Apabila mendengar tentang penyakit kanser, ramai yang beranggapan ia satu mimpi buruk. Namun bagi penceramah Mohamed Hanafiah Abdul Malek, beliau sangat positif dalam melawan penyakit tersebut.
Disahkan menghidap kanser tahap empat dan telah menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel kanser yang beratnya mencecah satu kilogram, beliau terpaksa menjual motosikal kesayangannya, Kawasaki GTR1400 untuk membiayai kos rawatan dan kemoterapi sebanyak tiga kali.
Tidak dapat dinafikan, rawatan kemoterapi memberikan kesan yang sangat kuat. Badan menjadi sangat lemah. Maka sebab itulah diet pesakit kanser perlu dijaga. Makanan boleh menjadi penawar dan juga racun buat pesakit kanser. Meskipun punca sebenar penyakit kanser masih belum dikenal pasti, karsinogen iaitu agen yang boleh mencetus pertumbuhan sel kanser dalam tisu hidup sudah diketahui.
LETAK GULA ATAS LIDAH
Dalam satu perkongsian di laman Facebooknya, Ustaz Hanafiah berkongsi tentang pengambilan lemon buat pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi. Ustaz Hanafiah menasihatkan agar pesakit kanser tidak mengambil lemon pada hari rawatan kemoterapi. Lemon hanya boleh mula diambil keesokan harinya.
Mengapa pesakit tidak boleh mengambil lemon pada hari rawatan kemoterapi diambil? Jawapannya kerana ia boleh menyebabkan gastrik. Selalunya pesakit kanser yang dalam proses kemoterapi akan hilang selera makan. Lidah akan terasa pahit. Apa yang boleh dilakukan ialah ambil sedikit gula, letak di atas lidah. Kemudian minum air dingin dari dalam peti sejuk. Dengan cara ini, rasa pahit dilidah dan tekak tidak akan terasa.
Selepas rawatan kemoterapi, pesakit mesti makan. Memang selepas rawatan kemoterapi kita akan hilang selera makan. Apa yang saya lalukan ialah saya tonton rancangan masakan supaya air liur saya keluar. Tidak dapat dinafikan rasa panas akibat rawatan kemoterapi ini ‘lain macam’ tapi kita kena makan. Kalau boleh makan bubur dan makanan yang mudah untuk ditelan.
MINUM JUS DURIAN BELANDA
Ramai juga doktor yang mencadangkan saya untuk minum jus. Isteri saya menyediakan jus durian belanda untuk saya minum. Jangan campur gula dalam jus durian belanda yang telah dikisar itu. Yang penting mesti makan. Kurangkan manis. Kita letak gula atas lidah itu sebab itu teknik untuk kita mengeluarkan air liur dan ia boleh merangsang untuk kita minum air.
Apabila tekak dan lidah rasa pahit, minum air kosong pun akan rasa pahit. Maka sebab itulah apa yang saya lakukan ialah saya minum air dingin. Ia bagi menggalakkan saya minum air dengan secukupnya. Lepas minum air dingin, pesakit kanser yang lepas jalani rawatan kemoterapi mesti makan. Kebanyakan pesakit kanser tak boleh survive sebab mereka tak makan.
LEMON JANGAN LEBIH DARI SEBIJI
Rawatan kemoterapi akan membunuh sel kanser termasuk sel yang baik. Nasihat saya minum air putih yang sejuk. Sebelum sarapan, minum air sejuk dengan dua hiris lemon. Dalam satu hari tidak kiralah sama ada anda pesakit kanser atau tidak, jika ambil lemon, jangan lebih daripada satu biji sehari. Pengambilan lemon yang berlebihan bukan sahaja akan menyebabkan gastrik tetapi juga akan mempercepatkan rasa lapar.
Seeloknya, ambil dua hirisan lemon yang dicampur dengan air dingin pada waktu pagi, dua hirisan lagi untuk makan tengahari dan dua hirisan lemon lagi untuk makan malam. Tapi untuk pengambilan pada waktu pagi, ambil sebelum sarapan.
Jika kita makan makanan yang dipanggang, bahagian yang terbakar (warna hitam) jangan dimakan kerana ia boleh mengaktifkan sel kanser. Paling penting ketika pesakit dalam rawatan kemoterapi, mesti makan dan minum. Jika tidak badan kita akan turun dengan mendadak. Selain itu, pesakit kanser juga boleh amalkan minum susu yang disarankan oleh doktor. Susu ini membantu untuk mencukupkan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh. Susu ini minum satu hari satu cawan pun dah cukup.
JAGA-JAGA RISIKO JANGKITAN KUMAN
Selain itu, ketika dalam tempoh proses kemoterapi, mesti ambil suplemen. Jika tidak, lidah akan rasa pahit. Bila lidah rasa pahit, kita tak lalu nak makan, nanti akan jadi ulser pada mulut. Bibir akan pecah (merekah). keadaan inilah yang akan menyebabkan pesakit akan maut dalam tempoh kemoterapi.
Di samping itu, pesakit kanser juga kena berjaga-jaga dengan risiko jangkitan kuman. Meninggalnya seorang pesakit kanser bukan disebabkan lemahnya tubuh pesakit kanser itu sendiri tetapi disebabkan jangkitan kuman.
Nasihat saya pakai topeng muka, jangan masuk di tempat berhawa dingin yang berkarpet. Bimbang ada orang sakit di dalamnya. Bila ada orang batuk dan selesema, apabila individu ini batuk, ia akan mudah masuk ke dalam saluran paru-paru pesakit kanser.
Jangan melancong di tempat-tempat yang ada jangkitan. Elak makanan yang dibakar seperti sate. Jika makan sate, makan bawang merah (besar) banyak sikit. Ia bertujuan menghakis toksik yang kita ambil daripada sate yang kita makan.
Selepas usaha-usaha ini dilakukan, yang paling penting ialah doa. Doa ini penting sama ada pesakit kanser mahupun bukan pesakit kanser. Wallahu a’lam.
Sumber kredit: Ustaz Hanafi