Terus Istiqamah Beribadah Selepas Ramadan, Ustazah Asma’ Saran Buat 5 Perkara Ini

Share

Terus istiqamah beribadah selepas Ramadan, demikian pesan Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian beliau. Jika sebelum ini, sepanjang bulan puasa lalu kita fokus beribadah apa salahnya kita teruskan.

Jangan hanya jadikan satu bulan saja untuk mengejar pahala, sebaliknya masih ada bulan-bulan lain untuk kita beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Dalam pada itu beliau turut memberikan tip agar kita kekal istiqamah beribadah selepas Ramadan. 

Buat 5 perkara ini agar terus istiqomah beribadah selepas Ramadan

1. BACA AL-QURAN SETIAP HARI

Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

Maksudnya: “Tidaklah sekumpulan orang berkumpul di rumah Allah untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.


[HR Muslim, hadis sahih]

Alhamdulillah, seronok bila tiba bulan Ramadhan kita bersungguh dalam membaca Al-Quran dan perbaiki bacaan. Maka teruskan semangat itu walau bulan Ramadhan sudah berlalu.

2. SEMPURNAKAN PUASA ENAM SYAWAL

Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diteruskan dengan enam hari (berpuasa) di bulan Syawal, ibarat dia berpuasa sepanjang tahun.”
[HR Muslim, hadis sahih]

SubhanAllah, amat rugi bagi siapa yang tak rebut ganjaran berpuasa sepanjang tahun ini, kerana kita telah rasai cabaran berpuasa selama 30 hari berturut-turut, maka jangan sia-siakan kemudahan yang Allah SWT sediakan kepada kita di bulan Syawal ini.

3. JANGAN TINGGALKAN SOLAT SUNAT RAWATIB

Daripada Ummu Habibah R.’Anha, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya: “Siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.
Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.”
[HR Tirmizi, hadis sahih]

Solat sunat ini mungkin terasa berat pada awalnya, tetapi bila sudah biasakan diri melakukannya dengan istiqamah, insyaAllah solat sunat rawatib ini akan terasa ringan.

4. LAKUKAN KEBAIKAN WALAU SEDIKIT, TETAPI BERTERUSAN

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan walaupun sedikit.”
[HR Muslim, hadis sahih]

Jika di bulan Ramadhan yang lalu kita kerap bersedekah, memberi makan kepada orang ramai, membuat amal kebajikan, maka teruskan juga usaha tersebut pada bulan-bulan berikutnya.

Tak perlu amalan yang berat atau di luar kemampuan, memadai yang sedikit tapi boleh dilakukan secara berterusan.

5. BERDOA SEMOGA ALLAH BERI KEKUATAN UNTUK ISTIQAMAH

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya:
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
(Surah Ali-Imran: 3)

Kemampuan kita untuk melaksanakan amal ibadah dengan tubuh badan kita adalah kerana dengan izin Allah SWT. Sekiranya Dia tidak mengizinkan, nescaya ibadah yang mudah pun kita tak akan mampu lakukan.

Oleh itu, banyakkan memohon kepada Allah agar diberi hidayah dan taufiq untuk melakukan amal-amal soleh.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun & Tim Penyelidikan

Baca Lagi: Lima Kelebihan Mereka Yang Melakukan Puasa Enam

 

Published by
Team Kashoorga