Kerohanian

Tunai Haji Cara Salah Guna Visa Pelancong, Ketahui Hukum & Status Haji Mereka

Share

Kebanyakan kita pasti menyimpan hasrat untuk menunaikan haji. Namun begitu seharusnya ibadah ini dilaksanakan dengan cara yang betul.

Ini kerana ada juga yang menunaikan haji dengan cara yang salah mengikut undang-undang. Sebagai contoh menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji.

Dalam hal ini timbul persoalan apakah status ibadah haji mereka yang menggunakan cara sebegini. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi penjelasan tentang perkara ini.

Termasuk kesalahan di bawah kerajaan Arab Saudi

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga masuk musim haji merupakan satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi.

Penyalahgunaan visa ini akan melibatkan keselamatan pemegang visa yang tidak diiktiraf untuk melaksanakan haji dan boleh mencemarkan nama dan hubungan baik antara dua negara. Pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji (LTH).

Syarat istita’ah

Syarat istita’ah atau berkemampuan dalam mengerjakan ibadah haji untuk sampai ke tanah haram juga merupakan faktor dalam menentukan kewajipan seseorang itu untuk menunaikan ibadah haji seperti perjalanan yang aman dan selamat.

Bahkan tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji sekiranya perjalanan tersebut terdapat ancaman terhadap diri dan harta. Imam al-Nawawi menyebut:

أَمْنُ الطَّرِيقِ فَلَوْ خَافَ عَلَى نَفْسِهِ أَوْ مَالِهِ سَبُعًا أَوْ عَدُوًّا أَوْ رَصَدِيًّا وَلَا طَرِيقَ سِوَاهُ لَمْ يَجِبْ الْحَجُّ

Maksudnya: “(Antara syarat istita’ah) aman dalam perjalanan, sekiranya takut ke atas diri atau hartanya daripada ancaman binatang buas, musuh atau perompak serta tiada jalan lain yang sesuai (untuk pergi haji) maka tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji.”[4]

Menggunakan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji adalah satu kesalahan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Arahan ini dikeluarkan untuk tujuan kebaikan dan menjaga kepentingan umat Islam wajib dipatuhi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya : “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”[6]

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami arahan pemerintah yang tidak membawa kepada maslahah umum tidak wajib untuk dipatuhi[7]. Ini dapat difahami sebaliknya bahawa jika arahan pemerintah itu bertujuan untuk menjaga maslahah umum maka wajib dipatuhi.

Status haji

Dalam hal ini perbuatan menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang haram dan berdosa kerana menipu dan melanggar undang-undang.

Manakala ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan visa tersebut adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun haji.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga