Sesungguhnya, manusia itu hanya akan diuji sesuai mengikut kemampuannya. Sehebat mana pun sesuatu ujian itu, sesukar mana pun ia di mata kita, percayalah, bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.
Sebagaimana janji Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
[Surah Al-Baqarah, 2: 286]
Satu kebakaran besar yang berlaku malam tadi di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan di sini jam 3 pagi mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Aish berusia dua tahun meninggal dunia selepas gagal diselamatkan dalam api marak.
Apa yang menyedihkan akan kejadian di penghujung Ramadan ini, tular di media sosial jeritan meminta tolong dari ibu arwah yang meminta suami menyelamatkan anak sulung mereka itu.
“Abang, anak..anak..anak dalam rumah dan kemudian terdengar raungan suami sambil menyebut Allahuakbar.
Ternyata ramai yang sebak dan dapat membayangkan jika mereka berada di situasi yang sama, bagaimana rasa panik dan masa yang sama mahu memastikan seluruh ahli keluarga selamat dalam ujian ini. Namun ujian Allah ini cukup besar buat hambanya.
Difahamkan pasangan suami isteri ini berniaga makanan di stadium.
Dalam pada itu, orang ramai memaklumkan mendengar dua letupan kuat yang menggegarkan kawasan berkenaan.
Memetik Harian Metro, peniaga kedai makan, Faridah Mamat, 56, berkata dia sedang memasak untuk persediaan bersahur ketika kejadian berlaku kira-kira 3 pagi itu.
“Pada awalnya saya terdengar satu letupan dan disusuli letupan kedua yang menyebabkan berlaku kebakaran. Letupan pertama saya tidak melihat api, tetapi mula ternampak api sebaik berlaku letupan kedua.
“Ketika itu api marak dan saya serta jiran lain tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 pagi. Sebuah rumah hangus 100 peratus sementara sebuah lagi 90 peratus terbakar. Selain kanak-kanak itu rentung, seorang lelaki dewasa melecur 50 peratus dan seorang lagi cedera ringan. Foto: BERNAMA