Kerohanian

UAI Kongsi Amalan Untuk Mereka Yang Selalu Diselubungi Perasaan Was Was Ketika Solat

Share

 

Seringkali ketika solat hati berasa was-was, keliru dengan bilangan rakaat, bacaan dan sebagainya. Ia menjadikan ibadah kita kurang sempurna dan tidak khusyuk.

Perasaan was was ini juga boleh dirasakan dalam urusan seharian kita dan boleh jadi menyebabkan rasa stress, bosan malah putus asa. Dan adalah sangat merugikan jika rasa putus asa ini berlaku dalam soal melakukan ibadah gara-gara penyakit was-was.

Namun demikian ada beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh mereka yang diselubungi perasaan was-was khususnya ketika beribadah. Amalan ini dikongsi oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus

dalam satu hantaran di Facebook.

Was-was adalah hasutan syaitan

Was-was adalah hasutan syaitan pada hati manusia yang hendak melakukan ibadah supaya ibadahnya jadi tidak sempurna. Mereka yang berdepan perasaan ini boleh mencuba beberapa bacaan yang berikut sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit was-was.

Sebaiknya sebelum memulakan suatu amalan seorang itu memohon perlindungan dengan Allah dari was-was syaitan dengan membaca أعوذُ بالله من الشيطان الرجيم dan kemudian adalah elok dia membaca ءامنتُ بالله عز وجل وبرسله yang berarti aku telah beriman dengan Allah Taala dan dengan para Rasul-Nya atau ءامنَّا بالله وبرسلهِ yang berarti kami telah beriman dengan Allah dan dengan para Rasul-Nya.

Orang yang selalu diganggu dengan was-was ini sangat elok membanyakkan membaca لا حول ولا قوة إلا بالله .

Dan demikian lagi orang yang ada penyakit was-was kena banyakkan menyebut kalimah لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ yaitu kalimah yang sangat ditakut oleh syaitan.

Berkata setengah ulamak :
يُستحبُّ قول لا إله إلا الله لمن ابتليَ بالوسوسة في الوضوء أو الصلاة أو ما أشبه ذلك، فإنَّ الشيطان إذا سمعَ الذكر خنسَ أي تأخر وانقبض، وكلمة لا إله إلا الله رأس الذكر وأحسن الحسنات
Ertinya : “Disunatkan menyebut لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ bagi mereka yang dibalakan dengan penyakit was-was ketika berwuduk dan ketika hendak solat atau barang yang seumpama demikian itu kerana sungguhnya syaitan itu apabila mendengar olehnya akan zikir nescaya undur ia dan menghilang dan adalah kalimah لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ itu ibu segala zikir dan sebaik-baik kebajikan.”

InsyaAllah orang yang mempunyai penyakit was-was yang mengamalkan bacaan-bacaan ini akan terpelihara dari penyakit tersebut.

Sumber:  Ustaz Azhar Idrus

Published by
Team Kashoorga