Kita mungkin pernah terserempak dengan orang gila di jalanan. Setengahnya berasa takut dan akan menjauhkan diri kerana khuatir secara tiba-tiba dicederakan.
Para fuqaha dan usuliyyun mentakrifkan gila atau penyakit mental sebagai:-
“Kecelaruan akal sehingga menghalang kebolehfungsian perlakuan atau percakapan mengikut cara yang betul.” Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyah (16/99).
Dalam pada itu, tentu ramai yang tertanya-tanya apa nasib orang gila di akhirat, adakah masuk syurga atau ke neraka.
Di negara sebarang, tular orang gila yang sering berselawat di jalanan dan suaranya pun sangat merdu. Hingga ramai berasa kagum di sebalik ketidakwarasannya itu, lidahnya basah mengingati Rasulullah. Hinggakan netizen menjelaskan, jika orang gila suka berselawat, lantas mengapa kita yang waras selalu lupa mengucapkan salam dan selawat kepada Nabi Muhammad, Nabi pemberi syafaat?
Dalam satu perkongsian ilmu dari Mufti Perlis, ada dinyatakan nasib orang gila di hari akhirat. Semoga ia bermanfaat untuk bacaan kita.
Jawapan:-
الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، أما بعد:
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam permasalahan ini. Namun pandangan yang lebih kuat ialah mereka akan diuji di akhirat kelak, dalam bentuk Allah SWT akan memerintahkan mereka masuk ke dalam neraka, sesiapa yang mentaati perintah tersebut dia akan selamat dan sesiapa yang membantah, maka dia orang yang derhaka dan dari kalangan ahli neraka. Justeru ada di kalangan mereka yang masuk ke dalam syurga, ada pula yang masuk ke dalam neraka.Pandangan ini disokong dengan hadis-hadis, usul-usul dan kaedah- kaedah syara’. Abu al-Hasan al-Asy‘ari rahimahullah menyatakan inilah pandangan majority salaf. (Lihat Ibn al-Qayyim di dalam Tariq al-Hijratain, hal.: 369)
Ads
Ibn Kathir rahimahullah ada menyertakan 10 hadis yang berkaitan persoalan ini di dalam kitab tafsirnya, setelah itu beliau menyertakan pandangan-pandangan ulama dalam permasalahan ini dan mentarjihkan pandangan yang mengatakan bahawa anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh, orang gila, orang pekak, nyanyuk dan orang yang tidak sampai kepada mereka seruan Islam akan diuji di akhirat kelak. Seterusnya beliau berkata:
“Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil seluruhnya dan telah saya jelaskan hadis-hadisnya yang saling menguatkan antara sebahagian dengan sebahagian lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, al-Isra’: 15, tahqiq: Sami bin Muhammadal-Salamah 5/52-58, cetakan kedua 1420H/1999M, Daral-Tayyibah,Riyadh Saudi)
Antara hadis yang dijadikan dalil dalam persoalan ini ialah hadis yang diriwayatkan dari al-Aswad bin Sari’ r.a, Nabi SAW bersabda:-
Maksudnya: “Empat golongan yang akan diuji pada hari kiamat. Seorang pekak yang tidak dapat mendengar sama-sekali, seorang bodoh, seorang tua yang telah nyanyuk (ketika sampai dakwah) dan seorang yang mati dalam tempoh fatrah (ketiadaan nabi). Adapunseorang yang pekak itu akan berkata: “Wahai tuhan, ketika Islam sampai, daku tidak dapat mendengar sama-sekali.” Adapun seorang yang bodoh pula akan berkata: “Wahai tuhan. ketika Islam sampai, kanak-kanak membaling najis haiwan kepadaku.”
Orang tua yang telah nyanyuk pula berkata: “Wahai tuhan, ketika Islam sampai kepadaku, daku tidak dapat memahami apa-apa lagi.” Adapun orang yang mati dalam tempoh fatrah pula berkata: “Wahai tuhan, tidak datang seorang rasulpun kepadaku.” Maka Allah mengambil janji dari mereka, hendaklah mereka mentaatinya. Lalu diperintahkan kepada mereka untuk masuk ke dalam neraka. Maka demi jiwa Muhammad yang berada di dalam genggaman-Nya, jika mereka semua memasukinya, pasti neraka itu menjadi sejuk dan selamat untuk mereka.” (Hadis ini dengan lafaznya diriwayatkan oleh Ahmad. diriwayatakan oleh al-Tabarani. Ibn al-Qayyim berkata: “Isnadnya Sahih lagi Muttasil.” (Ahkam Ahl al-Zimmah 2/1139).
Ads
Al-Haithami di dalam majma’ al-Zawa-id 7/436 berkata: “Diriwayatkan oleh Ahmad,al-Bazzar… al-Tabarani dengan makna yang sama. Hadis ini dengan lafaz Ahmad dan semua perawinya pada jalan al-Aswad bin Sari’danAbu Hurairah adalah perawi yang sahih. Demikian juga perawi di sisi al-Bazzar pada sanad mereka berdua (Abu Hurairah dan al-Aswad).” Kata al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihhah: “Isnadnya Sahih.”)
Apakah Masih Ada Ujian Di Akhirat?
Mungkin sebahagian orang akan bertanya, apakah masih berlaku ujian di akhirat kelak? Untuk menjawab persoalan ini, disertakan penerangan dari beberapa ulama:
Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:-
Maksudnya: “al-Taklif hanya terhenti dengan masuk ke dar al-Jaza’ iaitulah sama ada syurga atau neraka. Adapun permulaan alam kiamat (setelah dibangkitkan dari mati), manusia akan diuji seperti mana mereka diuji di alam barzakh sepert ditanya kepada mereka: “siapakah tuhan kamu?”, “Apa agamamu.?”, dan “Siapa nabimu?”. Firman Allah Taala: “Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untukbersujud; maka mereka tidak mampu lagi, (dalam keadaan) pandangan mereka tunduk ke bawah, lagi mereka diliputi kehinaan. Dan sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) diseru untuk bersujud, dan mereka dalam keadaan sejahtera.” (al-Qalam: 42-43) (Majmu’ al- Fatawa 24/373).
Ads
Al-Imam Ibn Hajaral ’Asqalani rahimahullah berkata:-
Maksudnya: “Tidak semestinya apabila dikatakan dunia menjadi tempat ujian dan akhirat adalah tempat balasan, bahawa tidak berlaku pada salah satunya (di dunia atau akhirat) apa-apa yang dikhususkan berbanding yang lain. Kerana sesungguhnya alam kubur itu adalah persinggahan alam akhirat yang pertama. Padanya terdapat ujian, fitnah, soalan dan lainnya.” (Fath al-Bari 11/451)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata:-
Maksudnya: “Jika dikatakan: “Akhirat adalah tempat diberikan balasan, bukan tempat taklif. Bagaimana mungkin mereka diuji lagi di tempat yang bukan tempat taklif?” Maka jawapannya ialah: “Taklif hanya terhenti dengan manusia masuk ke tempat menetap yang kekal (syurga atau neraka). Adapun di alam barzakh dan di permulaan kiamat, masih belum berhenti ujian. Perkara ini merupakan suatu yang sedia dimaklumi oleh umat Islam termasuk ajaran agama di mana berlakunya pertanggungjawaban untuk menjawab soalan dua malaikat di alam barzakh. Adapun di permulaan kiamat (mahsyar), Allah Taala berfirman: “Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud; maka mereka tidak mampu lagi..” ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah menyeru makhluk semuanya untuk sujud pada hari kiamat (permulaan kiamat), namun orang-orang kafir tidak mampu lagi melakukannya pada waktu tersebut.” (Tariq al- Hijratain hal.: 373)
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)
Mungkin ramai yang berasa seronok menggunakan bila mana laman web pilihan Shopee menawarkan perkhidmatan Shopee Pay Later. Namun sebelum terus menerima tawaran transaksi ini, ada beberapa perkara kena tahu khususnya dalam bab riba yang merupakan dosa besar.
Dikongsi dari page Mufti Wilayah Persekutuan, pembaca ada bertanya hukum menggunakan Shopee Pay Later ini.
Jawapan Ringkas:-
Terdapat beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar dalam sistem SpayLater sebagaimana berikut:
1) Bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya sekiranya pembayaran diselesaikan dalam tempoh sebulan sepertimana yang ditetapkan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan lewat menyelesaikan bayaran dan dikenakan caj lewat bayar, maka berlakulah riba yang diharamkan Syarak.
2) Bagi kaedah pembayaran secara ansuran pula, terdapat dua isu Syariah padanya melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Hal ini kerana setiap caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba. Oleh itu, umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Huraian Jawapan:-
SPayLater adalah sistem pembayaran beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later) yang disediakan oleh Shopee. Pengguna boleh membuat belian dengan segera dan membayarnya pada bulan hadapan sekaligus atau melalui pelan bayaran ansuran ansuran (instalment plan) selama beberapa bulan sama ada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Pihak Shopee telah melantik SeaMoney Capital Malaysia Sdn Bhd untuk menguruskan operasi pembayaran ansuran Shopee ini.[1]
Sistem SPayLater adalah melibatkan hutang. Ini adalah kerana, pihak SeaMoney yang dilantik Shopee akan bayar kepada penjual Shopee terlebih dahulu bagi pihak pembeli, kemudian pelanggan perlu membayar kepada SeaMoney secara ansuran atau one-off dalam tempoh sebulan. Justeru itu, pelanggan dianggap berhutang dengan pihak SeaMoney ketika menggunakan perkhidmatan SPayLater ini. Oleh kerana persoalan yang diajukan adalah berkaitan hutang, perbincangan artikel ini akan memfokuskan isu-isu riba yang berlaku dalam sistem bayaran ansuran ini yang melibatkan bayaran tertanguh (hutang) dan pengenaan caj lebihan.
Dalam Islam, riba adalah diharamkan dan pihak yang terlibat dengannya akan mendapat dosa besar. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا Maksudnya:Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Surah al-Baqarah (275)
Para ulama ketika menerangkan pengharaman riba menyatakan bahawa, riba bermaksud tambahan. Dalam konteks hutang, riba adalah caj tambahan yang dikenakan ke atas jumlah hutang atau caj tambahan kerana seseorang lewat membayar hutang. Manakala pertambahan atau margin untung yang berlaku dalam jual beli biasa tidak dianggap sebagai riba. (Rujuk Tafsir al-Tabari 13/6[2]; Tafsir al-Mawardi 347/1[3]; Tafsir al-Baghawi 342/1[4])
Ulama membahagikan riba kepada dua kategori utama iaitu Riba al-Qard (berlaku dalam transaksi hutang) dan Riba al-Buyu’ (berlaku dalam jual beli barang-barang ribawi seperti emas dan perak). (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 3739/5[5])
Oleh itu, perbahasan yang menjadi fokus dalam menjawab persoalan ini akan bertumpukan hukum hakam berkaitan riba dalam hutang (riba al-Qard).
Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Haris di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa setiap hutang yang disertakan manfaat atau keuntungan sebagai balasan dianggap sebagai riba. Rasulullah SAW bersabda:-
كل قرض جر منفعة فهو ربا
Maksudnya:Setiap hutang yang mendatangkan manfaat keuntungan (kepada pemiutang) maka ia adalah riba. Riwayat al-Haris dalam Musnad al-Haris (437)
Untuk memudahkan kefahaman berkenaan Riba al-Qard ini, dinyatakan di sini dua situasi berikut:
Ali memberi pinjam RM100 kepada Ahmad dan memintanya membayar RM110, RM10 lebihan itu adalah riba.
Ali meminjamkan RM100 kepada Ahmad dan Ahmad perlu membayar dalam tempoh sebulan. Namun begitu Ahmad terlewat bayar hutangnya itu. Ali mengenakan caj RM10 kerana Ahmad lambat bayar. RM10 caj tersebut adalah riba.
Shopee antara platform digital membeli belah yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia
Isu-Isu Syariah dalam SPayLater
Setelah meneliti berkaitan sistem yang ditawarkan ini, kami rumuskan bahawa terdapat beberapa isu syariah bagi kaedah bayaran yang ditawarkan. Isu-isu syariah yang dikenal pasti adalah sebagaimana berikut:
Processing Fee (Caj Pemprosesan)
Processing Fee adalah caj tambahan yang dikenakan bagi pelanggan yang memilih pelan ansuran yang ditawarkan pihak Shopee. Pelanggan yang memilih bayaran menggunakan installment plan akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak 1.25% setiap bulan daripada jumlah belian.[6] Tiada caj tambahan akan dikenakan sekiranya pelanggan bayar secara one-off dalam tempoh sebulan.[7]
Processing Fee yang dikenakan di atas dilihat mempunyai unsur riba kerana mengambil manfaat keuntungan daripada pinjaman yang diberikan. Namun begitu, para ulama kontemporari telah membincangkan berkenaan caj servis perkhidmatan dan seumpama dengannya. Caj servis perkhidmatan dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat ketat yang berikut:
Caj yang dikenakan hendaklah bertepatan dengan kos sebenar (actual cost).
Caj yang dikenakan hendaklah berdasarkan kos langsung (direct cost) bukannya kos tidak langsung (indirect cost) seperti pembayaran gaji pekerja dan sewa pejabat.
Caj yang dikenakan tidak boleh dikenakan secara peratusan daripada jumlah pinjaman. Sebaliknya, ia hendaklah mengikut kadar sebenar kos pengurusan yang terlibat tanpa sebarang penambahan.
Boleh dikenakan caj dalam bentuk anggaran sekiranya sukar untuk meletakkan satu amaun yang pasti melainkan selepas akaun tutup pada penghujung tahun. Jadi, sekiranya amaun sebenar sudah diketahui, setiap lebihan perlulah dipulangkan semula kepada penghutang mengikut medium yang dipersetujui bersama.
(Rujuk AAOIFI Shariah Standards, No.19 Loan (Qard)[8], hlm 518-519; Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan No.3073[9])
Late Payment Fee (Caj Lewat Bayar)
Late payment Fee atau Caj lewat bayar akan dikenakan kepada pelanggan yang gagal membuat bayaran dalam tempoh masa yang ditentukan bagi kedua-dua kaedah pembayaran. Pelanggan akan dikenakan caj tambahan sebanyak 1.5% daripada jumlah yang tertunggak secara bulanan.[10][11]
Caj Lewat Bayar di atas dilihat mempunyai unsur riba yang jelas. Hal ini kerana setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat berlaku kelewatan dalam pembayaran adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard sepertimana yang telah dijelaskan.
Namun begitu, sekiranya caj tersebut dikenakan bagi menampung kos kerugian maka ia dibenarkan dengan syarat kos tersebut berdasarkan actual cost (kerugian sebenar) sebagai pampasan (ta’widh) bukanlah dianggap sebagai denda (gharamah) mahupun pendapatan tambahan bagi syarikat penyedia kewangan. (Rujuk: Resolusi Syariah Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Berkaitan Ta’widh dan Gharamah, hlm. 129-130[12])
Kesimpulan
Setelah penelitian dilakukan terhadap sistem pembayaran ansuran yang ditawarkan Shopee iaitu SPayLater, kami mendapati bahawa terdapat beberapa isu-isu syariah yang timbul. Isu-isu syariah tersebut adalah pada caj pemprosesan dan Caj lewat bayar yang mempunyai unsur riba. Manakala bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, maka tiada isu syariah padanya kerana tidak ada unsur riba dan ia boleh digunakan. Namun, sekiranya pelanggan lewat bayar dan dikenakan caj tambahan, maka berlakukah ribaal-Qard. Adalah ditegaskan bahawa umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Perkahwinan paksa di zaman moden ini amat jarang terjadi. Namun ia masih berlaku berikutan campur tangan orang tua yang menganggap anak-anak wajib patuh arahan mereka walaupun mereka sudah dewasa dan berdikari.
Tidak mahu menjadi anak derhaka, dilema yang dihadapi sang anak memang cukup besar. Antara hasrat orang tua dan diri sendiri.
Bagaimanapun Islam ada menggariskan hukum dan panduan bagaimana hal ini dapat diuruskan dengan baik. Kita ikuti penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan berkenaan hal ini.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan tentang perkahwinan. Cerita begini ayah saya berkenan dengan seorang pemuda yang selalu ikut jemaah dakwah.
Jadi ayah saya merancang untuk jodohkan saya dengan dia tapi saya tak setuju, antara sebab kerjayanya dan pendapatannya yang jauh lebih rendah dari saya dan beliau tidak ada pendapatan tetap.
Setahu saya seorang ayah ada kuasa paksa anak perempuannya berkahwin walaupun tanpa kerelaannya.
Soalan saya benarkah situasi saya sekarang ayah saya boleh paksa saya berkahwin dengan lelaki itu walaupun saya tak mahu?
Gambar sekadar hiasan
JAWAPAN: Menurut majoriti ulama termasuk mazhab Syafi’ie berpendapat wujudnya pensyariatan wali mujbir dalam perihal nikah kahwin.
Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji mengenai maksud wali mujbir: وولاية الإجبار ثابتة للأب، والجد أبي الأب فقط، ولا ولاية إجبار لغيرهما .وولاية الإجبار إنما تكون في تزويج البنت البكر، صغيرة كانت أو كبيرة، عاقلة أو مجنونة .فلأبيها ـ وكذلك لجدها أبي أبيها ـ أن يزوِّجها بغير إذنها ورضاها.
Maksudnya: “Wali mujbir ialah bapa dan datuk sebelah bapa sahaja dan tiada wali mujbir selain dari kedua-duanya. Wali mujbir hanya mengahwinkan anak dara sama ada kanak-kanak atau dewasa dan berakal atau gila.
Bapa dan datuk sebelah bapa boleh mengahwinkan anak atau cucu perempuannya tanpa izinnya dan kerelaannya.”
Namun begitu bapa tidak memiliki kuasa Ijbar(paksa) anak gadisnya (bukan janda) berkahwin secara mutlak kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetap oleh ahli-ahli fiqh.
Ini bermakna si bapa tidak boleh sewenang-wenang memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki pilihannya melainkan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Syarat-syarat sah wali mujbir seperti berikut(rujuk: al-Fiqh al-Manhaji): i. Tidak terdapat permusuhan yang nyata antara wali dan perempuan yang diwalikannya. ii. Bakal suami yang dipilih mestilah sekufu. iii. Bakal suami berkeupayaan menyerahkan mas kahwin dengan segera.
Berdasarkan kenyataan di atas, si bapa menginginkan anak gadisnya berkahwin seorang lelaki yang lebih rendah kedudukan kerjayanya. Dalam bab munakahat(nikah kahwin) ada perbincangan khusus mengenai ‘kafa’ah’ atau ‘kufu’(kedudukan setara) dalam perkahwinan.
Maksud kafa’ah atau kufu’ iaitu kedudukan atau martabat yang sama tinggi antara suami dan isteri. Sebagai contoh wanita yang kaya hendaklah dikahwinkan dengan lelaki yang kaya juga.
Jika seorang perempuan dikahwinkan dengan lelaki miskin maka si wanita berhak memohon agar hakim memfasakhkan pernikahan tersebut. Ia juga hak si wali untuk menuntut fasakh pernikahan anak gadisnya jika berkahwin dengan lelaki tidak sekufu.
Secara ringkas, kafa’ah menurut majoriti ulama terbahagi dalam beberapa bahagian, iaitu: (1) Agama/Akhlak (2) Nasab/keturunan (3) Merdeka (4) Kerjaya (5) Harta/kekayaan.
Manakala mazhab Maliki membahagikan kepada 2, iaitu agama dan keadaan yang selamat dari aib dan kecacatan. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh)
Kafa’ah dalam perkahwinan bukanlah untuk membeza-bezakan kedudukan antara manusia, sedangkan semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah mereka yang bertakwa, tidak kiralah apa pun keturunan, kerjaya mahupun harta benda.
Tetapi hikmah kafa’ah berperanan untuk menjaga keharmonian rumah tangga agar si isteri benar-benar menghormati dan menyanjungi suaminya.
Jika seorang dikahwinkan dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya maka dikhuatiri si isteri tidak menghormati suaminya dan ditakuti lebih teruk yang bakal berlaku seperti menghina, memandang rendah suami, nusyuz dan seumpamanya.
Berbalik kepada soalan di atas, adakah bapa saudari berhak untuk memaksa saudari berkahwin dengan lelaki pilihannya? Jawapan yang boleh saya berikan menurut mazhab Syafi’ie ialah tidak boleh.
Ini kerana si bapa tidak memenuhi syarat yang kedua (rujuk point 2) yang mana lelaki tersebut kedudukannya tidak setara atau tidak sekufu’ dengan saudari dari sudut kerjaya.
Apa yang perlu diingat juga permasalahan kafa’ah bukanlah salah satu syarat sahnya pernikahan. Ia hanya melibatkan kesinambungan sesuatu perkahwinan yang mana jika si wanita atau wali tidak redha dengan lelaki yang tidak sekufu’ maka salah seorang berhak meminta fasakh dari pihak hakim.
Namun jika kedua-duanya redha ia tidak menjadi masalah, malah nikah tetap sah dan diteruskan.
Manakala dari sudut adab dan akhlak seorang anak wajib bersikap baik dan lunak terhadap bapanya dalam apa situasi sekali pun.
Meskipun saudari tidak bersetuju dengan lelaki pilihan bapa, disarankan agar bawa berbincang dengan penuh hikmah sehingga menemui kata sepakat.
Jika tidak berjaya, cuba jalan lain iaitu meminta bantuan orang tengah yang dihormati dan dipercayai oleh bapa saudari agar berperanan memujuk dan menasihati si bapa. Apa yang lebih penting redha Allah bergantung kepada redha ibu dan bapa.
‘Tiada wuduk, tak hadap kiblat dan memakai seluar pendek.’ Sujud syukur pemain bola sepak diterima atau tidak?
Sebagai seorang manusia, pastinya kita akan berterima kasih dan sangat menghargai hadiah ataupun pemberian orang lain kepada kita. Inikan pula seorang hamba kepada Tuhan Maha Pencipta.
Begitu juga dengan pemain bola sepak apabila team mereka mendapat kemenangan, pasti ada di antara mereka terus melakukan sujud syukur sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah atas kemenangan yang diberikan.
Sujud syukur adalah salah satu cara untuk memanifestasikan perasaan penghargaan kepada Allah swt atas berita gembira yang terima ataupun sebagai tanda berterima kasih sekiranya kita terlepas daripada musibah.
Dari Abu Bakrah ra, bahawa Nabi Muhammad saw kebiasaannya akan terus sujud kepada Allah swt apabila menerima berita yang mengembirakan. Sheikh Ibnu Utsaimin dalam Fatawa Islamiyyah (1/205) mengatakan,
“Sujud Syukur dilakukan kerana selamat dari sesuatu musibah atau menerima nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih).”
Tak Hadap Kiblat & Seluar Pendek
Kebiasaannya kita lihat situasi pemain bola sepak selepas jaringkan gol saja terus sujud tanpa wuduk dan menghadap ke kiblat. Persoalannya boleh ke kita sujud tanpa mengambil wuduk dan menghadap kiblat.
Berkaitan isu ini, Dai Fuad Mokhtar tampil menjelaskan cara sebaiknya kita melakukan sujud syukur. Kita selalu tengok perkara ini berlaku dalam masyarakat kita.
Cumanya amalan sujud syukur apabila mendapat berita itu memang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sebagai tanda gembira rasulullah.
Cumanya para ulama berbeza pendapat dan pandangan berkenaan tentang sujud tanpa wuduk dan sujud tanpa mengetahui arah kiblat.
Sujud Syukur Pemain Bola Sepak Diterima Atau Tidak?
Dan para ulama yang muassarah bahkan para ulamak yang beringan-ringan tentang masalah ini menyatakan bahawa tidak ada masalahnya jika mereka itu tidak berwuduk atau tidak tahu arah kiblat kerana perbuatan mereka hanya untuk menceritakan kesyukuran kepada Allah SWT.
Masalahnya bagi pemain bola sepak yang pakai seluar pendek, dalam mazhab Shafie, apabila kita nak solat atau kita nak sujud bagaimanapun tutuplah aurat yang sebaiknya. Oleh itu pemain bola sepak pakailah seluar ‘tight’ yang panjang sedikit.
Kashoorga : Sujud syukur bukan sahaja sebagai tanda kita berterima kasih kepada Allah swt, tetapi juga salah satu cara kita mengamalkan sunnah junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Menjadi rutin atau satu kemestian buat kebanyakan kita pergi ke pasar mahu pun pasar raya bagi membeli keperluan rumah dan diri.Namun satu perkara yang...