Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Imam Muslim).
Kita kini berada di bulan Syawal. Ramai meraikan hari kegembiraan ini dengan aktiviti kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga. Tak lupa juga ada yang sudah memulakan puasa sunat syawal selama enam hari yang mana ganjarannya adalah seperti berpuasa selama setahun.
Satu perkongsian dari Cikgu Zahran walau nampak simple tapi adalah baik kalau kita mampu mendidik anak-anak untuk berpuasa di bulan syawal ini kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Bila anak dari kecil dididik dengan perkara kebaikan begini, dirinya akan tumbuh besar menjadi anak yang soleh.
Berikut adalah perkongsiannya:-
Aku lihat seorang murid duduk sendirian sedangkan murid lain makan di kantin.
Aku hampirinya dan bertanya. Takut dia tak ada duit nak makan ke.
“Saya puasa cikgu”,ujar murid ini menjawab pertanyaanku.
“Cikgu puasa tak”, dia tanya balik.
Tak.
“Cikgu tahu tak, puasa 6 seumpama puasa setahun?”,tanya dia lagi.
Aku dah kelu tak tau nak jawab. Rasa macam kena penampar pun ada.
“Ok, cikgu gerak dulu. Cikgu ada kelas ni”,aku potong tang koner sambil menonong tanpa menoleh lagi.
Nak menyorok tapi tak ada tempat yang sesuai. Kadang kadang bukan kita saja mengajar. Budak budak juga boleh mengajar kita yang tua.
Ini kelebihan puasa enam
1 – Berpuasa selama setahun
Sepertimana Hadis yang dinyatakan di awal tadi, dengan berpuasa enam menjadikan kesemua puasa Ramadan dan juga enam hari pada bulan Syawal menyamai puasa selama setahun;
Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Imam Muslim)
Bahkan hal ini juga telah dihuraikan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim yang telah dinyatakan tadi. Ganjaran berpuasa setahun adalah ganjaran yang luar biasa, apatah lagi dari sudut kemampuan umat akhir zaman.
2 – Pelengkap amalan fardhu
Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang, sepertimana Hadis Qudsi:
إنَّ أوَّلَ ما يحاسبُ النَّاسُ بِه يومَ القيامةِ من أعمالِهمُ الصَّلاة قالَ يقولُ ربُّنا جلَّ وعزَّ لملائِكتِه وَهوَ أعلمُ انظروا في صلاةِ عبدي أتمَّها أم نقصَها فإن كانت تامَّةً كتبت لَه تامَّةً وإن كانَ انتقصَ منها شيئًا قالَ انظُروا هل لعبدي من تطوُّعٍ فإن كانَ لَه تطوُّعٌ قالَ أتمُّوا لعبدي فريضتَه من تطوُّعِه ثمَّ تؤخذُ الأعمالُ علَى ذاكُم
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda S.A.W bersabda, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, FirmanNya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, FirmanNya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardhunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.” (Riwayat al Hakim)
3 – Menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T
Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T berfirman;
وما تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبدي بِشيءٍ أحبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عليهِ، وما زالَ عَبدي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حتى أُحِبَّهُ، فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يسمعُ بهِ، و بَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ بهِ، و يَدَهُ التي يَبْطِشُ بِها، و رِجْلَهُ التي يَمْشِي بِها، و إنْ سألَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Riwayat al Bukhari)
4 – Diganjari syurga
Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana Firman-Nya;
وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).” (az Zumar: 73)
5 – Masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan
Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan seperti mana Hadis Nabi S.A.W;
مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ، ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.
“Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.” (Muttafaqun Alaih). Sumber : Harakah Daily