Hujung minggu mungkin ada dalam kalangan kita yang mendapat jemputan majlis perkahwinan. Tapi bagaimana pula jika kita mengambil keputusan untuk tidak menghadirinya kerana berasa jauh atau kepenatan dan sebagainya? Ini kerana hukum menghadiri majlis kahwin adalah wajib.
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” Riwayat Muslim (1053)
Hukum wajib dalam hadis di atas diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.
Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” Riwayat Muslim (1432)
Hal ini membawa maksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran, maka wajib bagi seseorang untuk memenuhi undangan perkahwinan yang dijemput.
Walaupun begitu, jika terdapat keuzuran atau janji yang sudah dirancang sebelumnya, atau tersangat jauh, atau membabitkan kos yang tinggi, atau menyebabkan terabainya tugas yang telah ditaklifkan, maka kami berpendapat alangkah baiknya beliau mewakilkan, atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan. Yang paling penting, jangan sekali-kali putuskan silaturrahim dan mohonlah izin dengan penuh adab.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI