Nampaknya ketakutan dan rasa trauma masyarakat tentang benarnya virus COVID-19 itu tidak harus dipandang sebelah mata. Jika kita membaca luahan para doktor yang sudah terlalu bekerja keras tanpa lelah menangani corona virus ini, pastinya kita akan lebih berasa simpati terhadap barisan hadapan frontliners ini.
Biar sudah banyak maklumat mengenai SOP penjagaan diri, penjarakan fizikal, basuh tangan dan sebagainya, namun kita bagaikan “terlena”dengan kelonggaran diberi pihak berkuasa termasuk masih bercuti beramai-ramai dan ada yang masih tidak menjaga penjarakan fizikal.
Semalam mencatat berita duka buat negara apabila angka pesakit COVID-19 melepasi ke angka tiga buat pertama kalinya dalam sejarah virus ini dikesan kali pertama di negara kita.
Sebanyak 3,027 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 128,465 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,221 kes.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam (6) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,021 kes. Bagi kes penularan di dalam negara,1,577 kes adalah warganegara Malaysia (52.2 peratus) dan 1,444 kes adalah bukan warganegara.
Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes (36.4 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,043 kes (94.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 706 kes (23.3 peratus) dan Sabah sebanyak 493 kes (16.3 peratus).
Hari ini pula tular video menunjukkan ramainya pesakit COVID-19 memasuki Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Dari gambaran ini jelas ia agak berpusu-pusu seolah-olah sama seperti gambar selautan manusia pergi bercuti ke Langkawi dan sedang beratur menaiki feri untuk ke pulau peranginan popular itu.
Jelas dari rakaman yang tular ini membuktikan virus ini sudah tidak mengenal siapa mangsanya dan hanya diri kita sendiri yang mampu menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan penjarakan fizikal, membasuh tangan dengan kerap selain memakai pelitup muka.
Semoga negara kita selamat dan kembali pulih dari ancaman virus yang sudah mencatat 86 juta kes termasuk hampir dua juta kematian dilaporkan di seluruh dunia.