Semalam viral di media sosial pernikahan pasangan pengantin baru di Semarang, Indonesia. Dalam foto yang viral, jelas pengantin perempuan menutup aurat termasuk mengenakan tudung sementara lelaki mengenakan tuxedo dan bergambar di dalam gereja.
Dikongsi dari CNN Indonesia, dikatakan pasangan berbeza agama ini melakukan upacara ini di sebuah gereja di Kota Semarang, Jawa Tengah dan disaksikan oleh keluarga masing-masing, seorang pendeta dan saksi pernikahan.
Dalam pada itu, turut dikongsi pernyataan dari kaunselor pernikahan, Achmad Nurcholis yang menguruskan pasangan ini mengakui bahawa pasangan yang menikah ini berbeza agama. Lelaki beragama Katolik sementara pengantin perempuan beragama Islam.
“Iya betul, nikah beda agama. Prosesinya hari Sabtu kemarin,” kata Achmad kepada CNNIndonesia.com, Selasa (8/3).
Katanya, hal ini tidak mustahil. Bahkan dirinya turut menjelaskan proses pernikahan ini dilangsunglan dalam dua acara. Pertama ia dilakukan di gereja dan seterusnya dilakukan akad nikah bagi pengantin perempuan yang beragama Islam.
“Kerana mereka Islam dan Katolik, mereka menikah dengan dua cara itu. Kehadiran kami mengisi apa yang belum dilakukan KUA. Kita bantu akad nikahnya,” kata dia.
Achmad menjelaskan pasangan itu juga tetap memegang keyakinan agamanya masing-masing. Ia juga mengatakan persyaratannya untuk menikah hampir sama dengan pernikahan satu agama.
Menurut Ustaz Abdul Somad, pernikahan beza agama ini adalah haram dan pasangan melakukan zina. Lebih teruk jika pasangan murtad, maka neraka jahanam tempat mereka yang melakukannya.
Dan Ustaz Abdul Somad meminta Muslimah yang sudah berbuat demikian agar bertaubat dan kembali mengucap dua kalimah syahadah.
Masa yang sama ulama Indonesia, Buya Yahya yang juga Pengasash Pondok Pesantren Al-Bahjah Cirebon, berkata ulama telah bersepakat melarang wanita Muslim menikah dengan laki-laki non-Muslim.
“Pernikahan beza agama, jika wanitanya Islam maka mutlak kesepakatan ulama (ijma’) tidak sah. Pernikahannya dianggap tidak sah dalam syariat, surat rasmi perkahwinannya ada,” katanya.
Pendirian negara Malaysia mengenai isu nikah beza agama ini?
Perkahwinan berlainan agama tidak dibenarkan dan tidak diiktiraf di negara ini serta boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Beliau berkata Seksyen 10 Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam menyatakan tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang perempuan bukan Islam dan tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang lelaki bukan Islam.
“Pandangan yang mengatakan bahawa perkahwinan berlainan agama adalah satu paradigma kepada pembangunan peradaban adalah salah sama sekali dan berlawanan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti pernah dilaporkan Bernama.