[Video] Kena Scam Beli Bomboloni Inti Oksigen, Pada Peniaga Fahami Maksud Surah Al-Hud Ayat 86

Share

Agama menuntut umatnya mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal bagi memenuhi tuntutan dan keperluan hidup sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga atau orang-orang yang di bawah tanggungan kita. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168:-

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ
صدق الله العظيم

“Wahai manusia! Makanlah makanan dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

Ada banyak cara mencari rezeki termasuk berniaga atau makan gaji. Contoh terbaik ialah Rasulullah SAW yang memperdagangkan barangan Siti Khadijah dengan penuh jujur dan amanah dan memperoleh untung besar dan berlipat ganda.Juga jodoh keduanya sudah tertulis.

Prinsip jujur dan amanah adalah sangat penting kerana ia mencegah perbuatan mungkar dan dosa. Rezeki boleh jadi haram jika jual barang yang sudah rosak, menjual barang yang telah luput atau mansuh tarikhnya, mengurangkan sukatan timbangan dan sebagainya termasuklah menipu dari segi marketing. Sesungguhnya agama menegah melakukan sebarang tipu daya atau helah ketika berjual beli.

Bayangkan di bulan Ramadan, ramai mencari rezeki berniaga di bazar. Orang yang datang membeli dan mengeluarkan belanja tentu mengharapkan makanan di jual sesuai dengan harga dikeluarkan.

Di Tik Tok @Arif Eddy berkongsi donut bomboloni inti oksigen dibelinya dan menulis sedihnya dapat penjual macam nie. Kejam sungguh.

Dirinya mengharapkan donut bomboloni berisi inti blueberi, coklat dan sebagainya ada isi di dalamnya tetapi malangnya bila dibelah dua, dalamnya kosong. Hanya ada secuit inti di bahagian atas.

Bila berkongsikan video berkenaan, ia mendapat respon dari pengguna lain yang menceritakan pengalaman sama iaitu rasa tertipu membeli makanan dan meminta agar peniaga bersikap jujur dalam hal ini. Hingga ada yang menulis peniaga kecil minta disupport tapi bila dah support ia tidak seperti diharapkan.

Para peniaga mungkin mengejar keuntungan tapi sebelum meneruskan cara perniagaan begini, fahami surah Al-Hud ayat 86 yang menyebut:-

Surah Hud ayat 86:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بَقِيَّتُ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن ڪُنتُم مُّؤۡمِنِينَ‌ۚ وَمَآ أَنَا۟ عَلَيۡكُم بِحَفِيظٍ۬
صدق الله العظيم

“Limpah kurnia (keuntungan yang halal daripada) Allah lebih baik bagi kamu (daripada harta yang haram walaupun banyak) jika benar kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah penjaga kamu (tetapi hanyalah sebagai pemberi peringatan).

Adab dalam perniagaan seperti ditulis oleh Imam Al Ghazali.

Imam Al-Ghazali ada menyatakan di dalam kitabnya Al-Adabu Fiddin mengenai adab-adab ahli perniagaan, antaranya:

Pertama: Jangan mengurangkan sukatan atau timbangan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Mutaffin ayat 1-3:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَيۡلٌ۬ لِّلۡمُطَفِّفِينَ (١) ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ (٢) وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ (٣)
صدق الله العظيم

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangnya.”

Manusia memang ada kekurangan dan tidak mustahil berlaku kesilapan namun bukan selalu kerana ia boleh jadi haram jika itulah niat awal kita berniaga.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Qais bin Abu Gharazah Radiallahu Anhu, baginda bersabda:

يا معشر التجار إن الشيطان والإثم يحضران البيع، فشوموا بيعكم بالصدقة {رواه الإمام الترمذى}

Maksudnya:-
Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu selalu mendatangi jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah.”

Kedua: Jangan berbohong dan menipu dalam urusan perniagaan.

Ketiga: Jauhi pertengkaran dengan pelanggan.

Keempat: Jangan melanggar perintah agama seperti meninggalkan sembahyang semata-mata kerana sibuk menguruskan perniagaan, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya.

Jika para peniaga menginginkan harta yang berkat lagi halal maka para peniaga hendaklah menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang diredhai Allah Subhanahu Wata’ala.

Sesungguhnya perkara yang sangat penting dalam mencari rezeki ituialah keberkatan. Rezeki yang sedikit tetapi diberkati Allah itu adalah lebih baik berbanding dengan rezeki yang banyak tetapi tidak mendatangkan manfaat dan berkat.

Sebab itulah peniaga faham berkaitan sumber rezeki diperoleh. Orang yang mendapat rezeki daripada sumber yang tidak halal akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن خولة الأنصارية رضى الله عنها قالت: سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: إن رجالا يتخوضون فى مال الله بغير حق فلهم النار يوم القيامة {رواه الإمام البخارى}

Maksudnya: Daripada Khaulah A-Ansariah Radiallahu Anha ia berkata: Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Bahawasanya orang yang mencampur-adukan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat siksaan api neraka pada hari kiamat kelak.

Published by
almaswa Haji Che Ros