 

Published by
Team Kashoorga