Fokus utama sesebuah perkahwinan adalah untuk menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan juga wanita. Perkahwinan adalah ikatan gabungan kerjasama antara suami dan isteri. Banyak kelebihan mereka yang berkahwin berbanding mereka yang masih bujang.
Berikut enam kelebihan individu yang berkahwin:
MENYEMPURNAKAN AGAMA
Saat si pengantin lelaki berjabat erat tangan imam atau wali kepada si pengantin perempuan dengan bersaksikan sekalian saksi, saat dia melafazkan ijab dan kabul saat itu jugalah sebahagian daripada agamanya telah sempurna.
SUNNAH NABI-NABI TERDAHULU
Abu Ayyub berkata Rasulullah SAW bersabda: “Empat perkara daripada perlakuan sunnah Rasul ialah bersifat malu, sentiasa berwangi-wangian, bersugi dan bernikah.”
JAUHI LARANGAN AGAMA
Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita berkahwin bukan hanya untuk membendung diri daripada melakukan maksiat, namun supaya hidup kita berteman sebagaimana hadis yang disabdakan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud Baginda SAW melarang umatnya bujang.
Cuba bayangkan, betapa sunyinya hidup ini apabila berada berseorangan, makan seorang, tidur tiada berteman. Carilah jodoh itu. Insya-ALLAH akan ALLAH SWT hadirkan. Yang utama, jangan putus berdoa.
JADI UMMAT KEBANGGAAN NABI MUHAMMAD SAW
Apabila kita berkahwin pastilah akan ada cahaya mata bukan. Bukankah itu akan menambahkan dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Dan berkahwinlah, kerana aku akan berbangga dengan kamu sebagai umat yang ramai bilangannya. Dan barangsiapa berkeupayaan hendaklah dia bernikah dan barangsiapa yang tidak berkeupayaan hendaklah dia berpuasa kerana berpuasa itu dapat mencegahnya daripada melakukan maksiat.”
TERLAKSANANYA SUNNAH NABI MUHAMMAD SAW
Perkahwinan itu adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Aisyah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Nikah itu adalah daripada sunnah yakni perlakuanku. Maka barangsiapa tidak beramal dengan sunnahku dia bukanlah daripadaku.”
ELAK MAKSIAT
Akad nikah itu adalah suatu ijab dan kabul yang menghalalkan ‘perhubungan’ lelaki dan wanita. Ramai yang mengatakan, apabila berdua berasa seperti mahu melakukan sesuatu yang intim, Maksudnya ada syaitan yang ketiga. Jadi bernikahlah, dengan bernikah di mana sahaja, bila-bila masa anda boleh menyentuh pasangan anda.
Itulah sedikit sebanyak hikmah sesebuah ikatan perkahwinan. Teladanilah ia dengan sebaik mungkin. Jom tambahkan umat Nabi Muhammad SAW.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI