
Solat jamak seperti diketahui adalah untuk kemudahan mereka yang bermusafir lebih dari dua marhalah atau 82km.
Tapi situasi hari ini ramai saja yang bekerja jauh dari kediaman dan menghabiskan masa berjam-jam memandu atau menaiki pengangkutan awam. Ada yang menempuh perjalanan hampir 100km setiap hari untuk ke tempat kerja.
Dalam keadaan ini adakah mereka yang berulang alik ke tempat kerja melebihi jarak 2 marhalah dibolehkan melakukan solat jamak.
Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya :
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ
Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’ :101)
Jalaluddin al-Mahalli dan al-Sayuti menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini apabila kalian bermusafir boleh untuk memendekkan solat iaitu daripada empat jadikan dia dua rakaat.
Rujuk Tafsir al-Jalalain (2/101)
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :
Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
-Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
-Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
-Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
-Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
-Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak
Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah (hlm 314-315)
Al-Khatib Al-Syarbini ketika menjelaskan berkenaan dengan syarat yang membolehkan untuk qasar dan jamak, beliau mengatakan permusafiran tersebut mestilah bukan dengan tujuan maksiat.
Sama ada yang wajib seperti bermusafir untik menunaikan haji ataupun yang mandub seperti menziarahi kubur Nabi SAW ataupun yang harus seperti bermusafir untuk perniagaan.

Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’(2/384)
Imam Al-Ramli menyatakan permusafiran itu mestilah sama ada yang wajib atau mandub ataupun yang harus. Boleh jadi permusafiran itu adalah yang makruh seperti bermusafir sendirian terutamanya pada waktu malam.
Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Syarh Al-Minhaj(2/248)
Berdasarkan pernyataan di atas, kami melihat bahawa boleh untuk menqasarkan dan menjamakkan solat pada hari bekerja kerana telah memenuhi syarat-syarat utama qasar dan jamak iaitu perjalanan melebihi 2 marhalah dan tujuan perjalanan adalah tujuan yang harus.
Harus diingatkan, solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja ataupun ketika dalam perjalanan. Adapun ketika sampai di kawasan permukiman tidak boleh untuk mengambil rukhsah tersebut dan perlu dilakukan solat secara sempurna.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Basahkan Muka 5 Kali Sehari Dengan Wuduk, Petua Cantik Cara Islam Diana Amir, Selain Mulut Sentiasa Ringan Berzikir

Pelakon dan pengacara, Diana Amir sudah berhijrah sejak dari tahun 2011 lagi. Sebaik melakukan penghijrahan dia memang mengubah penampilan dan sikapnya menjadi 360 darjah.
Diana Amir yang melakukan penghijrahan turut yang mengakui hidupnya kini semakin mendapat ketenangan.
Walaupun begitu sebagai selebriti, Diana tetap mengutamakan penampilan untuk sentiasa kelihatan cantik. Diana Amir tidak lokek berkongsi cantik cara Islam yang diamalkannya.
Menurut Diana dalam agama Islam sendiri memang amat mementingkan kebersihan. Jadi secara tak langsung kita akan menjaga kebersihan diri. Ini kita boleh lihat apabila perlu mengambil wuduk dahulu sebelum bersembahyang lima kali sehari.
BERSIH WAJAH SEBELUM TIDUR
Jika kita mengambil wuduk dengan sempurna memang diri akan bersih. Ini kerana daripada situ (mengambil wuduk) kita membersihkan muka dan kaki dan secara tak langsung itu juga sebahagian daripada menjaga kebersihan.
Dia juga turut memastikan sebelum masuk tidur Diana akan membersihkan wajah terlebih dahulu. Tidak akan sesekali terus tidur tanpa membasuh wajah dengan bersihnya.
Selain itu petua lain diamalkan adalah perlunya menjaga stamina dengan melakukan senaman bagi mengekalkan tubuh supaya kekal sihat dan cergas.
Ibu kepada tiga cahayamata ini juga turut berkongsi amalan kerohanian bagi membuatkan wajah seseorang itu kekal berseri dan bercahaya.
SENTIASA BERZIKIR
Menurut Diana lagi kecantikan itu penting bermula dari dalaman dengan hati dan jiwa yang tenang. Ketenangan itu akan datang pada seseorang bila kita sentiasa mengingati Allah.
Jangan sesekali fikir perkara yang memeningkan kepala kerana ia boleh membuatkan seseorang itu jadi cepat tua.

“Sentiasa mengingati Pencipta kita tidak kira di mana juga berada. Cara mengingati-Nya adalah dengan berzikir. Sebenarnya banyak zikir boleh diamalkan lebih-lebih diri kita ini adalah pendosa. Jadi kita perlu sentiasa memperbaiki iman dan syahadah.
“Zikir paling mudah untuk diamalkan adalah Istighfar dan Lailahaillah. Sentiasa basahkan mulut dengan zikir mulia dan inysa-Allah segala urusan akan dipermudahkan.
“Kita ingat Dia dan Dia akan mengingati kita dan hati akan memperoleh ketenangan yang paling hakiki, lebih-lebih apabila berada dalam kesusahan,” jelas Diana.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM DIANA AMIR
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tiga Punca Doa Tidak Dimakbulkan Oleh Allah

“Sedihnya…dah lama aku berdoa tapi permintaan aku tak pernah dimakbulkan. Apalah dosa aku sampai doa-doa aku ditolak.” Seringkali keluhan ini bermain-main di benak andai hajat tidak kesampaian. Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60).
Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)
Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT.
Antara beberapa sebab mengapa doa ditolak dan tidak dimakbulkan:
1. BUKAN DENGAN SEPENUH HATI DAN TIDAK YAKIN
Apabila berdoa, kita hendaklah bersangka baik bahawa permintaan akan diterima. Ketahuilah bahawa apabila adanya perasaan was-was atau terbitnya perasaan tidak yakin yang Allah akan memakbulkan doa maka menyebabkan doa ditolak.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Hendaklah kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan yakin akan perkenan doanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t tidak memperkenankan doa orang-orang yang berhati lalai dan alpa.”
Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT.
Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.”
Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”

2. TIDAK MENUNAIKAN HAK DAN TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH
Bagaimanalah Allah nak makbulkan doa kalau solat pun masih tunggang-langgang. Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya. Oleh itu pastikan kita sebagai hambaNYA menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada Allah. Jaga ‘perilaku’ kita dengan Allah.
3. INGIN SEGERA DIMAKBULKAN DOA
Ibarat meminta sesuatu daripada orang lain, janganlah sampai memaksa. Ketahuilah bahawa seseorang yang memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT tidak boleh meminta atau berharap doanya dikabulkan dengan segera. Ia seolah-olah memaksa Allah mengikut kehendaknya. Cara yang demikian akan menjadikan seseorang itu cepat putus asa apabila doanya atau permintaannya tidak dikabulkan oleh Allah. Sesungguhnya mereka yang berputus asa akan terputus daripada rahmat Allah. Apabila tiada rahmat Allah maka ia akan menyebabkan doanya tiada dimakbulkan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan janganlah kau berputus asa daripada mengharap rahmat Allah s.w.t kerana sesungguhnya tiadalah yang putus asa dari rahmat Allah s.w.t kecuali orang-orang kafir”. (Surah Yusuf, 87)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
6 Jenis Perangai Dibenci Allah, Kita Masuk Kategori Mana?

Kadang kala kita mencari kesempurnaan tanpa sedar Allah membenci perbuatan kita itu. Kadang ada merasakan dirinya hebat, ketua yang bagus (pada pandangan diri kita saja) tapi tanpa sedar pekerja membenci kita dalam diam.
Ustaz Azhar Idrus berkongsikan enam jenis perangai dibenci Allah. Kalau Allah sudah benci (kerana perangai kita ini dan kita tidak mahu mengubah sikap itu) apalah nilai hidup kita di dunia ini? Ternyata hanya sia-sia.
صحيح ابن حبان
Kitab Hadith Sahih Ibnu Hibban
Yaitu terjemahan daripada sebahagian hadith dari kitab Sahih Ibnu Hibban dan saya tulis sedikit keterangan.
Ini 6 jenis perangai dibenci Allah
Berkata Imam Ibnu Hibban :
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata Rasulullah saw bersabda :
إِنَّ اللَّهَ يُبْغِضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ سَخَّابٍ بِالْأَسْوَاقِ جِيفَةٍ بِاللَّيْلِ حِمَارٍ بِالنَّهَارِ عَالِمٍ بِأَمْرِ الدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ الْآخِرَةِ
Artinya : “Sungguhnya Allah benci akan setiap orang yang kasar lagi sombong dan yang rakus mengumpul harta dan yang berteriak di pasar dan yang jadi bangkai di malam hari dan yang jadi keldai di siang hari dan yang tahu urusan dunia tapi jahil urusan akhirat.”
Hadith seumpama ini ada dikeluarkan juga olih Imam Ahmad dan Bukhari dan Muslim dan Abu Daud dan Tirmizi dan Ad-Darimi dan Al-Baihaqi dan lainnya.
KETERANGAN
Hadith ini datang pada menerangkan enam jenis manusia yang sangat dibenci olih Allah Taala.
Dan terdapat disana hadith-hadith yang semakna dengan hadith di atas yang diantaranya hadith yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah saw bersabda :
أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ وَأَهْلِ الْجَنَّةِ؟ أَمَّا أَهْلُ الْجَنَّةِ فَكُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَعِّفٍ أَشْعَثَ ذِي طِمْرَيْنِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ، وَأَمَّا أَهْلُ النَّارِ فَكُلُّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ جَمَّاعٍ مَنَّاعٍ ذِي تَبَعٍ
Artinya : “Adakah kamu sekelian mahu aku beritahu tentang ahli syurga dan ahli neraka? Ketahuilah ahli syurga itu kebanyakkannya kalangan mustadh’afin yang dipandang lemah yang jika dia bersumpah atas Allah nescaya dia akan tunaikannya. Dan adapun ahli neraka itu maka kebanyakkannya ialah orang-orang kasar perilakunya lagi sombong dan rakus mengumpul harta dan ramai penyokong.” (Hadith riwayat Imam Ahmad)
Dan pada riwayat Suraqah bin Malik r.a. Nabi saw bersabda :
أَمَّا أَهْلُ النَّارِ فَكُلُّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ
Artinya : “Adapun ahli neraka itu maka kebanyakkannya ialah orang yang kasar perilakunya dan orang yang rakus mengumpul harta dan orang yang sombong.” (Hadith riwayat Imam Ahmad)
جعظري
KERAS LAKU DAN ANGKUH
Berkata ulamak maknanya ialah :
جَعْظَرِي وهو الرجلُ الفظُّ الغليظ المستكبرُ
Artinya : “Makna Ja’zhori ialah lelaki yang yang kasar percakapan dan kelakuannya serta angkuh.”
Maksudnya seorang yang bila bemuamalat dengan manusia dia bercakap dengan kasar dan gerak gerinya kasar tidak tahu berbudi bahasa serta angkuh kepada orang yang berurusan dengannya.
Orang seperti ini tidak peduli dengan siapa dia bercakap dan berurusan samada orang tua atau orang alim atau saudara mara atau orang yang mempunyai kedudukan. Pendeknya dia tidak tahu membezakan dengan siapa dia bercakap dan berurusan sentiasalah dia dengan sikap kerasnya dan angkuhnya.
Dia bercakap dengan orang tua seperti dia bercakap dengan orang muda dan dia bercakap dengan ulamak seperti dia bercakap dengan orang jahil dan dia bercakap dengan sanak saudaranya sendiri seperti dia bercakap dengan kawan-kawannya tiada langsung dia tahu untuk berlemah lembut dan memulikan orang dan tidak ada dalam dirinya rasa segan silu kepada orang.
جوَّاظ
RAKUS MENGUMPUL HARTA
Berkata Ulamak :
الجوَّاظ فهو الجَموعُ المنوعُ
Artinya : “Makna Al-Jawwaz ialah orang yang mengumpulkan harta dengan cara yang dilarang.”
Maksudnya orang yang sangat rakus mengumpulkan harta dan lagi cara dia mengumpulkan harta itu bukan dengan tujuan yang benar.
Bermula mencari harta itu bukanlah perkara yang dilarang olih syarak akan tetapi hendaklah dengan tujuan dan cara yang benar.
Berkata Dr Ahmad Syarif An-Na’san :
وأمَّا المالُ الذي يجمعه المرءُ المسلمُ من حلالٍ بنيةِ أن يسْترَ به نفسَهُ وينتفعَ بهِ هو أو غيرُه أو ينفقَهُ على أولادِهِ وعلى أبويهِ وغيرِهما من أقاربِه بغيرِ نيةِ التَّوصُّلِ إلى الفخرِ والتكبرِ على الناسِ فإن ذلكَ المالَ ليسَ بمذمومٍ
Artinya : “Dan adapun harta yang mengumpulkannya olih seorang Islam dari sumber yang halal dengan tujuan untuk belanja keperluan diri dan mengambil menafaat dengan harta itu olihnya atau orang lain atau membelanjakan sebagai nafaqah anak-anaknya dan kedua ibu bapanya dan lain dari keduanya seperti kaum kerabatnya tidak dengan tujuan berbangga-bangga dan sombong atas manusia maka sungguhnya yang demikian itu bukanlah ia dicela pada syarak.”
Ulamak menyebut antara cara mencari harta dan tujuan yang tidak benar itu ialah bertujuan untuk melakukan perkara yang tidak elok atau kasih ia kepada harta atau bertujuan memuaskan nafsu dan syahwatnya atau kerana bermegah-megah pada manusia atau bakhil ia dengan hartanya itu.
Berkata Fuqahak :
الجوَّاظ فهو الجَموعُ المنوعُ أي الذي يَحرِصُ على جمعِ المالِ بنيَّةٍ فاسدةٍ، وهي أن يكون جمْعُهُ للمالِ حبًّا بالمالِ من حَيثُ ذاتُه ليتوصلَ لإشباعِ شهواتِه المحرَّمةِ وليفخَرَ بهِ على الناسِ ويبطُرَ به بطَرًا ويتكبرَ على عبادِ اللهِ ويبخلَ عن دفعِ المالِ في ما أمرَ اللهُ تعالى بالإنفاقِ فيه
Artinya : “Bermula makna Al-Jawwaz maka yaitu mengumpulkan harta yang ditegah syarak artinya orang yang tamak atas mengumpulkan harta dengan niat yang tidak elok dan bahawa mengumpulkan harta itu kerana dia sangat kasih kepada harta itu sendiri supaya memuaskan syahwatnya yang diharamkan dan bertujuan membanggakan diri atas segala manusia dengan merendahkan orang lain dan sombong atas hamba-hamba Allah dan bakhil pula dia dari membelanjakan harta pada barang yang disuruh olih Allah Taala dengan bersedekah padanya.”
Ketahuilah bermula mengumpulkan harta dari jalan yang halal supaya membelanjakannya pada perkara yang dihalalkan olih Allah Taala itu bukanlah ia suatu yang dicela kerana pada harta itu ada yang dicela olih syarak dan ada yang dipuji olih syarak.
Maka harta yang yang dicela syarak itu ialah harta yang dikumpulkan olih seseorang dengan jalan yang tidak halal dan orang seperti ini sebenarnya tiada baginya kisah langsung adakah harta yang didapatnya itu halal atau haram kerana yang menjadi kepentingan dalam dirinya ialah mendapatkan harta.
Bermula harta yang dipuji syarak itu ialah harta yang didapat dengan cara yang halal dan harta yang dicari dengan tujuan menunaikan kewajipan memberi nafaqah kepada kaum keluarga dan harta yang bertujuan disedekahkan dan dikongsikan dengan saudara mara dan orang ramai bukan untuk dikumpulkan semata sehingga disebut dia sebagai orang yang banyak harta.
Dan sememangnya mencari harta itu walaupun dibenarkan olih syarak tetapi ada padanya banyak kebinasaan yang antaranya ialah orang yang mencari harta itu sedikit sebanyak akan lalai dari akhiratnya.
Maksudnya sekalipun seorang itu mencari harta benda bukan dengan cara berlumba-lumba memperbanyakkan dan menimbunkannya dia sudah lalai dari akhiratnya apalah lagi dengan mereka yang tamak dan berlumba-lumba mencari dan memperbanyakkan harta.
Benarlah firman Allah Taala :
أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ . حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ
Artinya : “Telah melalaikan akan kamu sekelian olih urusan membanyakkan mencari harta benda sehingga masuk kamu sekelian ke dalam kubur.” (At-Takasur : 1 & 2)
Sesungguhnya barangsiapa yang mengambil harta dengan cara yang tidak sebenar pasti dia tidak akan puas dengan apa yang telah diperolehinya itu maka kerana itu kita lihat seorang itu sekalipun telah hampir kepada kuburnya dia masih rakus mencari dan mengumpulkan harta.
Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. daripada Nabi saw bersabda :
وَإِنَّ هَذَا الْمَالَ حُلْوَةٌ، مَنْ أَخَذَهُ بِحَقِّهِ وَوَضَعَهُ فِي حَقِّهِ فَنِعْمَ الْمَعُونَةُ هُوَ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِغَيْرِ حَقِّهِ، كَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلا يَشْبَعُ
Artinya : “Bermula harta ini sedap dilihat. Maka siapa yang mengambilnya dengan cara yang benar dan dibelanjakan dengan cara yang benar maka itulah nikmat terbaik baginya. Dan siapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak sebenar nescaya adalah dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang.” (Hadith riwayat Muslim)
Maka sayugianya kita semua memelihara diri dari termasuk dalam kalangan orang yang dibenci olih Allah dengan sebab harta benda.
Sebaiknya biarlah harta yang kita dapat itu ialah harta soleh yang disebutkan di dalam hadith-hadith Nabi saw.
Telah diriwayatkan daripada ‘Amr bin Al-‘Aas r.a. adalah Nabi saw telah bersabda baginya :
يَا عَمْرُو , نِعْمَ الْمَالُ الصَّالِحُ لِلْمَرْءِ الصَّالِحِ
Artinya : “Wahai Amr! Sebaik-baik harta yang soleh itu ialah untuk seorang yang soleh.” (Hadith riwayat Ahmad dan Bukhari dan Muslim dan lainnya)
سخّاب بالأسواق
BERTERIAK DI PASAR
Berkata Fuqahak maknanya :
يُكثرُ الصياحَ والكلامَ في سبيلِ جمعِ المالِ
Artinya : “Membanyakkan berteriak dan bercakap pada usaha mengumpulkan harta.”
Dan kata setengahnya maknanya ialah :
يكثر في لأسواق الصياح والصخب والحلف في البيع والشراء، والكذب إلا ما ندر، والغش في البيع والشراء
Artinya : “Membanyakkan pada tempat-tempat berniaga dengan berteriak dan bertempik dan juga bersumpah pada jual beli dan bercakap bohong melainkan sedikit (yang tidak seperti demikian). Dan menipu ketika melakukan perniagaan.”
Yang dimaksudkan dengan perkataan pasar-pasar itu ialah orang yang berniaga olih kerana terlalu rakus untuk mendapatkan keuntungan dia berteriak di pasar-pasar atau di tepi-tepi jalan sehingga keluarlah perkataan yang sangat banyak terkadang seperti orang hilang aqal.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. beliau berkata : Nabi saw bersabda :
مَنْ كَثُرَ كَلَامُهُ كَثُرَ سَقَطُهُ، وَمَنْ كَثُرَ سَقَطُهُ كَثُرَتْ ذُنُوبُهُ، وَمَنْ كَثُرَتْ ذُنُوبُهُ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ، فَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Artinya : “Barangsiapa banyak perkataannya maka banyaklah salahnya dan barangsiapa banyak salahnya nescaya banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya nescaya adalah neraka itu layak dengannya. Maka barangsiapa yang beriman ia dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau dia diam sahaja.” (Hadith riwayat At-Tabarani)
Antara perkataan yang menjerumuskan orang berniaga kepada dosa dan azab neraka ialah berdusta dan sengelat dan sumpah dusta dan seumpamanya.
Pada zaman kita sekarang banyak terjadi apa yang telah disabdakan olih Nabi saw ini yaitu ramai yan berniaga di dalam media sosial dalam keadaan yang dijelaskan di dalam hadith yaitu bertempik dan berteriak dan setengahnya sampai berkata yang dusta dan masuk pada perkataan yang aib dan lucah demi meyakinkan orang yang mendengar supaya berminat dengan barangan jualannya.
Dan tidak kurang yang melanggar peraturan berpakaian ketika berniaga seperti mendedahkan aurat dan berpakaian ketat dan seksi yang menjolok mata dan pakaian-pakaian yang diharamkan syarak orang Islam memakainya.
جيفة بالليل
BANGKAI DI MALAM HARI
Berkata setengah ulamak maknanya ialah :
كناية عن كثرة نومه وخموله وعدم قيامه لصلاة الليل
Artinya : “Satu sindiran dari banyak tidurnya dan banyak malasnya dan tiada bangun ia bagi solat malam.”
Dan kata setengah ulamak pula maknanya ialah :
يستغرقُ ليلَهُ بالنومِ ولا يهتمُ بأن يكسبَ في ليلهِ من الصَّلواتِ ويتزودَ من الطاعاتِ
Artinya : “Menghabiskan waktu malamnya dengan tidur sahaja dan tidak mementingkan usaha melakukan amal pada waktu malam seperti solat dan mencari bekal amal taat.”

Dan kata setengah ulamak pula :
إذا جاء الليل استلقى على فراشه وبقي كالجيفة إلى الصباح.
Artinya : “Orang-orang yang apabila tiba waktu malam hanyalah dia tahu berbaring di atas tempat tidurnya dan begitulah kekal ia seperti bangkai sampai waktu pagi.”
Tidak beribadah pada waktu malam dan hanya tidur dan berehat itu samalah seperti binatang dan tetapi pada hadith ini Nabi saw lebih keras memberi amaran sehingga Nabi saw menyerupakan orang-orang yang berperangai seperti ini sama seperti bangkai yaitu haiwan yang telah mati lagi busuk baunya.
حمار بالنهار
KELDAI DI SIANG HARI
Berkata setengah ulamak makna kaldai di siang hari ialah :
أن همَّهُ التفننُ بالأكلِ والإكثارُ من الملذاتِ وينشغلُ بذلكَ عنِ القيامِ بما افترضَهُ اللهُ تعالى عليه
Artinya : “Bahawasanya cita-citanya hanyalah mempelbagaikan makan minum dan membanyakkan kelazatan dan hanya sibuk dengan perkara tersebut hingga tidak ada masa dalam hidupnya untuk mendirikan segala perintah yang telah difardukan olih Allah Taala ke atasnya.”
Dan kata setengah ulamak :
ومعنى حمار بالنهار: أنه بليد في فهمه، منهمك في عمله الدنيوي لا يلتفت إلى سواه من الطاعة والعبادة
Artinya : “Bermula makna keldai di siang hari itu ialah seorang yang sangat bodoh atau dungu otaknya hanya asyik dengan pekerjaan mencari dunia di siang hari tiada pedulikan kepada perkara-perkara taat dan ibadah.”
عالم بالدنيا جاهل بالاخرة
TAHU TENTANG DUNIA JAHIL TENTANG AKHIRAT
Di dalam Al-Quran sudah memberitahu bahawa kebanyakkan manusia itu adalah jahil. Majoriti manusia itu hanya pandai dalam ilmu bagi kehidupan di dunia akan tetapi tentang akhirat mereka adalah orang yang jahil.
Firman Allah Taala :
لَا يُخْلِفُ اللّٰهُ وَعْدَهٗ وَلٰكِنَّ اَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُوْنَ
يَعْلَمُوْنَ ظَاهِرًا مِّنَ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَاۖ وَهُمْ عَنِ الْاٰخِرَةِ هُمْ غٰفِلُوْنَ
Artinya : “Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya akan tetapi kebanyakkan manusia itu jahil tidak mengetahui. Mereka hanya tahu tentang zahir hidup di dunia sedangkan tentang akhirat mereka adalah orang-orang yang lalai tidak tahu apa-apa.” (Ar-Rum : 6 & 7)
Ketahui olihmu bahawa seburuk-buruk orang itu ialah yang hanya pandai dalam soal mencari duit dan harta tetapi sangat jahil lagi bodoh tentang hal-hal berkait akhirat.
Berkata Ulamak :
من ءاتاهُ اللهُ عزَّ وجلَّ المالَ وكان عارفًا بطرقِ جمعِ المالِ وهو جاهلٌ بأمورِ الدّينِ أي بما افترضَ اللهُ تعالى عليه معرفَتَهُ من علمِ الدينِ فهو من شرِّ خلقِ اللهِ
Artinya : “Barangsiapa yang diberikannya olih Allah akan harta benda dan dia pandai dalam urusan mendapatkan harta sedang dia jahil dengan urusan agama yakni dia jahil akan perkara yang difardukan olih Allah Taala ke atasnya maka dia adalah seburuk-buruk manusia.”
Dan kata ulamak yang lain :
هو عالم بأمور دنياه ولكنه جاهل بأمر دينه لا يهتم به ولا يسأل عنه
Artinya : “Maknanya ialah orang yang hanya tahu dengan urusan-urusan dunia akan tetapi dia jahil dengan urusan agama dan tidak ambil berat dengannya dan tidak pula bertanyakan daripadanya.”
Maksudnya orang yang hanya mementingkan ilmu tentang dunia sahaja kerana disitu ada kepentingan mencari harta dan kesenangan makan minum dan berumah tangga dan mendapatkan kenderaan serta tempat tinggal sedangkan mereka ini adalah orang yang jahil lagi bodoh tidak tahu apa suatu tentang ilmu agama.
Kesimpulannya hadith ini datang bagi memberi amaran ke atas orang-orang beriman dan berjaga-jaga supaya menjauhkan sejauh mungkin dari sekelian perangai yang sangat dicela ini dan bersungguh menghiaskan dirinya dengan lawan baginya daripada akhlak-akhlak yang mulia.
wallahua’lam. Ustaz azhar idrus (gambar sekadar hiasan: Sumber internet)

WEBINAR JODOH : SUAMI KIRIMAN ILAHI
Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku”
Jelas dan yakin dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
Akan dijauhi heartbreak dan lelaki yang tak serius
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-jodoh-suami-kiriman-ilahi/
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI