Pendakwah terkenal yang banyak menyatukan ummah, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37 atau lebih dikenali Ebit Lew dihadapkan ke mahkamah di Tenom pagi ini dipercayai membabitkan 11 pertuduhan termasuk berkaitan gangguan seksual.
Kes ini pernah diperkatakan tahun lalu dan ianya mendapat perhatian dari masyarakat yang mana Ustaz Ebit percaya ia fitnah paling kejam dikenakan terhadapnya.
Memetik berita RTM, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan perkara itu kepada RTM.
“Ya, dia (Ebit) akan dituduh pagi ini di Mahkamah Tenom,” katanya.
Menurutnya, sidang media akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom selepas sahaja pertuduhan dilakukan.
Sebelum ini media melaporkan Ebit Lew disiasat pihak polis berkaitan kes gangguan seksual.
Polis membuka kertas siasatan terhadap Ebit Lew susulan menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa dia melakukan gangguan seksual.
Susulan itu, polis bertindak membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
DI KEMAS KINI
TIDAK MENGAKU BERSALAH
Pendakwah terkenal Ebit Lew mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Litar Tenom, di sini, pada Jumaat.
Ebit, 38, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas dibacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Tertuduh didakwa atas kesalahan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang perempuan melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Nur Asyraf kemudian menetapkan 20 April hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen manakala tarikh perbicaran secara tentatif ditetapkan pada Jun depan.
Sebelum itu, Ebit yang kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom pada jam 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu lain.
Polis turut mengawal perkarangan Pejabat Daerah Tenom sepanjang prosiding dijalankan.