Ustaz Kongsi Kisah Seram Terkena Badi Mayat, Jenazah Ikut Balik Ke Rumah & Dilihat Terbaring Di Ruang Tamu

Share

Tiada apa yang mustahil di dunia ini  jika Allah mengkehendaki-Nya. Malah dalam setiap kejadian ia boleh menjadi iktibar kepada orang lain.

Di aplikasi Tok Tok, seorang Ustaz @hazuansukur2 berkongsi banyak pengalaman dirinya ketika menguruskan jenazah-jenazah yang boleh dijadikan iktibar buat orang ramai. Berdasarkan pengalamannya, Ustaz Hazuan banyak menguruskan jenazah mangsa Covid-19, sakit tua hatta mereka yang memilih hidup singkat iaitu bunuh diri di hospital tempatnya bertugas.

Terbaru di Tik Toknya, Ustaz Hazuan berkongsi satu pengalaman seram dialaminya iaitu diekori badi mayat. Badi bermaksud bayangan. Dalam sesetengah kes diekori badi mayat, biasanya individu yang diganggu adalah mereka yang melihat mayat di jalan raya akibat kemalangan jalan raya, mengiringi dan memandikan jenazah, memangku mayat orang yang membunuh diri dan lain-lain yang berkait dengan mayat manusia.

Kata Ustaz Hazuan, kisah ini terjadi apabila satu hari dirinya diamanahkan untuk menguruskan satu jenazah individu bunuh diri. Kata Ustaz Hazuan, sepanjang memandikan jenazah itu termasuk proses kapan, tiada apa yang ganjil dan ia berlangsung dengan baik.

Namun tiba saat solat jenazah, Ustaz Hazuan memaklumkan timbul satu perasaan tidak sedap di hatinya.

“Saya mula rasa seram sejuk saat itu. Tapi disebabkan ketika itu sudah hampir masuk waktu Maghrib, jadi saya pun selesaikan solat jenazahnya dan kemudian saya solat Maghrib. Dan selepas selesai semuanya, saya balik ke rumah.

“Di rumah tiada siapa dan saya duduk dengan ayah sahaja. Jadi masa saya balik rumah itu kebetulan ayah sudah keluar kerja. Jadi tak ada siapa di rumah. Keadaan dalam rumah pun agak gelap ketika itu,” katanya sambil menambah saat memetik suiz lampu untuk menerangi ruang tamu, dirinya tiba-tiba ternampak jenazah yang diuruskannya tadi di hospital sudah terbaring di tengah rumah ruang tamunya.

“Masya Allah! Ketika itu rasa takut sangat. Mulut jadi kaku, lutut jadi lembik dan hampir pengsan. Allahuakbar. Kebetulan dalam saat menakutkan itu, Allah masih beri lagi kekuatan kepada saya. Saya cuba lawan, saya cuba istigfar dalam hati, cuba selawat banyak-banyak dan saya cakap pada jenazah itu saya dah selesaikan tanggungjawab saya sebagai muslim, sebagai saudara seagamanya, saya dah solatkan dirinya dan saya dah hantar dirinya ke tanah perkuburan.

“Jadi saya minta jangan ganggu saya lagi kerana semuanya sudah saya uruskan menurut  fardu kifayah seperti dituntut agama. Kemudian saya azan kuat-kuat. Alhamdulillah, jenzah yang ada di tengah rumah  kemudian hilang. Jujurnya memang seram tapi syukur kerana Allah masih memberi kekuatan buat saya di mana saya  masih mampu melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada saya iaitu menguruskan jenazah seperti dituntut agama,” katanya dalam perkongsian itu.

 

Published by
Almaswa Che Ros