“Ustaz, apa hukumnya saya beli patung Santa Claus?” seorang pelajar bertanya selepas saya menghabiskan kuliah Hadis 40 malam itu. Clinical Science Institute, NUI Galway, makmur dengan kehadiran pelajar perubatan yang suka belajar agama.
“Err, kenapa awak nak beli patung tu?” saya menyoal kembali. “Alaa, cutelah ustaz. Rasa sayang kalau tak beli. Murah-murah pula tu” jawab beliau.
“Emm, saya rasa kita letak tepi sekejap bab hukum tu. Cuma bayangkan begini. Katakanlah Rasulullah s.a.w datang ziarah ke rumah awak. Masa baginda duduk di ruang tamu, awak nak letak tak patung Santa Claus tu di situ? Atau awak nak sembunyikan?” saya mencuba ‘rawatan’ alternatif.
Pelajar yang bertanya, dan rakan-rakan yang lain ketawa. “Hah, nak beli lagi ke?” sergah Masri kepada pelajar tersebut.
“Daripada al-Nawwas bin Sam’aan ra, Nabi s.a.w telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadis Riwayat Muslim]
Ya, tak usahlah jauh sangat mencari hukum. Panduan Rasulullah s.a.w itu pun sudah memadai. Kalau sesuatu yang mahu kita lakukan itu mendatangkan resah kepada diri, dan kalau boleh jangan ada sesiapa pun yang tahu, Insya-Allah, dosa jualah namanya perbuatan itu.
Disember di Barat
Sepi pada pagi Krismas di Belfast, boleh membunuh insan yang hidup dalam putus asa. Berada di Ireland pada bulan Disember, menjadikan kita keliru. Sambutan Krismas bukan sembarangan. Kalau di Belfast, Galway dan Dublin, seawal 1 Disember, jalan-jalan utama sudah cantik dihias. Jualan murah di semua pasar raya. Santa Claus dan rusa-rusanya berada di mana-mana. Siapa yang tidak teruja?
Semuanya Krismas. Santa Claus, hadiah, membeli belah dan kad kredit! Tetapi saya tidak rasa ada iman di sebalik perayaan Krismas. Tidak ada unsur-unsur yang mengajak penganut Kristian, baik Katholik mahu pun Protestan, untuk mendekatkan diri kepada ‘tuhan’ mereka, kepada Jesus Christ. Krismas adalah pesta, kegembiraan dan keseronokan, serta kekecewaan dan kemurungan untuk homeless community.
Erti Krismas bagi orang Kristian adalah terlalu jauh dari Tuhan, Isa dan Bible. Unsur pesta dan kewajipan berkumpul bersama keluarga, mendominasi suasana yang menyelubungi Krismas. Kerana itulah Sheikh Abd Rahim Green semasa berceramah di Masjid Dublin, kecewa dengan sikap umat Islam yang sibuk mahu mengucapkan Happy Christmas kepada orang Kristian.
“Kamu tahu apa ertinya ia kepada kami, para revert yang dahulu Kristian kini Islam? Apabila kamu mengucapkan Happy Christmas kepada mereka, yang kami dengar hanyalah Happy Kufur, Happy Syirik!” kata beliau.
“Hairan ana, kalau kat Malaysia orang muda penuh berkumpul di stesen bas dan kereta api untuk balik kampung. Tapi di sini, orang tua-tua pula yang penuh di stesen untuk ke rumah anak-anak” saya mengadu kepada Nasreel, rakan serumah di London.
Aduan disebabkan kaget dengan pemandangan orang tua-tua beratur menaiki kereta api di stesen Paddington menuju ke barat England.
“Biasa la ustaz. Londoners la katakan!” jawabnya sambil tersenyum. Pemandangan di Heathrow juga tidak banyak berbeza. Ibu bapa mendamba diri ke rumah anak-anak.
Krismas juga menjadi hari derita bagi mereka yang tidak berkeluarga. Kadang-kadang saya sedih melihat keadaan diri mereka yang merayau dan merempat di lorong-lorong Belfast. Tidur entah ke mana, makan tidak tahu cerita. Kebanyakan melepaskan masalah hidup dengan ketagihan. Ketagih arak, atau dadah, atau seks… entahlah.
Namun ramai golongan homeless yang membunuh diri pada musim Kristmas. Christmas Carol yang didendangkan, seperti irama yang membunuh jiwa. Mereka tiada keluarga untuk dituju. Sepi dan keseorangan menghabiskan sisa-sisa hidup yang tiada makna. Perasaan mereka mungkin seperti perasaan sesetengah kita ketika mendengar Takbir di Hari Raya. Sedih… dengan kesedihan yang tidak datang daripada iman.
Krismas dan Raya
Kadang-kadang saya terfikir, nasib Krismas dan Hari Raya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya ditunggu oleh penganut agama masing-masing tetapi bukan untuk membesarkan Tuhan. Krismas dan Hari Raya hanyalah sebuah pesta tahunan. Krismas dan Hari Raya adalah hari syahdu bukan pada muhasabah diri yang berdosa atau perpisahan dengan Ramadan yang meragut hari-hari keampunan. Krismas dan Hari Raya hanyalah hari rindu warga kota menebus dosa meninggalkan kekeluargaan dan persaudaraan selama ini.
Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.
Saya juga pelik melihat warga kota juga menyibukkan diri dengan Krismas. Wajah ‘kita’ bertopi Santa, mata kecil Timur ber’ho ho ho’. Apa yang diimport ke masyarakat kita sempena Krismas, bukanlah kesedaran untuk menghayati agama, tetapi kemiskinan jati diri warga kita yang terikut untuk menjadi Barat.
Bahaya bebas dari agama
Inilah hasil didikan Barat, seperti yang dimahukan oleh Thomas Babington Macaulay, pegawai pendidikan British yang merangka sistem pendidikan untuk negara-negara jajahan seperti India. Apa yang beliau mahukan ialah “Indian in blood and colour, with English in taste“.
Di Malaysia, ada juga di antara masyarakat kita yang mempunyai selera pemikiran dan perasaan Barat. Sama ada mem’perang’kan rambut atau tidak, tidak pernah diterima sebagai Barat oleh Barat. Hanya mereka sahaja yang terlalu sukakan barat. Seolah-olah malu dirujuk sebagai Timur, sebagai Islam.
Malah saya fikir, keghairahan segelintir orang Malaysia hari ini untuk meninggalkan Islam dan beralih kepada agama Kristian, bukanlah kerana yakin dan penuh iman kepada syariat Bible. Tetapi gejala murtad yang berlaku adalah berpunca daripada usaha melepaskan diri daripada ikatan agama, agar tidak dihukum dosa ketika menjamah arak dan zina. Mengapa? Kerana agama Kristian didakyahkan sebagai agama accomodative yang menawarkan pengampunan, yang memberikan ‘harapan’. Sedangkan pelaku dosa itu, misalnya penzina, di mata Islam, adalah sasaran lontaran rejam batu dan sebatan.
Pada saya, gejala murtad dan pesta Krismas, adalah rentetan pseudo-religion dan bukannya agama sebenar. Gejala Muslim murtad adalah gelombang pemergian kelompok ini kepada pseudo-religion. Ia tidak meninggikan syiar Kristian, tetapi hanya alasan untuk bebas daripada agama dan Tuhan.
Sikap segelintirnya hanya melahirkan hamba hiburan dan pesta. Orang-orangnya mahu memalsukan semua agama daripada soal iman dan pencarian terhadap hakikat kebenaran, kepada adat resam dan budaya semata-mata, adat resam yang tiada kena mengena dengan Timur, tiada kena mengena dengan Islam.
Daripada Abu Sa’eed al-Khudri ra bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Inilah beban derita, berfikir tentang agama manusia di akhir zaman.