Kita semua pastinya mendambakan pengakhiran yang baik bagi kehidupan dunia ini. Oleh yang demikian, para ulamak silam telah menyenaraikan beberapa tanda yang thabit daripada syara‘ bahawa ia sebahagian dari husnul khatimah.

Antara tanda tersebut apabila seseorang itu dapat mengucapkan kalimah tauhid sebelum meninggal dunia. Dalam pada itu ketika mendampingi seseorang yang nazak  kita juga disaran untuk mengajar mereka kalimah syahadah.

Berkaitan perihal ini seorang netizen mengajukan persoalan tentang lafaz ungkapan yang boleh diajar kepada seseorang sedang nazak adakah dua kalimah syahadah atau kalimah tauhid?

Menurut penjelasan Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri, thabit daripada syara‘, bahawa seseorang yang sedang nazak hendaklah diajarkan kepadanya ucapan kalimah Tauhid, iaitu (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ).

Ini jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Ads

Maksudnya: “Ajarkan orang-orang yang mati (sedang nazak) di kalangan kamu kalimah La Ilaha illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah).” Riwayat Muslim (917)

Dalam riwayat lain daripada Mu‘az bin Jabal R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Siapa yang kalam terakhirnya adalah ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, maka dia akan masuk Syurga.”

Ads

Terdapat juga riwayat yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan 2 kalimah syahadah kepada orang yang sedang nazak. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik R.A, beliau menceritakan bahawa  Baginda SAW mempunyai seorang budak lelaki Yahudi sebagai khadam.

Rasulullah SAW melawatnya ketika dia jatuh sakit (nazak) dan duduk berhampiran kepalanya, seraya bersabda:

أَسْلِمْ‏‏،‏ فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهْوَ عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ ﷺ‏.‏ فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ ﷺ وَهْوَ يَقُولُ:‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Ads

Maksudnya: “‘Peluklah Islam’, lalu budak itu melihat ke arah bapanya yang berada di sampingnya, maka bapanya berkata: ‘Taatilah Abu al-Qasim SAW’, lalu dia pun memeluk Islam. Nabi SAW pun keluar dan mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada Neraka’.”

Apabila meneliti dalil dan nas di atas, kami katakan bahawa kedua-dua ucapan di bawah ini sememangnya thabit dalam nas-nas syarak sebagai ucapan terakhir ketika sedang nazak:

  • 2 kalimah syahadah (أَشْهَدُ أَنَّ لاَ إِلٰهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ), bagi mereka yang baru memeluk Islam ketika sedang nazak.
  •  dan juga kalimah tauhid (لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ), lebih aula bagi mereka yang telah lama memeluk Islam sebagai bukti dia mentauhidkan Allah SWT semata-mata selama hidupnya.

Dalam pada itu, tidak menjadi masalah sekiranya orang yang telah sekian lama memeluk Islam untuk mengucapkan 2 kalimah syahadah. Perbincangan ini tidak lain hanya menyebutkan tentang afdhaliyyah atau keutamaan salah satu dari kedua ucapan ini sahaja.

Sumber: Maktabah Al Bakri

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI