Pelbagai gelagat manusia dapat dilihat hari ini. Semua perkara hendak dikongsikan di media sosial tanpa menyedari hal itu banyak berkaitan dengan halal haram.
Terkini, unboxing isteri mula menjadi trend di kalangan pasangan pengantin baru untuk membuka pin tudung isteri satu persatu dan ia mula menjadi ikutan di media sosial.
Terpanggil dengan isu ini, Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi yang juga seorang pendakwah
memberi penjelasan bahawa upacara sebegini bercanggah dengan prinsip Islam secara asasnya. Baca penerangannya dan apa yang paling ditakuti ialah jika kita menjadi pencetus perkara mungkar dan ia menjadi ikutan. Sabda Nabi Muhammad, setiap dosa pengikut-pengikut ini akan ditanggung oleh pencetusnya hingga ke hari akhirat. Nauzubillah.
Suami Jangan “Unboxing” Isteri
1. Telah menjadi trend terkini pula di TikTok, pasangan pengantin baru menjalankan upacara “unboxing isteri”. Akhbar Kosmo melaporkan: “Video yang dimuat naik itu memaparkan pengantin lelaki akan membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu.”
Link berita: https://www.kosmo.com.my/…/netizen-kecam-trend…/
2. Upacara ini adalah bercanggah dengan prinsip Islam secara asasnya. Rasulullah memerintahkan para suami agar memelihara kehormatan dan penampilan para isteri sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta.
3. Perhatikan bagaimana Rasulullah memerintahkan isteri Baginda agar memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda. Kata Rasulullah:-
احْتَجِبَا مِنْهُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَلَيْسَ هُوَ أَعْمَى لاَ يُبْصِرُنَا وَلاَ يَعْرِفُنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ: أَفَعَمْيَاوَانِ أَنْتُمَا أَلَسْتُمَا تُبْصِرَانِهِ
“Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi)
4. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video upacara sebegini menjadi perhatian kepada anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.
5. Atau perbuatan tersebut diikuti pula oleh pasangan suami isteri lain yang turut mendedahkan aksi mesra mereka. Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran. Sabda Rasulullah:
وَمَن سَنَّ في الإسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كانَ عليه وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَن عَمِلَ بهَا مِن بَعْدِهِ
“Dan barang siapa yang melakukan perlakuan jahat di dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (HR Muslim).
7. Malah, istilah "unboxing" ini juga tidak layak untuk digunakan pada isteri yang bukan material atau barangan semata-mata. Nasihat ini hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah demi kebaikan sesama muslim.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi