Kekeluargaan

Trend Childfree, Kahwin Tapi Tak Mahu Anak. Boleh Jatuh Makruh & Haram Hukumnya Jika Kerana 2 Alasan Ini

Share

Kebelakangan ini trend child free atau perkahwinan tanpa perancangan untuk zuriat semakin mendapat perhatian terutama kalangan pasangan muda.

Alasannya boleh jadi atas sebab ekonomi, masa ataupun masalah kesihatan. Tapi bagaimana pula jika pasangan suami isteri tiada masalah kewangan, masa dan kesihatan tapi memilih untuk tidak mahu memiliki cahaya mata.

Apa hukumnya suami isteri memilih pendirian begini? Hukum berkenaan isu childfree dalam perkahwinan ini dijelaskan dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

‘Childfree by choice’ mengikut perspektif Islam

Secara asasnya, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat. Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.

Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau childfree adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.

Hukum pasangan memilih tidak memiliki anak berdasarkan sebab dan keadaan

Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan. Hukum pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak ini adalah mengikut pertimbangan pada sebab dan keadaan seperti berikut:

i. HARUS jika

Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah HARUS dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.

ii. MAKRUH jika

Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah MAKRUH.

Malahan, bagi golongan yang mengambil keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan kefahaman childfree, sehingga menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab dan juga sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia, maka ia merupakan satu fahaman dan budaya yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.

iii. HARAM jika

Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah HARAM.

Dinasihatkan agar pasangan yang ingin berkahwin atau pasangan yang berhasrat untuk membuat perancangan keluarga mengetahui bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya.

Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga