“Ustaz Segera” Pertikai Imam Al Bukhari Di Twitter! Ini Kelayakan Bergelar Pakar Hadis, Perlu Hafal Lebih 300,000 Hadis Serta Sanad Lengkap

Share

Media sosial menjadi medan mudah menyebarkan pelbagai ilmu. Ada menyampaikan ilmu dakwah, hiburan, kewangan dan lain-lain mengikut apa yang mereka fikirkan. Namun sejak semalam, kecoh ada invidivu yang telah menulis info mempertikaikan mengenai Imam Al Bukhari sekaligus mendatangkan kekeliruan bagi yang mula mendalami agama.

Hal ini ternyata telah membuatkan ramai Ustaz-ustaz berkelayakan “membalas” kenyataan tersebut. Isu ini turut diulas oleh pengguna fb Syapik Hassan yang menulis panjang lebar di fbnya.

Ini sebahagian dari kenyataan dari Syapik Hassan.

“Orang belajar ilmu hadis bertahun-tahun, Maulana Hussein tu, Maulana Ihsan tu, Ustaz Khafidz Soroni tu, Syeikh Nuruddin tu, belajar ilmu hadis dan alat hadis bertahun-tahun. Kau baru tengok 10 video ceramah kat Youtube, baca belas-belas artikel kat Facebook, baca beberapa bebenang lahanat kat Twitter, SESUKA HATI JE PERLEKEH DAN KONDEM IMAM BUKHARI?

Cermin dulu ilmu kau tu taraf mana dibandingkan dengan imam masjid kampung / taman perumahan kau dulu. Kalau sunat ab’adh sunat hai’at dalam solat pun ko tak tau, makna doa iftitah dalam bahasa melayu pun ko tak tau, baik kau bertaubat je la dari jadi perosak agama.

Dalam pada itu, Ust Hafiz Al Za’farani (HAZA) menulis panjang lebar mengenai Imam Al Bukhari dan kelayakan indovidu perlu capia sebelum bergelar pakar hadis. Mudah untuk kita fahami kerana bahaya jika kita ikut-ikutan.

**media[371522]**

SIAPA IMAM AL BUKHARI?

Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di bandar Bokhara, di bahagian timur negeri Uzbekistan. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kanak-kanak, dan ibunya membesarkan beliau bersendirian. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan penuh ihsan serta berkorban untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada beliau.
Semasa kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa serta mempunyai kesungguhan dalam pelajarannya. Diriwayatkan bahawa ketika di dalam belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah SAW

Pengajian Hadis

Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan cendekiawan di Makkah. Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah SAW, dan selepas itu buku sejarah bertajuk “Al-Tarikh-al-Kabir”.

Imam Bukhari amat meminati sejarah dan hadis-hadis Rasulullah SAW dan menumpukan banyak tenaga bertemu dan belajar dengan cendekiawan yang terulung untuk mempelajari dan membahaskan hadis Rasulullah. Imam Bukhari melawat Damsyik, Kaherah, Baghdad, Basra, Madinah dan tempat-tempat lain untuk belajar dan membincangkan hadis-hadis yang dipelajari. Semasa di Baghdad, Imam Bukhari selalu berbincang dengan Imam Ahmed Hanbal, pengasas fahaman (mazhab) Hanbali.

Semasa pengembaraannya, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat – mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin boleh dikumpul untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar sunah hadis Rasulullah SAW. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika berkata “Saya sudah menulis mengenai 1800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah SAW, dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang ditetapkan.”

Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadis Rasulullah SAW dalam buku “Al-Jami-al-Sahih”. Dia membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

PERINGKAT GELARAN PAKAR HADIS

Menjadi ahli/pakar hadis menjadi rebutan ramai pada akhir zaman ini. Sedangkan para alim ulama begitu tawadhuk tidak mahu menyandang gelaran ini. Terdapat beberapa peringkat gelaran bagi ahli hadis, saya akan senaraikan dari peringkat tertinggi :-

1) Amirul Mukminin Fil Hadis

* gelaran yang diberikan kepada tokoh paling menonjol pada zamannya dalam bidang hafalan dan dirayah hadis serta segala cabang-cabangnya.
* gelaran ini diberikan oleh ulama sezaman dan terkemudian daripadanya sebagai penyaksian terhadap kedalaman ilmu hadisnya
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Syu’bah ibn Al-Hajjaj
• Imam Bukhari
• Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani

2) Al-Hakim

* ulama yang menguasai seluruh ilmu hadis sehingga tidak ada yang tertinggal baginya serta mengetahui setiap ta’dil dan tajrih bagi perawi hadis yang dihafalnya.
* menghafaz melebihi 300,000 hadis termasuk sanad yang lengkap
* antara yang mendapat gelaran ini ialah :
• Imam Malik bin Dinar
• Imam Laith bin Saad
• Imam Al-Hakim An-Naisaburi

3) Al-Hujjah

* ulama yang memiliki pengetahuan sempurna mengenai hadith dari aspek matan dan sanad hadith, perihal perawi dari sudut al-jarh wa al-ta’dil serta tarikh kelahiran dan kewafatan mereka.
* menghafaz tidak kurang daripada 300,000 hadis berserta perawi yang lengkap
* ulama yang tergolong dalam gelaran al-Hujjah ini antaranya:
• Imam Sufian bin Uyainah
• Imam Al-Darimi
• Imam Al-Tabrani

4) Al-Hafiz

* Seseorang yang masyhur menuntut ilmu hadis di kalangan ulama dan mengetahui tabaqat perawi-perawi dan martabat mereka.
* Mengetahui al-tajrih dan al-ta’dil, membezakan antara sahih dan sebaliknya, sehingga hadith-hadith yang dihafal melebihi 100,000 hadis.


* antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini ialah :
• Imam Al-Mizzi
• Imam Al-Baihaqi
• Imam Al-Suyuthi

5) Al-Muhadith

* Al-Muhadith merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadith riwayat, dirayah serta mempunyai pengetahuan mengenai sebahagian besar hadith-hadith dan para perawi pada zamannya.
* Gelaran ini adalah lebih tinggi daripada gelaran al-musnid
* Antara ulama yang tergolong dalam gelaran ini :
• Maulana Zakaria Al-Kandahlawi
• Syeikh Mahmud Said Mamduh
• Syeikh Taqi Uthmani

6) Al-Mufid

Al-Mufid :
* Seseorang yang terhimpun pada dirinya syarat-syarat al-muhaddith, serta memenuhi keahlian untuk memberi manfaat kepada para pelajar yang menghadiri majlis mendengar dan menyalin hadith.
* Ia adalah suatu mertabat yang digunakan pada kurun ketiga hijrah.

7) Al-Musnid

* Seorang perawi yang meriwayatkan hadith dengan sanadnya sendiri, sama ada dia mengetahui maknanya atau tidak, melainkan sekadar meriwayatkannya semata-mata.
* Ulama yang menghimpunkan sanad yang banyak dari kebanyakan Al-Muhadith di zamannya.
* Antara ulama yang digelar dengan Al-Musnid :
• Syeikh Alawi Al-Maliki
• Maulana Syah Waliyullah Al-Dahlawi
• Syeikh Yasin Al-Fadani
Inilah darjat-darjat bagi pakar hadis berserta syarat-syarat yang mesti dipenuhi.
Disediakan oleh: Ust Hafiz Al Za’farani (HAZA)

Published by
almaswa Haji Che Ros