Saban hari setiap daripada kita pasti akan menggunakan media sosial, namun begitu dalam berkongsi hantaran berhati-hatilah…
Ini kerana dibimbangi apa yang kita kongsi boleh mendatangkan keburukan pada diri sendiri. Salah satunya adalah penyakit ain. Mungkin ada yang tidak mempercayainya namun hakikatnya penyakit ain itu wujud.
Rasulullah SAW sudah lama memberi peringatan, sabda baginda;
“Ain itu benar, dan jika ada sesuatu yang mendahului takdir, maka itu adalah ain.” (Riwayat Muslim).
Perkara ini dinasihatkan oleh seorang pendakwah bebas yang juga pakar motivasi, Ustazah Marhamah Rosli. Beliau juga turut berkongsi lima peringatan dalam perkongsian di media sosial agar tidak terkena ‘tempias’ penyakit ain.
Menunjuk kebahagiaan secara berlebihan
Tidak perlu berkongsi setiap hadiah daripada pasangan, percutian mewah, atau pencapaian tanpa fikir panjang. Kita lupa, tidak semua yang melihat itu mampu menerima kebahagiaan kita dengan hati yang lapang.
Kongsi kejayaan tanpa hikmah
Zaman sekarang, kejayaan sering dijadikan bahan untuk dipamerkan. Slip gaji, pencapaian anak, kejayaan bisnes semua mahu dikongsi. Kadang-kadang, niat asal kita hanyalah mahu meraikan kejayaan atau memberi inspirasi.
Tetapi, tanpa disertakan hikmah dan pengajaran, perkongsian itu boleh mengundang iri hati orang lain atau menjadi ujian kepada kita sendiri. Bahkan kalau orang terlebih kagum pun boleh jadi punca ‘ain.
Pamerkan kecantikan atau fizikal berlebihan
Kita fikir kecantikan itu hak kita, tetapi ramai lupa bahawa pandangan mata yang kagum tanpa doa keberkatan boleh membawa mudarat besar. Jangan terlalu terbuka hingga lupa menjaga aurat, lupa menjaga privasi.
Bayangkan kecantikan yang kita banggakan menjadi punca kita ditimpa ujian. Sakit yang tidak jelas puncanya, hubungan yang tiba-tiba tegang, atau hidup yang semakin tidak tenang. semua ini boleh berlaku akibat ain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang mengagumkan pada dirinya sendiri atau hartanya, maka hendaklah dia mendoakan keberkatan untuk dirinya sendiri, kerana ain itu benar.”
(Hadis Riwayat Ibn Sunni, disahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith as-Sahihah no. 1426)
Mengabaikan zikir dan doa perlindungan
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada perlindungan yang lebih baik daripada Allah. Bacalah zikir pagi dan petang untuk melindungi diri daripada bahaya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Zikir adalah perisai yang Rasulullah SAW ajarkan untuk hindarkan kita daripada penyakit ain dan bahaya lain. Jangan tunggu musibah jadi, baru mahu kembali kepada Allah.
Tidak menjaga privasi nikmat yang Allah beri
Zaman sekarang, privasi seperti sudah hilang nilainya. Rumah baru, kereta mewah, barangan berjenama contohnya adalah nikmati yang Allah SWT kurniakan untuk kita syukuri. Jagalah nikmat ini dan tak perlu dikongsi semuanya. Jangan kita lupa bahawa tidak semua yang melihat itu gembira untuk kita. Bimbang segala nikmat ini hilang sekelip mata.
Sumber: Ustazah Marhamah Rosli
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI