
Hujung minggu mungkin ada dalam kalangan kita yang mendapat jemputan majlis perkahwinan. Tapi bagaimana pula jika kita mengambil keputusan untuk tidak menghadirinya kerana berasa jauh atau kepenatan dan sebagainya? Ini kerana hukum menghadiri majlis kahwin adalah wajib.
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” Riwayat Muslim (1053)
Hukum wajib dalam hadis di atas diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.
Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” Riwayat Muslim (1432)

Hal ini membawa maksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran, maka wajib bagi seseorang untuk memenuhi undangan perkahwinan yang dijemput.
Walaupun begitu, jika terdapat keuzuran atau janji yang sudah dirancang sebelumnya, atau tersangat jauh, atau membabitkan kos yang tinggi, atau menyebabkan terabainya tugas yang telah ditaklifkan, maka kami berpendapat alangkah baiknya beliau mewakilkan, atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan. Yang paling penting, jangan sekali-kali putuskan silaturrahim dan mohonlah izin dengan penuh adab.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapa Perlu Jaga Adik Perempuan OKU Selepas Ibu Bapa Tiada, Adik Beradik Lelaki Atau Perempuan?

Isi Kandungan
ToggleSoalan
Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]

Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَٰرَهُمۡ
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Penang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Wanita Baca Al-Quran Pakai Baju Lengan Pendek

Membaca al-quran setiap kali selepas solat mungkin jadi rutin sebahagian Muslimah. Lengkap dengan telekung menutup aurat sebagaimana yang mana lebih afdal sebegini.
Namun di lain Waktu ramai juga yang selesa membaca al quran di rumah dengan pakaian biasa yakni berlengan pendek dan tidak bertudung. Dalam hal ini apa hukumnya?
Menjawab persoalan ini menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, adalah harus hukumnya membaca Quran dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna seperti tidak memakai tudung atau memakai baju lengan pendek bagi perempuan.
Disebut dalam Fatwa Majlis Agama Islam Baitul Maqdis :
لا مانعَ أنْ تقرَأَ المرأةُ القُرْآنَ الْكَرِيمَ ، وهِيَ كاشِفَةٌ رَأْسَهَا، ولكنَّ الأفضلَ أنْ تلْبَسَ اللِّبَاسَ الشَّرْعِيَّ الكَامِلَ مِنْ بابِ الأَدَبِ مَعَ المصْحَفِ
Ertinya : “Tiada halangan seorang perempuan membaca Al-Quran dalam keadaan terbuka kepalanya akan tetapi yang afdhal bahawa perempuan itu memakai pakaian yang sempurna menurut syarak sebagai meraikan adab bersama Al-Quran.”
Dan jika dia menutup aurat dengan sempurna mudah baginya untuk melakukan sujud sajadah ketika sampai pada ayat sajadah ketika membacanya itu.
Dalam pada itu memetik kata-kata Dr Nuh Ali Salman Mufti Jordan :
نعم يجوز؛ لأنه ليس من شروط قراءة القرآن أن تكون المرأة محتجبة، ولكن يستحب لها ذلك كي تكون متهيئة لسجود التلاوة أثناء القراءة
Ertinya : “Ya harus (membaca Quran dalam keadaan tidak menutup aurat) kerana tidak disyaratkan tutup aurat bagi perempuan yang hendak membaca Al-Quran akan tetapi disunatkan baginya tutup aurat supaya dia sentiasa bersedia bagi sujud sajadah di pertengahan bacaannya.”

Kesimpulannya harus atas perempuan yang berbaju lengan pendek di dalam rumahnya seperti dalam soalan membaca Quran dan dapat baginya pahala membaca Quran seperti orang lain tetapi jika dia menutup aurat dengan sempurna adalah lebih afdhal.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Lelaki Tidak Boleh Bertocang, Lepaskan Segera Ikatan

Menyimpan rambut panjang dan lelaki bertocang bukanlah sesuatu yang pelik. Cuba lihat sekeliling kita. Di tempat kerja, restoran, di pasaraya, pusat beli belah, taman atau di mana sahaja, pasti akan nampak lelaki yang menyimpan rambut panjang.
Tiada kesalahan atas perbuatan itu. Walaubagaimanapun, sebagai orang Islam, kita terikat dengan hukum syariah dan ia harus dipatuhi.
Rasulullah SAW juga memiliki rambut panjang tetapi bukanlah panjang mengurai sehingga melepasi bahu seperti ahli-ahli kumpulan rock kapak yang popular suatu ketika dahulu. Rambut panjang di kalangan lelaki akan menjadi isu apabila tiba waktu hendak mendirikan solat.
Artikel berkaitan: Betapa Allah Jaga Aib Wanita, Rambut Yang Dipotong Tetap Dianggap Aurat
Artikel berkaitan: Hukum Solat Dengan Mengikat Rambut
Kepada kaum lelaki sila baca persoalan berkaitan lelaki berambut panjang yang mengikat atau menocang rambut. Mungkin jawapan ini dapat menjawab persoalan apa hukumnya lelaki bertocang dalam Islam.
Soalan : Saya berambut panjang paras bahu. Baru-baru ini saya mengerjakan umrah. Saya mengikat rambut supaya ia kelihatan lebih kemas. Ketika berjalan bersama rakan di Masjid Nabawi, saya dimarahi oleh pegawai yang bertugas kerana mengikat rambut dan mengarahkan saya melepaskan ikatan. Bolehkah ustaz jelaskan kenapa saya disuruh berbuat demikian.
Jawapan : Dalam Kitab Mukhtasar Shamail Tirmizi ada membincangkan tentang rambut Rasullullah SAW. Dalam kitab tersebut ada menyebutkan bahawa Rasullullah biasanya berambut panjang dan adalah haram bagi orang lelaki untuk memakai tocang (mengikat rambut) seperti orang perempuan.
Rasullullah SAW telah melaknat orang lelaki yang melakukannya iaitu cuba menyerupai wanita. Jadi, tidak dibenarkan bagi orang lelaki untuk memakai tocang (mengikat rambut) seperti orang perempuan.
Maka, di sini jelas bahawa pegawai di Masjid Nabawi itu melarang anda melakukan perbuatan haram tersebut. Moga di sini sidang pembaca dapat memahami dengan jelas tentang persoalan ini.
Soalan : Berapa panjang kesesuaian rambut lelaki yang dibolehkan ?
Jawapan: Daripada Anas yang menceritakan :
“Rambut Rasullulah mencecah dua bahunya” (Sahih al Bukhari)
Tetapi, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik.
Nabi SAW bersabda ;
“Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (Riwayat Imam Abu Daud)
Soalan : Bolehkah lelaki mengikat rambut atau tocang atau menyanggul rambut ketika solat ?
Jawapan: Daripada Ibnu ‘Abbas bahawasanya sabda Rasullulah SAW :
“Aku telah diperintahkan(oleh Allah) untuk sujud tujuh anggota tubuh yang utama termasuk dahi. Dan beliau pada masa yang sama menunjukkan ke arah hidung, tapak tangan, kaki dan jari jemari kaki. Serta (diperintahkan) untuk tidak mengikat rambut serta tidak mengumpulkannya (menggulung atau melipat) pakaian.” (Riwayat Muslim)
Soalan : Kenapa tidak boleh tocang atau menyanggul atau mengikat rambut?
Jawapan: Rasullulah bersabda : “Itu (ikatan rambut) adalah tempat syaitan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Imam Tirmidzi berkata : “Inilah yang berlaku di kalangan ahli ilmu, mereka membenci kalau lelaki bersolat dengan rambut terikat”.
Sesiapa yang solat dengan rambut terurai ke lantai ketika sujud, ia akan dapat pahala sujud dengan rambut terurai ke lantai. Ini disebabkan dia merendahkan kedudukan rambutnya dalam beribadah kepada Allah.
Soalan : Bolehkah kalau saya tolong bukakan ikatan lelaki yang bertocang semasa dia sedang solat ?
Jawapan: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a bahawasanya dia melihat ‘Abdullah bin al-Harits sedang mengerjakan solat sementara rambutnya terikat kebelakang. Segera Ibnu Abbas bangkit dan menguraikan ikatan rambutnya.

Lepas solat Abdullah pergi ke Ibnu Abbas dan berkata; “Ada apa dengan rambutku ?”
Ibnu Abbas berkata sesungguhnya aku mendengar Rasullulah bersabda, ” Sesungguhnya perumpamaanya adalah seperti orang yang solat dengan tangan terikat”. (Riwayat Muslim, Abu Daud, an Nasai’e)
hukumnya makruh bagi lelaki mengikat rambut ketika solat.
Soalan : Sah atau tidak solat lelaki yang berambut panjang melepasi bahu ke pinggang ?
Jawapan: Solat tetap sah, tetapi haram penampilan menyerupai wanita.
Soalan : Apakah hukum mengikut rambut ketika solat dan di luar solat.
Jawapan: Disebutkan dalam kitab-kitab fekah, sunat untuk melepaskan rambut di dalam dan di luar solat.
Ketika sujud, rambut-rambut tersebut akan turut sama bersujud. Jika rambut terikat, rambut tersebut tidak sujud. Menyalahi melebihi utama jika ikat rambut.
Kepanjangan rambut lelaki setakat bahu sahaja dan jangan merupai perempuan.
Wallahua’lam
Kashoorga : Ini merupakan kompilasi beberapa soalan berkaitan lelaki bertocang. Semoga bermanfaat dan sebarkanlah ilmu ini.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI