Tular di media sosial seorang ibu tua berkerusi roda ditinggalkan di tepi jalan oleh anak-anaknya yang sudah tidak sanggup menjaga ibu tua ini lagi. Dari satu perkongsian di fb Lembaga Zakat Selangor, pihak Lembaga Zakat berkongsi kisah sedih ini di mana seorang ibu tua ditinggalkan di tepi jalan dengan sebuah beg dan lampin pakai buang.
Apa yang menyedihkan, saat anak-anak dihubungi, semuanya beri macam-macam alasan kerana tidak mahu ambil emak mereka semula sebelum Lembaga Zakat Selangor memasukkan ibu tua di rumah orang tua.
Ternyata apa pun alasan kita, tahukah antara dosa seorang anak tidak akan masuk syurga ialah kerana derhaka pada orang tuanya.
Sabda baginda Rasulullah: Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga. – [HR Muslim 2551].
Satu yang perlu anak-anak ingat ialah, dosa kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi sebelum akhirat.
Ini berdasarkan hadis nabi SAW: Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” – [HR al-Hakim 7263].
**media[341320]**
Baca kisah perkongsian dari fb Lembaga Zakat Selangor
Air mata ibu berlinangan bila ditinggalkan di tepi jalan
Kami menerima info dari orang awam yang terjumpa seorang wanita warga emas berkerusi roda ditinggalkan berseorangan di tepi jalan berserta lampin pakai buang dan beg pakaian.
Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini.
Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir kami dan masih mempunyai keluarga. Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.
Oleh kerana keadaannya yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, kami terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib.
Pihak polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka. Anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu ini kembali.
Namun, sekitar jam 3 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.
**media[341321]**
**media[341324]**
Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.
"..dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya". Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya.
Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor.
Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan info kepada kami. Juga buat pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.
Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.
Kisah ini mengingatkan kami kepada firman Allah yang bermaksud:-
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Surah Al-Isra' : 23-24
.
.
Kredit : ibnuhusain
Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )