Tradisi Unik Kejut Bangun Sahur, Alunan Zikir Dengan Iringan Rebana Meriahkan Suasana

Share

Sahur, sunnah paling besar dan antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan sepanjang Ramadan. Bahkan sahur merupakan pemisah di antara puasa kita dengan puasa yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Sahl Bin Sa’ad. Nabi SAW bersabda:-

إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya :” Pemisah (perbezaan) di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah bersahur.” Riwayat Abu Daud (2343)

Bahkan bersahur menyebabkan kita memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Daripada Anas Bin Malik bahawasanya Nabi SAW bersabda:-

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya :” Bersahurlah kerana di dalam sahur itu adalah berkat.” Riwayat Al-Bukhari (1923)

Di Indonesia khususnya di daerah Maluku Tengah di Negeri Hila Daerah Leihitu, tradisi mengejutkan bangun sahurnya amat meriah.

Diketuai puluhan anak muda berpakaian putih dinamakan Skuad Lorong Arab, mereka mula mengelilingi kampung sekitar jam 1.45 pagi sambil mengalunkan zikir dengan iringan pukulan rebana.

Sekumpulan anak muda ini akan mula membangunkan penduduk kampung untuk bangun sahur sebelum menunaikan ibadah puasa. Biasanya acara ini berlangsung hingga jam 3.30 pagi dan diakhirinya dengan pembacaan syair berkaitan Ramadan seperti lagi Siti Fatimah dan sebagainya.

Dikongsikan dari akaun Tik Tok @Nino M Ahnand dapat dilihat suasana meriah apabila mereka mendendangkan syair ini. Bahkan ia menarik minat warga Malaysia yang mahu menjemput kumpulan ini hadir ke negara ini kerana tertarik dengan syair didendangkan.

Menurut tokoh adat Negeri Hila, Zulkarnain Ely, tradisi kejutkan sahur ini diadakan dua kali seminggu dan akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan. Jelasnya, ia satu tradisi lama dan tidak jauh beza dengan membangunkan sahur di deerah lain.

“Orang-orang terdahulu melakukan acara ini dengan tujuan agar budaya zikir tetap lestari di kalangan anak muda mahu pun masyarakat umumnya,”katanya.

Hadrat adalah tradisi turun-menurun di Negeri Hila. Beberapa tahun lalu tradisi ini tidak dilakukan kerana banyak pemukul rebana sudah tua.

“Jadi orang tua mengajar pemuda cara bermain rebana. Alhamdulillah, masuk hari ketiga Ramadan semua sudah dapat melakukannya dan meneruskan tradisi ini,”jelas Zulkarnain yang berpesan agar genarasi muda tetap menjaga warisan turun temurun ini.

“Hilang tradisi, hilang budaya, bererti hilang jati diri,” katanya lagi. Sumber : Antaranews.com

Published by
almaswa Haji Che Ros