Siapa yang tidak mengenali wanita kecil molek ini. Auranya bukan sahaja kerana kecantikan rupa paras anugerah Allah yang dimiliki, tetapi juga kegigihan bergelar seorang usahawan.
Vivy Yusof yang juga dikenaki sebagai Personaliti Media Sosial, sangat popular dengan jenama fesyen online yang terkenal hingga di mata dunia, FashionValet.
Bukan itu saja, beliau juga menjadi tulang belakang kepada kumpulan Duck Group yang cukup viral mengeluarkan jenama hijab digemari ramai dUCk Scarf.
Bergelar seorang usahawan pastinya Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof tidak terkecuali menerima tempias dugaan dan rintangan dalam dunia perniagaan.
Dan pastinya untuk menjaga keselamata diri, Vivy Yusof turut mengamalkan ayat-ayat suci a-Quran sebagai pelindung diri.
Menurut Vivy, setiap malam sebelum tidur beliau akan mengamalkan bacaan Surah 3 Qul dan Ayat Kursi bagi mengelakkan diri dari sebagai gangguan atau ancaman bahaya.
“Biasanya dalam dunia perniagaan mesti ada banyak cabaran yang ups and down, jadi dari segi doa-doa yang Vivy amalkan, tiada yang luar biasa. Vivy lebih suka amalkan bacaan Surah 3 Qul dan Ayat Kursi sebelum masuk tidur.
“Ini sebab dalam dunia bisnes ini bagi Vivy, kita kerja macam mana pun Allah yang tentukan.
Memang kita akan berhadapan dengan banyak sikap dengki, cabaran dan kita kena lindungi diri kita dari segala ancaman ini.
“Vivy tak percaya sangat untuk baca untuk ekstra-ekstra ayat semua, Vivy lebih percaya kepada kitab Al-Quran terutama kelebihan Surah 3 Qul dan Ayat Kursi tadi. Insya-Allah,” ujarnya ketika ditemui ketika pelancaran hijab terbaru dUCk X Barbie di butik dUCk di One Utama baru-baru ini.
Vivy yang dilihat menangis sewaktu majlis pelancaran memberitahu beliau tidak menyangka dirinya menjadi sebegitu emosi sewaktu melihat dUCK mampu berkolaborasi dengan salah satu jenama terkemuka dunia, Barbie.
“Ini merupakan antara kejayaan terbesar bagi dUCK sebab Barbie itu sendiri sangat besar dan kukuh. Kita membesar dengan mainan Barbie jadi saya sangat bangga bukan sahaja pada dUCK, malah pada semua wanita berhijab di luar sana.
“Melihat Barbie mengiktiraf wanita beragama Islam yang bertudung, itu sudah menjadi satu faktor eksklusiviti yang buatkan saya cukup menghargai dan bangga,” katanya yang sering dilihat menjadi inspirasi buat wanita di luar sana.
Koleksi dUCK x Barbie yang terdiri daripada tudung selendang dan empat segi, beg tangan, kosmetik serta twilly. Koleksi tudung yang diberi nama Groundbreaker, Trendsetter, Creator, Explorer, Dreamer dan Believer boleh didapati pada harga RM300.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM VIVY YUSOF