Ulang Dosa Yang Sama Selepas Bertaubat, Adakah Taubat Sebelum Itu Diterima?

Share

Bertaubat selepas melakukan dosa adalah amalan sangat mulia. Sesungguhnya pintu taubat memang sentiasa terbuka luas.

Namun begitu, ramai juga di kalangan kita yang dah bertaubat tapi mengulangi dosa serupa. Seolah-olah mempersendakan taubat itu sendiri. 

Dalam hal ini, jika masih mengulagi dosa yang sama adakah taubat sebelum itu diterima? Persoalan ini dijawab oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Jika diperdaya syaitan selepas taubat nasuha

Siapa yang telah melakukan satu dosa kemudian dia telah bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya itu jika taubatnya itu nasuha ertinya yang ikhlas kerana Allah.

Terbit dari hatinya dan ada serta taubatnya itu rasa penyesalan atas apa yang telah lalu dan berazam ia bersungguh-sungguh tidak akan kembali kepada maksiat.

Firman Allah Taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu semua kepada Allah dengan taubat nasuha s

emoga Tuhan kamu menghapuskan daripada kamu sekalian segala kesalahan kamu dan memasukkan kamu sekalian ke dalam taman-taman syurga yang berlari di bawahnya mata air.” (At-Tahrim : 8)

Dan firman Allah : وَإِنِّى لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ
Ertinya: “Dan sesungguhnya Aku maha Pengampun bagi orang yang bertaubat dan beriman dan melakukan amal yang soleh kemudian mengikut petunjuk.” (Taha : 82)

Ada pun taubat hanya dengan lisan sedangkan hati masih ingin kembali kepada maksiat maka taubat ini ditolak bahkan ia dikira sebagai satu maksiat pula.

Maka jika telah benarlah taubat yang nasuha kemudian syaitan memperdayakannya sehingga dia terjatuh melakukan maksiat lagi dalam keadaan tidak ada dia berniat untuk melakukan maksiat dan tidak berazam melakukannya kemudian dia bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya. Wallahua’lam

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Published by
Team Kashoorga